Blogger Layouts

Thursday, March 1, 2007

LELAKI DAN PEREMPUAN MINANGKABAU

BAB III

LELAKI DAN WANITA DALAM BUDAYA MINANGKABAU

3.1 POLA BUDAYA KEKERABATAN MINANGKABAU

Matrilineal adalah suatu adat masyarakat yang mengatur alur keturunan berasal dari pihak ibu Kata ini seringkali disamakan dengan matriarkhat atau matriarkhi, meskipun pada dasarnya ertinya berbeza. Matrilineal berasal dari dua kata, iaitu mater (bahasa latin) yang bererti "ibu", dan linea (bahasa Latin) yang bererti "garis". Jadi, "matrilineal" bererti mengikuti "garis keturunan yang diambil dari pihak ibu".
Sementara itu matriarkhat berasal dari dua kata yang lain, yaitu mater yang berarti "ibu" dan archein (bahasa Yunani) yang bererti "memerintah". Jadi, "matriarkhi" bererti "kekuasaan berada di tangan ibu atau pihak perempuan".
Penganut adat matrilineal adalah suku Indian, Apache Barat, suku Navajo, sebahagian besar suku Pueblo, suku Crow yang kesemuanya adalah penduduk asli Amerika Syarikat, suku Khasi di Meghalaya, India Timur Laut, suku Nakhi di wilayah Sichuan dan Yunnan, China, dan beberapa suku kecil di kepulauan Asia Pasifik. Di Indonesia satu-satunya penganut adat matrilineal adalah suku Minangkabau, Sumatera Barat.
Lawan dari matrilineal adalah patrilineal iaitu suatu adat masyarakat yang menyatakan garis keturunan berasal dari pihak ayah. Penganut adat patrilineal di Indonesia sebagai contoh adalah suku Batak.. Adat patrilineal lebih umum digunakan kelompok masyarakat dunia dibandingkan matrilineal yang lebih jarang penggunaannya.[1]
Sifat kekerabatan matrilineal terlihat dalam bentuk kekerabatan yang khas. Bentuk kekerabatan itu telah lahir semenjak manusia ini ada. Seorang anak akan menganut sistem nasab ibunya. Selain itu, tanggung jawab ibu dalam membesarkan dan mendidik anak sampai dewasa lebih besar dibandingkan dengan tanggung jawab bapa.
Berasaskan kepada bentuk kekerabatan, maka lahirlah masyarakat Minangkabau yang hidup dalam kelompok atau kumpulan yang tertentu. Kelompok inilah yang dinamakan sebagai suku. Di dalam sesebuah nagari akan terdapat banyak suku dan orang daripada suku yang sama disebut sebagai badunsanak (berdunsanak). Hubungan kekerabatan orang berdunsanak pada mulanya berasal dari satu ibu (paruik). Seterusnya, disebabkan perkembangan keturunan yang banyak, akhirnya ia menjadi satu kaum.[2] Bentuk badunsanak itu, selain dinasabkan dari garis ibu, juga dijalinkan oleh suatu lembaga yang dikenali sebagai rumah gadang[3]. Orang dari satu suku sebenarnya adalah orang daripada satu rumah gadang Hal inilah yang dijadikan sebagai suatu dasar hubungan kekerabatan antara satu rumah gadang dengan rumah gadang lainnya yang terdiri daripada satu suku.
Menurut Amir M.S istilah matriarkat yang bererti ‘ibu yang berkuasa’ sudah ditinggalkan. Para ahli antropologi sudah mengetahui bahawa sistem ibu yang berkuasa sebenarnya tidak ada. Yang ada ialah kelompok keluarga yang menganut prinsip salasilah keturunan yang dilihat berdasarkan nasab ibu atau dalam bahasa Inggeris disebut garis matrilineal. Dalam sistem kekerabatan matrilineal terdapat tiga unsur yang paling penting, iaitu;
i) Nasab keturunan “menurut nasab ibu”;
ii) perkahwinan harus dengan kelompok lain, di luar kelompok sendiri yang
sekarang dikenali sebagai istilah eksogami matrilineal;
iii) ibu memegang peranan penting dalam bidang pendidikan, pewarisan harta
kekayaan dan kesejahteraan keluarga, dan
iv) harta pusaka turun melalui nasab ibu dan hanya anak perempuan sahaja yang
berhak mewarisinya sedangkan anak laki-laki tidak ada hak. Sebaliknya, tugas
anak-anak laki-laki ialah menjaga dan menyelamatan harta pusaka agar tidak
hilang dan tidak berpindah tangan. [4]


3.2 Kedudukan dan Peranan Perempuan dalam Adat Minangkabau

3.2.1 Pendahuluan


Kekerabatan matrilineal adalah kekerabatan yang garis keturunan berdasarkan dari nasab ibu. Seorang anak mengikuti nasab keturunan dari ibunya, bukan menurut kepada bapaknya. Ia akan membina suku sesuai dengan suku ibunya. Dalam kekerabatan matrilineal, harta pusaka dikuasai oleh kaum perempuan. Laki-laki hanya sebagai pelindung dan pemelihara harta pusaka itu. Penggunaanya, diatur oleh perempuan, sedangkan laki-laki tidak mempunyai hak untuk menggunakannya. Jika terjadi perceraian antara suami dan isteri, si suamilah yang seharusnya meninggalkan rumah, sedangkan isteri tetap tinggal di rumah.
Kedudukan sistem Matrilineal di Minangkabau sebenarnya sama sekali tidak mampu mengangkat martabat perempuan agar setara dengan laki-laki Semuanya perlu bergantung kepada laki-laki. Harta pusaka memang di tangan perempuan, tetapi harta pusaka umumnya tidak boleh dijualbeli. Harta pusaka hanya dapat digadaikan dengan alasan yang sangat penting sahaja.
3.2.2 Kedudukan Perempuan Minangkabau – Kanak-kanak sehingga belum
berkahwin

Waktu anak-anak perempuan mencapai usia dewasa kemahiran yang perlu dimiliki seorang wanita misalnya memasak, menjahit, mengemaskan rumah dan hal-hal yang bersangkutan dengan kehidupan rumah tangga akan diajarkan oleh ibunya, saudara-saudara perempuan ibu atau nenek mereka. Walau bagaimanapun seluruh aktiviti sosialnya tetap berada di bawah pengawasan ayah dan mamaknya.
Khusus bagi anak perempuan remaja, masalah perkahwinan dibicarakan lebih awal. Dalam budaya Minangkabau membiarkan gadis belum bersuami pada usia yang sesuai mengikut adat adalah sesuatu yang amat memalukan. Gadis atau perawan tua merupakan sesuatu yang amat memalukan bagi seorang mamak dan seluruh keluarga. Hal ini disebabkan masyarakat akan memandang bahawa gadis itu mungkin tidak dapat melahirkan anak atau mempunyai kecacatan. Gadis yang susah untuk bersuami mungkin akan dipandang oleh masyarakat bahawa gadis tersebut mempunyai tingkah laku yang kurang baik terutamanya dari segi akhlaknya. Oleh kerana itu, bila seseorang gadis meningkat remaja, mamak akan berunding bersama-sama ayah si gadis untuk membicarakan calon suami yang selayaknya bagi si gadis. Biasanya, mamaklah yang banyak menentukan manakala si ayah hanya akan menurut sahaja.
Mempunyai gadis tua dalam sesebuah rumah tangga merupakan suatu aib yang akan menjadi beban sepanjang hidup dalam sesebuah keluarga. Oleh kerana itu untuk mendapatkan jodoh bagi gadis tersebut setiap keluarga akan bersedia mengadakan segala-segalanya termasuk meggadaikan harta pusaka kaum. Dalam suasana yang paling mendesak mereka hampir dapat mempertimbangkan berbagai calon tanpa memandang usia atau telah menikah asalkan gadis tersebut mempunyai suami[5].
Perkahwinan juga dapat digunakan untuk menaikkan martabat kerabat atau kaum termasuklah dengan menjodohkan anak gadis tersebut dengan orang yang lebih baik disebabkan hartanya, pangkatnya, dan ilmunya. Secara tidak langsung mereka mempunyai hubungan kekerabatan dengan orang yang disegani dalam masyarakat sehingga mereka akan mendapat tempat yang lebih baik dari sedia kala dalam pandangan masyarakatnya. Sekiranya dalam perkahwinan itu melahirkan keturunan maka dengan sendirinya mereka mempunyai kemenakan yang berketurunan baik. Perkahwinan juga dapat digunakan untuk mengukuhkan hubungan sosial antara kerabat, sahabat dan menyambung pertalian yang sudah terputus. Sebagai contoh perkahwinan anak dengan kemenakan, perkahwinan dengan anggota kerabat besan, perkahwinan anak kemenakan dengan anak kemenakan, perkahwinan anak kemenakan dengan anak kemenekan besan atau ipar yang telah lama terputus disebabkan kematian (perkahwinan ini dalam masyarakat Minangkabau dikenali sebagai silieh lapik)[6]. Selesainya perkahwinan dengan baik secara tidak langsung akan menaikan status anggota keluarga kerana telah memenuhi tuntutan adat. Pepatah mengatakan;
Lai kaciak baduang jo kain, Selagi kecil dibedung dengan kain,
Lah gadang baduang jo adat. Sudah besar dibedung dengan adat.[7]


Maksudnya selagi kecil anak diberi berpakaian dengan kain sedangkan kalau sudah besar diberi berpakaian adat maksudnya dikahwinkan. Oleh kerana itu lelaki atau perempuan yang sudah berkahwin disebut memakai adat.

3.2.2 Ibu sebagai Bundo Kandung


Menurut Musra Dahrizal Kati jo Mangkuto, seorang budayawan dan seniman di Padang, Sumatera Barat berpendapat bahawa Bundo Kanduang terdiri dari dua kata iaitu kata “Bundo” dan “Kanduang”. “Bundo” bererti ibu dan kata kata “kanduang” terdiri dari dua kata iaitu prefik “ka” ditambah ditambah dengan kata dasar “Anduang”. Prefik “ka” bererti “menjadi” atau “untuk jadi” dan “anduang” bererti nenek. Jadi “Bundo Ka-Anduang” ertinya kaum ibu di Minangkabau bukan sahaja dituntut menjadi ibu bagi anak-anaknya tetapi mereka juga dituntut menjadi nenek untuk cucunya kelak[8].
Seorang ibu atau seorang wanita di Minang memainkan peranan yang sangat penting. Seorang ibu akan meneruskan kelangsungan sesebuah suku yang akan menghasilkan individu-individu baru yang memiliki peribadi mulia dan diharapkan dapat mengharumkan nama kampung atau nama Minangkabau (khas untuk perantau). Jika dalam satu keluarga tidak ada lagi yang perempuan, keluarga itu dianggap sudah kehilangan keturunan. Ini bermakna tidak ada lagi yang akan melanjutkan keturunan kerana sistem nasab berdasarkan perempuan. Oleh yang demikian, setiap keluarga di Minangkabau selalu mengharapkan keberadaan perempuan di dalam keluarganya.
Makna kata “perempuan” dan “bundo kandung” mempunyai makna yang berbeza (sense of meaning) . Kata perempuan bermakna umum dan acuannya sangatlah luas sedangkan makna “bundo kandung” mengacu kepada perempuan Minangkabau yang mempunyai;
i) memahami adat dan sopan santun;
ii) mengutamakan budi pekerti;
iii) memelihara harga diri;
iv) memahami agama Islam; dan
v) memelihara diri dan masyarakatnya dari dosa
Perempuan dalam adat Minangkabau dapat dibahagikan kepada:
i) parampuan; mengacu kepada perempuan yang mempunyai budi pekerti yang baik, tawakal kepada Allah, bersopan santun dan saling hormat-menghormati. Sifat ini terungkap sebagaimana yang terdapat dalam ungkapan seperti berikut;

Budi tapakai taratik dengan sopan, Budi terpakai tertib dan sopan,
mamakai baso-basi di ereng, memakai baso-basi di iring,
tahu kepada sumbang salah, tahu kepada sumbang salah,
takut kepada Allah dan rasul, takut kepada Allah dan rasul,
muluik manih baso katuju, mulut manis baso ke tuju,
pandai bagaua samo gadang, pandai bergaul samo gadang,
hormat pada ibu jo bapa, hormat pada ibu dan bapa,
baitupun jo urang tuo. begitu juga kepada orang tua,

ii) simrewan; istilah yang mengacu kepada perempuan yang tidak mempunyai pendirian, tidak mempunyai budi pekerti. Sifat ini tampak sebagaimana yang terdapat dalam ungkapan berikut;
paham sebagai gatah caia, faham sebagai getah cair,
iko elok etan katuju, jika elok dan suka,
bak cando pimpiang di lereng, seperti pimpin di lereng,
bagai baliang-baliang di puncak bukik,. bagai baling-baling di puncak bukit,
ka mano angina inyo kakian, ke mana angin kencang ke mana pergi,
bia balaki umpamo tidak, biar bersuami umpama tidak,
itulah bathin kutuak Allah, itulah batin kutuk Allah,
isi narako tujuan lampiah; isi neraka tujuh lapis,





iii mambang tali awan; adalah perempuan yang sombong, tidak saling hormat-menghormati seperti berikut:
parampuan tinggi ati, perempuan tinggi hati,
kalau mengecek samo gadang, kalau bercakap sama taraf,
barundiang kok nan ramai, berunding kok nan ramai,
angan-angan indak ado ka nan lain, angan-angan tidak yang lain,
tasambia juo laki awak, tersebut juga laki awak,
dibincang-bincang bapak upiak, dibincang-bincang bapak anak-anaknya,
tasabuik bapak si buyuang, tersebut bapak si buyung,
sagalo labiah dari urang, segala lebih dari orang,
baiklah tantang balanjonya, baiklah tentang belanjanya,
baiak kasiah ka suami, baik kasih ke suami,
di rumah jarang beranjak-ranjak, di rumah jarang beranjak,
dilagakkan mulia tinggi pangkek, berlagak mulia tinggi pangkat,
sulit nan lain manamoi, sulit yang lain menandingi
suami jatuah hino, walau suami jatuh hina,
urang disangko tak baiduang, urang disangka tak berhidung,
puji menjulang langik juo. puji menjulang langit juga[9].



Meskipun secara alami kaum ibu lebih lemah berbanding kaum laki-laki, ini tidak bermakna kaum ibu diperlekehkan oleh laki-laki. Kaum perempuan di Minangkabau diberi bantuan dan bimbingan oleh kaum laki-laki. Hal ini dapat dilihat berdasarkan pepatah di bawah untuk menunjukkan bahawa wanita di Minangkabau dimuliakan;
Nan lamah makanan tueh; Yang lemah makanan tuah,
nan condong makanan tungkek; yang condong makanan tongkat,
ayam ado bainduak, ayam ada ibunya,
sirieh diagiah bajunjuang; sireh diberi junjung.

Kehadiran seorang ibu sebagai bundo kandung merupakan contoh dan teladan bagi masyarakatnya, bagi kaumnya, dan bagi rumah tangganya. Keutamaan seorang ibu sebagai bundo kanduang ialah pada pada budinya, pada keperibadaiannya, dan pada kemampuannya memberikan contoh kepada masyarakat. Peranan bundo kandung menjadi hiasan dalam kampung halamannya. Hiasan ini bukanlah berdasarkan kepada rupa parasnya tetapi keperibadiannya sebagai perempuan. Ia memahami adat dan sopan santun, mengutamakan budi pekerti, dan dapat memelihara harga diri seperti kehormatan kaumnya. Bundo kandung perlulah memahami ajaran Islam yang sebenarnya dan menjaga maruah diri dan masyarakatnya. Ungkapan tentang bundo kandung dinyatakan dalam pepatah berikut;

Bundo kandung, Bundo kandung,
limpapeh rumah nan gadang, tinggal di rumah gadang,
sumarak dalam nagari, semarak dalam negeri,
hiasan di dalam kampuang, hiasan di dalam kampong,
nan tahu di malu sopan, yang tahu malu sopan,
kamahias kampuang jo halaman, penghias kampung dan halaman,
sarato koto nagari, serta kota negeri,
sampai ka balai jo musajik, sampai ke balai dan masjid,
sarato jo rumah tango, serta rumah tangga,
dihias jo budi baik, dihias dengan budi baik,
malu sopan tinggi sakali, malu sopan tinggi sekali,
baso jo basi bapakaian, bersopan dengan berpakaian,
nan gadang basa batuah, yang besar berbudi pekerti,
kok hiduik tampek banazar, kok hidup tempat bernazar,
kok mati tampek baniat, kok mati empat berniat,
tiang kokoh budi nan baik, tiang kokoh budi yang baik,
pasak kunci malu jo sopan, pasak kunci malu dan sopan,
hiasan dunia jo akhirat, hiasan dunia dan akhirat,
awieh tampek minta aia, haus tempat minta air,
lapar tampek mintak nasi. lapar tempat minta nasi.


Ungkapan pepatah dapat disimpulkan di dalam pantun berikut;

Masaklah buah kacang padi, masaklah bubur kacang hijau,
dibaok nak rang ke tangah pasa, dibawa anak orang ke tengah pasar,
padi nan masak batangkai-tangkai; padi yang masak bertangkai-tangkai;

bundo kandung tauladan budi, bundo kandung teladan budi,
paham usah namuah tajua, faham usah jangan terjual,
budi nan tidak amuah tagadai. budi jangan dibawa tergadai.[10]








3.2.3 Ibu sebagai Pemilik Harta


Menurut garis matrilineal, pemilik harta di Minangkabau adalah kaum perempuan yang sudah dewasa atau sering disebut sebagai ibu. Golongan laki-laki tidak mempunyai hak untuk memilikinya dan ia hanya mempunyai hak menjaga dan mengolahkannya. Menurut adat Minangkabau harta pusaka (pusako), iaitu harta warisan akan diterima dari mamak oleh kemenakan. Harta ini akan dipertahankan dengan tujuan untuk menjaga kepentingan kerabat. Walaupun harta tersebut di wariskan dari mamak kepada kemenekan, namun kemenakan laki-laki tidak mempunyai hak untuk memilikinya. Ia hanya berhak untuk menjaga sedangkan pemilik yang sah ialah kemenakan perempuan. Segala penggunan hasil daripada harta tersebut diuruskan oleh perempuan iaitu ibu. Jesteru itu, di Minangkabau, pemilik harta ialah kaum perempuan dan laki-laki tidak mempunyai hak untuk memilikinya.
Sebagai pemilik harta pihak ibu akan menggunakan dan mengusahakan harta tersebut sesuai dengan ketentuan adat. Harta pusaka ini akan dibahagi dua iaitu untuk keperluan sehari-hari. Yang digunakan untuk keperluan keluarga itu adalah hasil daripada harta tersebut, bukan harta itu sendiri. Keperluan yang kedua ialah keperluan yang mendesak dan perlu di utamakan. Sekiranya tidak diberi keutamaan akan menjatuhkan maruah dan merupakan satu aib dalam sesebuah kekerabatan. Harta tersebut hanya dapat digunakan untuk empat tujuan iaitu;
i) Mayat tabujuue tangah rumah (mayat terbujur di tengah rumah)
Dalam hal kematian di mana pihak keluarga tidak mempunyai dana yang mencukupi untuk pengurusan penguburan. Ini termasuklah pengurusan dalam aspek pemandian mayat, sembahayang mayat, pengebumian mayat dan hal-hal yang bersangkutan dengan kematian.
ii) Gadis gadang indak balaki (Gadis dewasa belum bersuami)
Bila kemenakan perempuan belum bersuami, hal ini amat merisaukan keluarga, apalagi kalau anak tunggal. Hal ini disebabkan jikalau seseorang anak tunggal itu tidak berkahwin akan menyebabkan sistem kekeluargaan yang bernasabkan perempuan akan punah. Malahan, mamak dan si ayah akan berusaha mencari orang jemputan untuk menjadi suami dengan memberi uang jemputan.[11]
iii) Mambangkik batang tarandam (membangkit batang terendam)
Bila upacara gelaran pusako tidak diadakan (balipek) kerana tidak mempunyai perbelanjaan yang cukup misalnya upacara batagak penghulu, maka proses penggadaian harta boleh dilakukan.
iv) Rumah gadang katirisan atau panutuik malu diri (Rumah gadang yang bocor atau penutup harga diri)
Bila salah satu anggota kaum berhutang dan tidak dapat diselesaikan maka untuk menutup malu keluarga harta tersebut terpaksa digadaikan. Demikian juga, sekiranya rumah gadang tidak layak lagi untuk diduduki bersama misalnya bocor atau suda lapuk maka penggadaian boleh dilakukan untuk membaiki atau membuat rumah gadang yang lain. Pada masa sekarang perbelanjaan yang lain misalnya keperluan wang kuliah, perubatan, perbelanjaan untuk merantau harta tersebut boleh digadaikan untuk mengatasi kesulitan seketika,

3.2.4 Ibu sebagai Pendidik Anak

Hubungan ibu dengan anak ialah hubungan secara alamiah. Ia mempunyai hubungan yang amat erat sekali dan peranan ibu ialah menjaga anak sewaktu dalam kandungan, melahirkan anak, membesarkan anak dan seterusnya mendidik anak untuk menjadi seseorang yang berguna. Ibulah yang akan mendidik seorang anak untuk berdikari, mendidik dalam budi bahasa terutama dalam aspek adat dan agama. Biasanya ibu melakukan pendidikan melalui cerita sebelum anak-anaknya tidur. Hal ini akan diteruskan sehinggalah anak-anak ini benar-benar memahami tentang ajaran adat dan agama.
Menjelang kanak-kanak berumur 6 tahun anak-anak akan diminta untuk mempelajari agama Islam di surau. Pada waktu inilah anak-anak akan diajar untuk mengaji Al-Quran, sembahyang lima waktu dan ilmu asas dalam agama Islam. Pada waktu ini ibu, ayah dan mamak akan bersama-sama membantu mengawasi anak belajar.
Khusus anak perempuan pihak ibu akan lebih memberikan perhatian untuk mempersiapkan anak-anaknya untuk hidup dalam alam rumah tangga. Anak-anak perempuan akan mendapat pengawasan yang amat rapi dari ibu terutama cara bersopan santun, cara bergaul, cara bercakap, cara berpakaian dan bagaimana melayani suami. Biasanya pendidikan seperti ini berlaku secara turun-temurun. Seterusnya, pendidikan adat dan agama akan diturunkan dari satu generasi ke generasi berikutnya. Disebabkan hubungan ibu dan anak lebih dekat berbanding ayah maka segala masalah dan kesulitan yang dihadapi oleh anak-anak sama ada lelaki atau perempuan lebih banyak mengadu kepada ibunya. Sekiranya masalah yang diadu itu idak dapat diselesaikan oleh ibunya, barulah ibu akan meminta pertolongan dari ayah atau mamak. Ada juga anak-anak yang tidak mengenali ayahnya disebabkan ayahnya jarang berada di rumah isterinya pada waktu siang hari. Ia hanya pulang pada malam hari dan keluar rumah isterinya pagi-pagi lagi sehingga anak tidak mengenali wajah ayahnya sendiri.[12]





3.3 Kedudukan dan Peranan Lelaki dalam adat Minangkabau


3.3.1 Kedudukan Lelaki Minangkabau – Kanak-kanak sehingga belum berkahwin


Perkembangan pendidikan, sosial dan ekonomi dalam kehidupan di sebuah rumah gadang diatur dan dikendalikan oleh seorang mamak. Pada masa pendidikan yang sangat sederhana anak-anak akan memperoleh mereka. Akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20, anak-anak telah dihantar ke sekolah-sekolah yang berdekatan dengan rumahnya untuk mendapatkan ilmu pengetahuan, pendidikan moral, agama dan norma-norma sosial dari mamak mereka disamping dan nenek Semua perbelanjaan akan diuruskan oleh mamak.
Waktu bayi lelaki masih dalam buaian, sang ibu akan mendodoikan anak lelakinya seperti berikut anakku lekaslah gadang, untuk gadang di rantau orang (anakku lekaslah besar, untuk besar di rantau orang). Sewaktu anak-anak ini bermain sesama mereka mereka juga suka berpantun misalnya:
Keratau madang di hulu,
Berbuah berbunga belum;
Merantau bujang dahulu,
Di rumah berguna belum,

Tangsi Curup Muara Aman,
Lebong dibuka oleh maskapai;
Bunda kandung teguhkan iman,
Melepas anak dagang sangsai.

Kalau jadi anak ke pecan,
Iyu beli belanak beli,
Ikan panjang beli dahulu,
Kalau jadi anak berjalan, Ibu cari dunsanak cari,
Induk Semang cari dahulu.

Kalau pandai berkain panjang,
Lebih dari berkain sarung;
Kalau pandai berinduk semang,
Lebih dari berbunda kandung[13].

Pada waktu ini dia masih tinggal di rumah ibunya beserta anggota perempuan yang lainnya termasuk dengan neneknya. Pada waktu ini, kanak-kanak lelaki akan mendapat pengaruh dari interaksi antara perempuan sesamanya. Proses ini berlanjutan sehingga si anak berusia enam hingga tujuh tahun.

Anak-anak lelaki antara usia 7 sampai 10 tahun didorong keluar dari rumah ibunya pada waktu malam dan mereka tidur di surau-surau yang berada di kampungnya atau yang berdekatan dengan rumah ibunya. Ini bermakna anak laki-laki hanya tinggal bersama ibunya sampai umur 6 tahun[14]. Mereka tidur dan bermain di sekitar surau atau tidur bersama rakan-rakan mereka di lapau (warung/kedai nasi). Pulang ke rumah ibunya hanya untuk menukar pakaian, makan dan mengambil keperluan yang lainnya. Ketika mereka mencapai usia 11 sampai 12 tahun, mereka menjadi pengunjung tetap lepau-lepau tersebut. Usia bagi anak laki-laki yang sedang meningkat remaja mamak akan mengajar mereka bersawah, bertukang atau berdagang sesuai dengan kemahiran yang ada pada si ayah atau si mamak[15].
Pada waktu ini juga pendidikan agama Islam ditingkatkan dan biasanya mereka diajarkan membaca Al-Quran. Mereka hanya kembali ke rumah pada waktu makan dan membersihkan pakaian. Mereka menghabiskan masa remaja mereka di dua tempat tersebut iaitu lepau dan surau. Surau adalah pusat-pusat pendidikan agama dalam pengertian yang luas termasuk hal yang berkaitan dengan masalah masyarakat. Surau merupakan suatu institusi pendidikan yang sangat penting kepada orang Minangkabau sebagai tempat untuk mempelajari dan menerapkan tingkah laku yang berkaitan sopan santun dan kepatuhan kepada perintah Allah. Lepau pula adalah satu institusi mempelajari dan mempraktikan ilmu perniagaan, melambangkan unsur keduniaan, kekasaran, dan keberanian. Kadang-kadang terjadinya perkelahian sesama mereka.
Pada masa inilah perantau-perantau sama ada yang sudah berkahwin ataupun yang belum akan mempamerkan keberhasilan mereka di rantau. Sewaktu mereka berada di lepau atau masjid mereka akan cuba mempamerkan pakaian yang bagus dan perhiasan diri yang lain misalnya jam tangan, cermin mata dan cincin. Pada waktu inilah mereka berbual dengan anak muda di lepau ataupun sebelum dan selepas sembahayang di surau. Berdasarkan penampilan yang ditunjukkan oleh perantau ini tentunya akan mendorong anak-anak muda untuk turut merantau. Biasanya mereka akan mengikut bersama perantau-perantau sebelum ini dan ada juga merantau secara bersendirian[16]. Berhampiran surau atau lepau biasanya ada gelanggang untuk mempelajari pencak silat sebagai salah satu cara untuk membela diri waktu berada di perantauan sekiranya berlaku hal yang tidak diingini. Selain itu, beberapa perayaan kampung juga di adakan di tempat ini. Ketrampilan ilmu silat sangat penting sebagai persiapan awal kepada remaja lelaki yang akan merantau.
Jika laki-laki asyik berbual di lepau sepanjang hari dan tidak mahu mendengar pengajian atau mempelajari agama mereka dinamakan sebagai parewa (perusuh). Sebaliknya, laki-laki hanya tinggal di surau dan tidak bergaul dengan masyarakat di lepau mereka di namakan sebagai pakih. Baik parewa ataupun pakih kedua-dua jenis ini bagi orang Minangkabau menganggap mereka tidak sempurna dalam hidupnya. Jadi, bagi anak Minangkabau memiliki pengalaman yang seimbang sama ada di surau atau di lepau sangat penting.[17]
Pada umumnya, kehidupan laki-laki Minangkabau kebanyakannya dihabiskan di luar rumah dan mereka menjadi manusia yang peka kepada isu-isu semasa berada dalam masyarakat dan juga isu luar dari masyarakatnya. Isu-isu dalam masyarakat kampung termasuklah upacara batagak penghulu (penggantian penghulu), upacara perkahwinan, upacara batagak rumah (mendirikan rumah), upacara menyambut kelahiran bayi dan juga perayaan dalam agama Islam misalnya maulidur rasul, menyambut tahun baru hijrah, menyambut hari raya puasa dan haji dan upacara menjelang bulan puasa. Tempat melaksanakan pendidikan adat biasanya tidak ditetapkan pada suatu tempat tetapi dapat saja dilakukan pada rumah adat kaum tersebut, rumah kemenakannya, dibalai adat, sewaktu rehat di rumah ataupun selepas menunaikan solat lima waktu di surau atau di masjid. Pada waktu malamnya mereka akan mendengar kaba (cerita rakyat), belajar menari, berseluang (meniup serunai) dan berdendang.
Dalam upacara adat ini ataupun menyambut perayaan agama kemenakan disuruh penghuunya untuk memperhatikan jalannya upacara adat dari awal sampai selesai ataupun kemenakan disuruh penghulunya untuk mewakilinya. Kemenakan tersebut betul-betul ikut memegang peranan dalam upacara adat dan dapat membandingkan pengetahuan adat yang diperolehnya secara lisan dengan pelaksanaan yang sesungguhnya. Apabila dia sudah menjadi Penghulu dia tidak akan berasa canggung lagi untuk melaksanakan kewajipannya. Ini menunjukkan bahawa peraturan adat boleh dipelajari secara teori tetapi masalah yang menyangkut pelaksanan adat haruslah diberikan melalui pengalaman sebenar. Walaupun cara ini memakan waktu yang lama, tetapi pengetahuan adat yang diperolehinya sangat baik[18]. Biasanya isu luar ini dibawa oleh perantau Minangkabau yang pulang ke kampong halamannya. Gaya kehidupan mereka itu menciptakan sesuatu komuniti yang dinamik. Menurut adat, tidaklah sesuai bagi lelaki tinggal sepanjang hari di rumah ibunya kecuali sewaktu ibunya memerlukan bantuan dari anaknya. Dengan sebab itu kaum lelaki Minangkabau disebut sebagai orang berumah pada sanak saudara. Pada umumnya, laki-laki Minangkabau tidak memiliki rumah di kampungnya. Kampung mereka hanya menyediakan surau dan lepau.[19]
Setelah menjalani kehidupan di surau dan di lepau anak remaja lelaki ini ini akan memasuki kehidupan dalam masyaraakat luas. Pada waktu ini dia akan memikirkan untuk hidup dalam alam rumah tangga. Pada waktu ini dia akan berusaha bekerja dan salah satu cara untuk mendapatkan pekerjaan ialah dengan merantau. Apabila sukses di rantau, dia akan kembali ke kampung untuk mencari jodoh yang yang sesuai dengannya. Proses perantauan dan perkahwinan adalah ciri yang sangat penting ke arah pendewasaan seorang laki-laki Minangkabau[20]. Di Minangkabau sebelum laki-laki itu berkahwin mereka tidak akan diajak untuk bersama-sama membincangkan masalah keluarga dan juga masyarakat sekitarnya. Mereka belum dianggap menjadi orang sehinggalah mereka berkahwin. Oleh yang demikian, melalui jalan perkahwinan sahajalah barulah kehidupan seseorang lelaki itu sudah lengkap.
Pengawasan dan tanggung jawab seorang mamak terhadap kemenakan laki-laki di akhiri sewaktu mempersiapkan pasangan ke alam perkahwinan. Bagi anak-anak lelaki hal yang sangat penting ialah menyiapkan gelar adat pusaka yang akan dilaksanakan menjelang masa pernikahan.
Hal ini sesuai dengan peribahasa Minangkabau ketek banamo, gadang bagala (kecil bernama, besar bergelar) yang bermaksud setiap anak-anak lelaki Minangkabau
sewaktu kecil akan diberi nama dan kemudian bila dewasa akan diberi gelaran[21]. Kalau ia sudah tua ia tidak dapat tinggal bersama isterinya di rumah mertuanya. Hal ini disebabkan kamar yang selama ini ditempatinya perlu diserahkan kepada anak perempuannya dengan suaminya. Seterusnya, ia akan pergi ke surau iaitu tempat tinggal masa remajanya yang lampau. Ia akan bergaul dengan anak remaja yang lain yang sudah berbeza. Sebaliknya, suami yang telah menjadi laki-laki tua tidaklah akan tersia-sia hidupnya sekirannya ia mengamalkan ajaran adat sebagaimana yang sepatutnya. Yakni, menjaga keseimbangan hidupnya di antara kepentingan anak dan isterinya dan kemenakan dan kaum kerabatnya, sebagaimana yang diungkapkan dalam pepatah anak dipangku kemenakan dibimbing (anak dipangku kemenakan dibimbing)[22]. Sekiranya ia tidak dijaga dengan sempurna oleh isterinya, ada kemenakan dan kerabatnya yang akan menjaganya setidak-tidaknya mencari seorang isteri lagi sehingga ia meninggal dunia.


3.3.2.1 Pendahuluan – Kedudukan Mamak

Dalam masyarakat Minangkabau, adat telah telah menentukan bahawa seseorang mamak mempunyai kedududukan yang tinggi dalam keluarga dan memikul tanggung jawab yang besar. Mamak dapatlah didefinisikan sebagai saudara laki-laki kandung dari seorang ibu. Mamaklah yang memainkan peranan yang bersangkutan dengan persukuan, penjagaan harta pusaka termasuk gelaran pusaka. Ketiga unsur ini diwariskannya kepada kemenakannya. Maksud kemenakan pula ialah anak laki-laki dan perempuan dari saudara perempuan kandung. Dalam hubungan ini dapat digambarkan bahawa pemegang peranan keluarga dipimpin oleh seorang mamak, bukannya ayah.
Dalam proses perkembangan globalisasi adat Minangkabau juga mengalami perubahan terutama yang berkaitan dengan sistem kekeluargaan Minangkabau. Struktur rumah tangga sudah beransur-ansur mengacu kepada keluarga inti; ayah, ibu dan anak. Sistem kekeluargaan yang bertunjangkan kepada komuniti semakin ditinggalkan oleh generasi baru. Pada dasarnya setiap pergeseran nilai-nilai adat tentunya akan ditentang oleh adat. Namun demikian, tanpa disedari proses globalisasi tersebut turut terjadi terutama yang berkaitan dengan pergeseran-pergeseran walaupun tidak secara keseluruhan. Pada masa ini kebanyakan tanggung jawab untuk menjaga anak-anak sudah beralih kepada ayah.


3.3.2.2 Mamak sebagai Kepala Kaum



Kedudukan mamak sebagai kepala kaum terutama diperuntukan bagi seorang penghulu yang dipilih sebagai mamak kaum (penghulu suatu kaum). Sebagai penghulu mamak kaum ia lazimnya menjadi anggota Kerapatan Adat dalam dewan pemerintahan dalam nagari.
Tanggung jawab seorang mamak kaum sangatlah besar iaitu bermula dalam urusan perkahwinan, upacara adat, serta menyelesaikan perselisihan antara anggota rumah gadang yang satu dengan yang lain. Seseorang mamak kaum haruslah berperanan untuk menempatkan diri secara adil sesuai dengan ketentuan adat[23]. Sekalipun tanggung jawab mamak kaum sangatlah besar, tetapi untuk urusan yang terjadi dalam masing-masing rumah gadang, mamak kaum tidak ikut campur kecuali jika diminta dan peranannya haruslah bersesuaian dengan adat.


3.3.2.3 Mamak sebagai Kepala Waris

Semua saudara lelaki dari ibu disebut sebagai ‘mamak rumah’. Saudara lelaki tertua dari ibu disebut sebagai ‘tungganai’ atau mamak kepala waris. Segala permasalahan yang ada terutama yang berkaitan dengan mamak dan kemenakan maka ‘tungganai’ yang mengetuai untuk menyelesaikan masalah yang ada. Mamak kepala waris hanya berhak untuk menjaga atau memelihara harta warisan itu. Ia tidak berhak untuk memakai atau menggunakannya. Penggunaannya tetap diatur oleh perempuan tertua dalam rumah gadang yang disebut amban puruak.[24] Hasil harta pusaka atau harta pusaka itu sendiri hanya dapat digunakan oleh kemenakannya dan diatur oleh perempuan. Jadi, meskipun mamak kepala waris memiliki kekuasaan untuk mengepalai hartanya ia tidak berbuat sewenang-wenangnya mengunakan harta itu. Permasalahan itu termasuklah yang berkaitan dengan urusan harta pusaka, urusan perkahwinan, urusan pajak gadai, urusan bimbingan kemenakan, dan sebagainya. Dalam ketentuan adat Minangkabau pusaka harta maupun pusaka gelar diwariskan dari ninik kepada mamak dan dari mamak kepada kemenakan berdasarkan sistem nasab ibu. Ini bererti pusaka gelar merupakan milik perempuan. Oleh yang demikian, pusaka gelar hanya berhak disandang oleh anak laki-laki dari perempuan dalam kaum tersebut.
Dalam hal ini tungganai akan berperanan untuk menjaga disiplin dan akhlak sesuai dengan pepatah adat berikut;
Kemenakan berajo ka mamak ; Kemenakan patuh kepada mamak; mamak barajo ka panghulu; mamak patuh kepada penghulu, barajo ka mufakat; penghulu tunduk kepada mufakat; mufakat barajo ka nan bana; mufakat tunduk kepada yang benar; nan bana manuruik alue jo patuik. yang benar menurut ukuran aturan dan kepantasan[25].


Di dalam sesebuah kaum terdapat beberapa tungganai. Dalam sesuatu kaum terdapat pula beberapa mamak kepala waris. Kedudukan mamak tungganai (kepala waris) setingkat lebih rendah di bawah kepala kaum menurut adat di Minangkabau.

3.3.2.4 Mamak sebagai Pembimbing

Kedudukan harta pusaka kaum jatuhnya ke tangan anak perempuan dan anak lelaki harus hidup dari pencahariannya sendiri. Tetapi, keputusan strategis tentang adat dan kehidupan sehari-hari tetap berada di tangan ninik-mamak yang semuanya lelaki. Tidak ada satu keputusan pun yang selesai di tangan perempuan, termasuk dalam mengelola harta pusaka yang katanya mutlak menjadi milik perempuan. Satu-satunya warisan budaya yang menjadi kebanggaan perempuan Minangkabau mungkin hanyalah bahawa anak yang mereka lahirkan mengikuti garis keturunan silsilah ibunya.
Dalam kaitan dengan sitem matrilineal, tanggung jawab pengawasan seorang mamak terhadap kemanakan perempuannya sudah berumah tangga. Tanggung jawab yang lebih utama dan berat adalah bila kemanakan perempuan dicerai oleh suaminya. Seluruh kehidupan sosial dan ekonomi kemanakan yang bercerai itu akan menjadi tanggung jawab mamak. Ini bermakna peranan mamak menjaga harta pusaka untuk menyelesaikan permasalahan seperti ini.
Tanggung jawab mamak kepada kemenakan perempuan termasuklah persiapan untuk menyambut warih bajawek (waris berterima) dan persiapan untuk melanjutkan keturunan. Warih bajawek mempunyai hubungan dengan peranan wanita yang akan menjadi Bundo Kandung atau Limpapeh Rumah Nan Gadang.[26] Di rumah ia berperanan sebagai seorang ibu dan nenek yang akan mengasuh anak-anak dan cucu-cucunya.

3.3.3 Kedudukan Bapa dalam Keluarga Minangkabau


3.3.3.1 Pendahuluan


Kedudukan bapak mulai berperanan setelah Islam berkembang di Minangkabau, tetapi sebelum Islam masuk bapa hanya dianggap orang luar. Ia tidak mempunyai kuasa terhadap keluarganya dan orang yang berkuasa pada waktu itu ialah mamak (saudara laki-laki ibu).


3.3.3.2 Bapa sebagai Ketua Keluarga

Rumah gadang adalah milik bersama sesuatu kaum. Setelah anak gadis dalam rumah gadang telah berkahwin, maka suaminya akan dijemput untuk tinggal bersama di rumah gadang tersebut. Kedudukan setiap suami di atas rumah gadang adalah sebagai seorang bapak atau kepala keluarga. Ia bertanggung jawab memimpin keluarganya iaitu anak dan isterinya. Disebabkan ia menjadi ketua keluarga di atas rumah gadang milik kaum isterinya maka haruslah tunduk dan patuh kepada laki-laki tertua rumah gadang tersebut yang dikenali sebagai tungganai.[27]

3.3.3.2 Bapa sebagai orang Sumando (semanda)


Dalam kekerabatan matrilineal, seseorang suami juga menjadi orang sumando di atas atas rumah isterinya. Sebagai orang sumando, seseorang bapak mempunyai beberapa peranan dan kewajipan yang harus dilakukannya. Kedudukan orang sumando di rumah isterinya dipandang sebagai seorang tetamu terhormat di rumah isterinya. Ia menjadi tamu disebabkan kehadiran di rumah isterinya dijemput secara adat oleh keluarga isteri.
Sebagai seorang tamu, seseorang suami harus berkewajipan untuk mengikuti segala ketentuan adat yang berlaku. Seorang suami juga harus tunduk kepada perintah mamak. Adat yang digunakan di rumah isterinya haruslah dipatuhinya. Seseorang sumando perlulah mempunyai ketinggian budi yang tinggi dan tidak harus melakukan sesuatu hal mengikut kata hatinya. Ia haruslah menjadi seorang suami yang bijak sana dan mengetahui setiap ungkapan yang dituturkan oleh setiap orang di atas rumah isterinya. Bagi pihak keluarga isteri, sumando tidak diberi tanggung jawab apa-apa dan beliau benar-benar dihormati. Perasaan orang sumando selalu dijaga agar perasaannya tidak terganggu. Hal itu dimaksudkan agar tidak terjadi perceraian disebabkan tingkah laku isteri, tingkah laku mamak rumah, tingkah laku mentua, tingakah laku saudara isterinya. Tingkah laku keluarga isteri kepada orang sumando disebut sebagai sarupo meneteng minyak panuah (seperti menentang minyak yang penuh) ertinya diperlakukan sangat berhati-hati agar orang sumando tidak tersinggung.
Seseorang isteri haruslah patuh kepada perintah suaminya. Ia dianggap sebagai abu di ateh tunggua (abu di atas tunggul). Ia hanya dapat bertahan di atas rumah sewaktu angin tidak kencang. Sewaktu angin sangat kencang, ia akan pergi dan meninggalkan rumah isterinya. Maksudnya, kedudukan orang sumando di atas rumah isterinya tidaklah kuat dan ia akan meninggalkan/menceraikan isterinya sekiranya di atas rumah tersebut tidak bersesuaian lagi dengan isi hatinya. Sekiranya terjadi perceraian orang sumando perlulah meninggalkan rumah isterinya sementara bekas isterinya tetap berada di rumah gadangnya. Pada waktu ini mamaknya akan mengambil alih tanggung jawab untuk menjaga anak kemenakannya[28].
Dalam kehidupan sehari-hari terdapat lima penilaian terhadap orang sumando. Kelima penilaianan tersebut seperti berikut;
i) Sumando Kacang Miang; iaitu orang sumando yang sering membuat kacau, suka menghasut, suka memecah belah sesama keluarga;
ii) sumando lapiak buruak (sumando tikar buruk); iaitu orang sumando yang bodoh dan tidak mahu keluar rumah untuk bekerja misalnya ke sawah, ke ladang atau berniaga untuk mencari nafkah anak dan isterinya. Pekerjaan yang dilakukannya adalah pekerjaan yang sia-sia dan tidak mendatangkan hasil misalnya bermenung dan malas melakukan pekerjaan yang bermanfaat,.
iii) sumando Langau Hijau; hanya berperanan untuk menambahkan anak seperti seekor lalat hijau yang terbang ke sana ke mari sehingga bertelur dalam sampah dan selepas itu terbang pula ke mana ia suka. Sumando seperti ini tidak mempunyai tujuan hidup yang sebenarnya. Sumando seperti ini sanggup meninggalkan isterinya yang sedang hamil dan tidak mampu memberikan jaminan hidup untuk keluarganya[29];.
iv) sumando Bapak Paja; berperanan untuk memperbanyak anak sahaja. Di tidak mempedulikan apa yang terjadi di kampung isterinya dan tidak bertanggung jawab di pihak keluarga isterinya. Baginya suasana kehidupan di kampungnya sendiri lebih utama, dan;
v) sumando Niniak Mamak; adalah sebenar-benarnya orang sumando. Dia tidak mengambil harta hak mamak rumah dan selalu dapat memahami suka-duka kehidupan rumah tangga isterinya. Selalunya pendapatnya selalu diminta bagaimana untuk mengatasi sesuatu masalah yang berlaku dalam keluarga isterinya[30].



3.3.2.4 Bapa Sebagai Penanggung Jawab Keluarga


Berpegang kepada pepatah adat iaitu anak dipangku, kemenakan dibimbing dan sekirannya peranan ini tidak dijalankan berdasarkan ketentuan adat. Kesannya pada masa depan laki-laki yang menjadi bapak bagi anaknya, dan menjadi mamak bagi kemenakannya biasanya akan sengsara. Tambahan pula, kalau ia bersenang-lenang atau sengaja memanfaatkan sistem adat untuk anaknya sendiri.
Tanggung jawab bapak, selain memenuhi segala keperluan keluarganya, juga keperluan yang bukan material misalnya keperluan pendidikan anak-anaknya dan kasih sayang. Ini bermakna setiap keluarga di Minangkabau mendapat bimbingan dan pengawasan dari tiga orang sekali gus iaitu dari ibu, bapak, dan mamak. Belumlah dapat dikatakan lengkap sekiranya ketiga-tiga unsur tersebut tidak ada. Berdasarkan pernyataan ini menunjukkan bahawa tanggung jawab bapak kepada keluarga dibantu daripada harta isterinya sedangkan hal yan bukan besifat material dibantu oleh mamaknya. Bapak dalam sesebuah keluarga Minangkabau bukanlah berdiri sendiri dalam mensejahterakan keluarga. Ini bermakna posisi seorang bapak haruslah pandai menempatkan posisi dirinya sama ada sebagai ketua keluarga ataupun sebagai sumando[31]. Walau bagaimanapun keadaan sekarang peranan ayah sebagai ketua keluarga lebih terserlah terutama dengan pemahaman ajaran Islam yang sebenarnya yakni suami adalah ketua dalam sesebuah keluarga menurut perspektif Islam.

3.3.3.1 Kedudukan Laki-laki di Minangkabau sebagai kemenakan


Menurut adat Minangkabau kemenakan adalah anak dari saudara perempuan. Terdapat beberapa jenis kemenakan menurut adat iaitu;
i) Kemenakan bertali darah; kemenakan yang mempunyai nasab keturunan dengan mamak. Dalam pembahagian harta pusaka semua kemenakan itu berhak mengerjakannya dan sekiranya harta tersebut tergadai mereka bertanggung jawab untuk menebusnya;
ii) kemenakan bertali akar; kemenakan ini dari keluarga yang jauh dan sudah menetap di kampong lain;.
iii) kemenakan bertali emas; kemenakan yang tidak berhak menerima harta warisan gelar pusaka tetapi mungkin dapat menerima harta warisan jika diwasiatkan kepadanya kerana memandang jasa-jasanya atau disebabkan wangnya.
iv) kemenakan bertali budi; iaitu kemenakan yang datang dari luar dan mencari orang dan mencari orang yang sesuku dengannya serta dianggap sebagai mamaknya sendiri. Kemenakan ini dapat menguasai harta pusaka jika penghulu kandung dan kemenakannya rosak. Namun demikian, untuk pusaka gelarnya tidak mungkin kerana ia orang luar yang diterima di dalam persukuan kaum tersebut[32].

3.4 Kesimpulan

Berdasarkan perincian di atas berkaitan dengan kedudukkan perempuan dan laki-laki dalam kehidupan orang Minangkabau adalah manusia yang berbudaya adalah manusia yang beradab. Sifat-sifat ideal orang Minangkabau adalah;
i) Hiduik baraka, baukua bajangko, (Hidup berakal berukur berjangka) maksudnya kehidupan orang Minangkabau haruslah mempunyai makna yang jelas dan perkiraan yang tepat
ii) baso-basi jo sopan, Adat Minangkbau lebih mengutamakan sopan santun dalam pergaulan.
iii) tenggeng raso, dalam pergaulan yang baik adat mengajarkan agar selalu berhati-hati sewaktu bercakap dan tidak menyinggung perasaan orang lain.
iv) Setia, Orang Minangkabau hendaklah bersatu dalam kehidupannya sama ada sewaktu susah atau senang
Hal ini jelas menunjukkan bahawa laki-laki dan perempuan mempunyai peranan yang tersendiri dalam masyarakatnya. Bagi perempuan dan lelaki Minangkabau dengan memahami peranan dan kedudukan masing-masing tentunya akan memberikan semangat dan dorongan untuk menjalankan tugas dan kewajipan sebagai orang Minangkabau sebagaimana yang terdapat dalam pepatah Minangkabau;
Adat badunsanak, dunsanak patahankan,
Adat bakampuang, kampuang patahankan,
Adat bernagari, nagari patahankan,
Sanda basanda, seperti aur jo tabing,

“adat bersaudara, saudara pertahankan
adat berkampung, mempertahankan kampong,
adat bernegeri, negeri pertahankan,
sanda bersandar seperti aur dengan tebing”[33].


Maksud dalam pepatah ini ialah setiap orang mempunyai tugas dan kewajipannya masing-masing dan setiap orang hendaklah saling bantu membantu sesama mereka agar matlamat yang dikehendaki dalam falsafah hidup mereka akan tercapai. Setiap orang merasa tidak dirugikan dan masing-masing mempunyai peranan yang tersendiri.
Dalam adat Minangkabau orang laki-laki dan perempuan sama-sama diperlukan. Laki-laki diperlukan untuk memimpin kaumnya dan ia mempunyai kekuasaan terhadap anak dari saudara perempuannya dan juga berperanan untuk memimpin kerabantnya dari pihak saudaranya yang perempuan[34]. Perempuan diperlukan kerana ia memberikan zuriat pada kaumnya dan perlu membesarkan anak-anaknya untuk menjadi anggota yang baik. Justeru itu, dalam sistem yang mengamalkan adat matrilineal tidak ada orang yang yang merasa rugi atau dirugikan sama ada laki-laki ataupun perempuan. Kesannya, saudara laki-laki dan perempuan di satu pihak akan saling bergantung di anatara satu sama lain. Perempuan bergantung pada saudara laki-lakinya untuk perlindungan dirinya dan juga anak-anaknya. Sementara itu, akan juga mempengaruhi hubungan antara suami dan anak-anaknya. Untuk melangsungkan sistem matrilinealnya seorang isteri haruslah mengutamakan kaumnya berbanding dengan suaminya disebabkan anak-anak yang dilahirkannya akan menjadi anggota kaumnya sendiri. Demikian juga halnya dengan orang laki-laki, apabila diperlukan untuk memenuhi peranannya dalam kaumnya maka ia tidak boleh mengutamakan hubungan dengan isterinya.















KEDUDUKAN KEKERABATAN SISTEM MINANGKABAU

Paruik
(Kesatuan dari rumah gadang yang sama)
Paruik dipimpin saudara laki-laki ibu disebut tungganai


Kaum atau Payuang
Dipimpin oleh seorang penghulu payuang. Tugas penghulu payuang setingkat lebih tinggi dari tungganai kerana memimpin kesatuan yang lebih besar



Penghulu Suku
Mewakili sukunya melaksanakan prinsip adat dan mempin sukunya untuk berhubung dengan suku lain. (proses pemilihan penghulu suku melalui kesepakatan dari keluarga
terpilih dan ada juga hak sebuah keluarga)


Rajah 1.1 menunjukan sistem kekerabatan Minangkabau












[1] http://id.wikipedia.org/wiki/Matrilineal. Search pada 13. 12. 2006.
[2] Mochtar Naim, Merantau; Pola Migrasi Suku Minangkabau, Gajah Mada University Press, Yogyakarta, 1979, hlm. 18 – 21.
[3] Rumah Gadang adalah nama untuk rumah adat Minangkabau, provinsi Sumatera Barat. Rumah ini memiliki keunikan dari segi reka bentuk iaitu dengan atap yang menyerupai tanduk kerbau dibuat dari bahan ijuk (atap rumbia). Dihalaman depan Rumah Gadang biasanya selalu terdapat dua buah bangunan Rangkiang, digunakan untuk menyimpan padi. Search pada 15. November 2006.
[4] Amir M.S, Adat Minangkabau: Pola dan Tujuan Hidup Orang Minang, PT Mutiara Sumber Widaya, Jakarta, 2003, hlm. 9.
[5] A. A Navis, Alam Terkembang Jadi Guru: Adat dan Kebudayaan Minangkabau, PT Putaka Grafitipers, Jakarta, 1986, hlm. 210.
[6] Perkahwinan ini juga dikenali sebagai ganti tikar. Perkahwinan ini terjadi kalau seorang isteri meninggal dunia dan untuk menjaga anak-anak yang ditinggalkannya agar tidak mempunyai bapa tiri maka ayahnya dipinang lagi untuk berkahwin dengan adik dari isterinya yang meninggal dunia. Perkahwinan ganti tikar biasanya ditentukan oleh pergaulan dari seorang bekas suami dengan keluarga isterinya sebelumnya. Jika sebelumnya seorang suami bergaul dengan baik dengan keluarga isterinya maka keluarga isteri merasa berkesan dengan peribadinya dan kerana itu tidak mahu melepaskan begitu saja. Demikian juga seandainya seseorang duda merasa mendapat perlakuan yang baik dari mertua dan keluarga isterinya maka dia akan merasa berat untuk berpisah dengan keluarga tersebut apalagi kalau dilihat adanya calon yang mungkin menggantikan isterinya. Oleh kerana itu, dia akan bersetuju untuk berkahwin kembali dengan adik iparnya tersebut. Lihat seterusnya dalam Azami dkk, Adat dan Upacara Perkawinan Daerah Sumatera Barat, Departemen Pendidikan dan Kebudayaan Republik Indonesia, CV. Eka Dharma, 1997, hlm. 35..
[7] Azami dkk, Adat dan Upacara Perkawinan Daerah Sumatera Barat, 1997, hlm. 29.
[8] Bahren, Bundo Kanduang dan Bundo Ka-Anduang, Fakultas Sastra, Universitas Andalas, Padang, 24 Oktober 2005. http://www.unand.ac.id/sastra/. Diakses pada 15.Desember 2006.
[9] Yusrita Yanti, Peran dan Kedudukan Perempuan dalam Kebudayaan Minangkabau, Fakultas Ilmu Budaya, Universitas Bung Hatta, Padang, 17. 0gos 2005.
http://www.bung-hatta.info/content.php?article.107. Dakses pada 15. November 2006.

[10] Yusrita Yanti, Peran dan Kedudukan Perempuan dalam Kebudayaan Minangkabau, 17. 0gos 2005. http://www.bng-hatta.info/content.php?article.107. Search pada 15. November 2006.
[11] Di Padang Pariaman dikenal istilah wang jemputan dan wang hilang. Wang jemputan ialah sejumlah wang atau barang yang dibayarkan pihak perempuan kepada pihak laki-laki sebelum upacara perkahwinan. Besarnya atau jenisnya bergantung kepada persetujuan kedua belah pihak. Sekarang akan dilihat berdasarkan kelulusan seseorang bakal suami misalnya kelulusan yang lebih tinggi maka wang jemputannya juga tinggi kadang-kadang sebuah kereta atau motosikal. Dahulu wang jemputan diberikan kepada orang yang terpandang dalam masyarakat iaitu dari keturunan raja-raja, atau bangsawan yang bergelar bagindo, sidi atau sutan. Orang terpandang ini sering juga disebut sebagai urang japutan (orang jemputan). Perkembangan terakhir di Kabupaten Padang Pariaman menunjukkan bahawa hampir setiap perkahwinan telah mempunyai wang jemputan kecuali Padang Pariaman Selatan (daerah Padang luar kota). Wang hilang ialah sejumlah wang yang dibayarkan kepada calon menantu oleh keluarga perempuan. Wang ini dibayarkan pada saat tercapai persetujuan untuk berkahwin. Apabila wang hilang telah dibyarkan barulah tuka tando atau pertunangan dapat dilakukan. Lihat Azami dkk, Adat dan Upacara Perkawinan Daerah Sumatera Barat, 1997, hlm. 29.
[12] Peristiwa anak tidak mengenali ayah dapat dilihat berdasarkan tulisan Hamka;
…Pada suatu hari seorang laki-laki pulang ke rumahnya di luar dari kebiasaan, yaitu tengah hari. Maka bertemulah anaknya sedang bermain-main di tengah halaman. Anak itu lalu menegur, sebagaimana kebiasaan anak-anak yang belajar sopan: “Hendak ke mana mamak?”
Si ayah tercengang dan hamper marah. Lalu ditanyakannya kepada isterinya, mengapa anaknya berkata begitu. Si isteri juga marah kepada si anaknya, mengapa memanggil mamak kepada ayahnya. Anak tadi merasa dirinya tidak bersalah dan tidak patut dimarahi. Lihat Hamka, Islam dan Adat Minangkabau, Pustaka Panjimasa, Jakarta, 1984, hlm. 25
[13] Mohammad Zein Hasan, Kenangan-kenangan Buya Hamka dalam “Segi Kehidupan Hamka yang Tak Dikenal,” Pustaka Panjimas, Jakarta, 1983, hlm. 109.
[14] Hamka, Islam dan Adat Minangkabau, Pustaka Panjimasa, Jakarta, 1984, hlm. 25
[15] The Minangs are the world's largest matrilineal society, in which properties such as land and houses are inherited through female lineage. Some scholars argue that this might have caused the diaspora (Minangkabau, "merantau") of Minangkabau males throughout the Malay archipelago to become scholars or to seek fortune as merchants. As early as the age of 7, boys traditionally leave their homes and live in a surau (a prayer house & community centre) to learn religious and cultural (adat) teachings. When they are teenagers, they are encouraged to leave their hometown to learn from schools or from experiences out of their hometown so that when they are adults they can return home wise and 'useful' for the society and can contribute their thinking and experience to run the family or nagari (hometown) when they sit as the member of 'council of uncles'. http://www.answers.com/topic/minangkabau. Search pada 18. Desember 2006.
[16] Waterson, Roxana, The Living Hause; An Anthropology of Architecture in South-East Asia, Themes and Hudson, 1997, hlm. 230.
[17] Taufik Abdullah, School and Politics: The Kaum Muda Movement in West Sumatra (1927 – 1933), Cornel Modern Indonesia Project, Southeast Asia Program, Cornell University, Ithaca, New York, 1971, hlm 63. Lihat juga Usman Pelly, Urbanisasi dan Adaptasi; Peranan Misi Budaya Minangkabau dan Mandailing, PT Pustaka LP3ES Indonesia, Jakarta, 1994, hlm. 29.
[18] M. S. Dt. Rajo Penghulu, Bahasa dan Sastra Minangkabau, Pustaka Indonesia, Padang, hlm. 33.
[19] Hamka, Islam dan Adat Minangkabau, Pustaka Panjimasa, Jakarta, 1984, hlm. 55.
[20] Atman Efendi, Perkawinan Sumbang (Incest) dalam Karya Sastra yang Berlatar Minangkabau, Skripsi Sarjana, Fakultas Sastra; Universitas Andalas, Padang, 1991, hlm. 22.
[21] Pemberian gelaran ini tidak akan dilakukan sehingga laki-laki Minang sudah pasti akan menikah. Ini bererti namanya tiada dan diganti dengan nama gelaran yang diberikan kepadanya. Memanggil nama kecil bererti sebagai suatu penghinaan kepadanya terutama di pihak isterinya. Gelaran ini adalah warisan kerabat. Contoh nama gelaran ini misalnya marajo, indo, mangkuto, sinaro, batuah, cumano, kulipah, ibadaik, kari, dan katik. Ia akan di awali dengan gelar kehormatan misalnya sutan sehingga menjadi Sutan Sinaro, Sutan Samik, Kari Mudo, Katik Batuah. Lihat A. A Navis, Alam Terkembang Jadi Guru: Adat dan Kebudayaan Minangkabau, PT Putaka Grafitipers, Jakarta, 1986, hlm 133.
[22] A. A Navis, Alam Terkembang Jadi Guru: Adat dan Kebudayaan Minangkabau, PT Putaka Grafitipers, Jakarta, 1986, hlm. 219.
[23] Zulkarnaini, Budaya Alam Minangkabau: Minangkabau Ranah Nan Den Cinto, Usaha Ikhlas, Bukit Tinggi, 1994, hlm. 135.
[24] Rusda Ulfa, ‘Kedudukan Laki-laki di Minangkabau’ dalam Akhbar Singgalang, Padang, 4 Ogos 1996.
[25] Amir M.S, Adat Minangkabau: Pola dan Tujuan Hidup Orang Minang, PT Mutiara Sumber Widaya, Jakarta, 2003, hlm. 48.
[26] Rusda Ulfa, ‘Kedudukan Laki-laki di Minangkabau’ dalam Akhbar Singgalang, Padang, 4 Ogos 1996.
[27] Zulkarnaini, Budaya Alam Minangkabau: Minangkabau Ranah Nan Den Cinto, 1994, hlm. 140.
[28] Amir M.S, Adat Minangkabau: Pola dan Tujuan Hidup Orang Minang, 2003, hlm. 48.
[29] Peristiwa yang sesuai ciri-ciri sumndo Langau Hijau ini dapat dilihat berdasarkan tulisan Hamka seperti berikut:
Pada suatu hari adalah seorang anak perempuan tertangkap karena dituduh mencuri pada sebuah kedai. Anak itu pun dibawa ke muka pengadilan. Hakim menanyai siapakah ayahnya. Mula-mula dia malu memberi tahu siapa ayahnya, tetapi karena keras desakan hakim, kesudahannya diber tahunya juga. Rupanya ayahnya seorang beradat yang terkemuka di dalam nagari. Setelah hakim mendengar nama dan gelar ayahnya itu, beliu pun dipanggillah.
Setelah dipertemukan dengan dengan anak itu dan ditanyai, apakah dia kenal, beliau amat tercengang-cengang. Betul-betul dia tidak kenal anak itu; Hakim memberitahu, bahawasanya anak itu memberi keterangan, bahawa beliaulah ayahnya. Beliau lebih tercengang lagi, bukan dibuat-buatnya, betul-betul dia tidak kenal. Lalu beliau bertanya kepada anak perempuan itu, siapakah ibunya dan siapa ninik-mamaknya (penghulunya). Lalu, anak perempuan itu memberitahukan nama ibunya dan gelar mamaknya.
Barulah beliau ingat, dan mengangguk-anggukkan kepala di muka hakim, mengakui bahwasanya memang perempuan yang disebut itu pernah menjadi isterinya, dan ditinggalkannya (diceraikannya) sedang hamil! Sekarang barulah beliau tahu, bahwa jandanya itu ada beranak, dan anak itu telah besar. Lihat, Hamka, Islam dan Adat Minangkabau, 1984, hlm. 55.
[30] A. A Navis, Alam Terkembang Jadi Guru: Adat dan Kebudayaan Minangkabau, PT Putaka Grafitipers, Jakarta, 1986, hlm. 212.
[31] Zulkarnaini, Budaya Alam Minangkabau: Minangkabau Ranah Nan Den Cinto, 1994, hlm. 143.
[32] Rusda Ulfa, ‘Kedudukan Laki-laki di Minangkabau’ dalam Akhbar Singgalang, Padang, 4 Ogos 1996.
[33] Nasroen, Dasar Falsafah Adat Minangkabau, Bulan Bintang, Jakarta, 1957, hlm. 83.
[34] Gabungan antara penghuni rumah gadang asal dengan rumah gadang yang baru disebut sebagai kaum atau payung yang dipimpin oleh seorang penghulu payuang. Akhirnya gabungan dari kaum-kaum ini membentuk sebuah suku yang dikepalai oleh penghulu suku. Lihat Supardi, Pengaruh Kolonialisme Terhadap stratifikasi Sosial Masyarakat Minangkabau dalam Novel Salah Asuhan: Sebuah Tinjauan Sosiologi Sastra, Fakultas sastra, Jurusan Sastra Minangkabau, 1995, hlm. 25.

PENGARANG MINANGKABAU

BAB III
PENGARANG MINANGKABAU: LATARBELAKANG PENGARANG:

3.0 Pengenalan


Perkembangan di sini meliputi soal penghasilan novel yang dihasilkan oleh penulis Minangkabau yakni penulisan dan penerbitannya. Novel berasal dari bahasa Itali ‘novella’ yang bererti ‘sebuah barang baru yang kecil’, dan kemudian diertikan sebagai ‘cerita pendek’ dalam bentuk prosa. Sebelum kemunculan novel, tradisi penulisan sebenarnya telah lama wujud terutama bila wilayah di Nusantara ini telah menerima agama Islam sebagai pegangan akidah mereka. Agama Islam telah membawa huruf Arab menerusi Al-Quran dan melalui huruf Arab ini terus berkembang sebagai huruf Jawi. Semenjak huruf Jawi mula diterima dalam masyarakat Melayu di Nusantara, maka bermulalah tradisi penulisan. Sebelum ini perkembangan kesusasteraan berlaku secara lisan atau lebih dikenali sebagai sastera lisan. Pengenalan alat cetak yang dibawa oleh Barat dalam tahun 1800 menyebabkan tradisi penulisan semakin luas diterima dalam masyarakat Melayu Nusantara. Ini bermakna tradisi penulisan semakin diterima dalam masyarakat.
Roman pula bererti cerita yang ditulis dalam bahasa Roman, iaitu bahasa rakyat Perancis di abad pertengahan. Dalam pengertian moden, roman bererti cerita prosa yang melukiskan pengalaman-pengalaman batin dari beberapa orang yang berhubungan satu dengan yang lain dalam suatu keadaan. Secara umumnya roman ialah cerita rekaan berdasarkan kepada kehidupan yang dialami oleh manusia dan kerana itu mempunyai kemungkinan-kemungkinan untuk berlaku atau terjadi. Ahli-ahli sejarah sastera Indonesia misalnya A.Teeuw dan Ajip Rosidi lebih cenderung menggunakan kata roman terutama kepada novel-novel yang diterbitkan sebelum perang. Aning Retnaningsih mendefinisikan bahawa novel yang lahir pada peringkat awal pertumbuhan novel di Indonesia dikatakan sebagai roman moden. Roman moden rancangannya sangat luas. Gambaran lahir dari pelaku-pelaku atau watak-watak dengan pengalaman dan keperibadian pengarang sendiri, disertai dengan pengalaman dan keadan hidup sehari-hari yang bersifat kebetulan dan luar biasa, sampai kepada keperibadian batin yang mempunyai watak yang khas serta dengan dengan keadaan rasa hati dan konflik kejiwaan yang timbul oleh susunan watak itu. Apa yang dipaparkan di dalam moden ialah kehidupan sehari-hari dari manusia yang mendekati kenyatan-kenyatan yang sebenarnya[1]. Mengambil latar belakang dari kejadian-kejadian sekelilingnya yang menarik perhatian pengarang dari satu masa yang tertentu. Sebaliknya cerita dari hikayat dimulai dengan penderitaan-penderitaan terlebih dahulu, kemudian diakhiri dengan pengembaraan pelaku-pelaku yang mengembirakan, sesuai dengan fungsinya iaitu menghibur orang-orang yang sedang menderita. Isi yang terdapat alam hikayat kebanyakannya adalah romantis, berisi bermacam-macam keajaiban, peperangan dan pengembaraan yang tidak berkesudahan dan hidangan yang mewah dan menceritakan tentang kekuatan yang luar biasa pada seseorang watak dan kecantikan puteri-puteri.. Pada tahun 20-an isi yang terdapat dalam roman moden masih terlihat unsur-unsur hikayat sebagaimana yang terdapat dalam kesusasteraan Melayu lama. Sewaktu istilah ‘roman’ digunakan untuk genre novel zaman awal di Indonesia, genre novel zaman awal hanya digunakan dengan istilah ‘buku cerita’ satu istilah yang dipadankan dari frasa Bahasa Inggeris ‘story book’ di Malaysia. Istilah ‘buku cerita’ digantikan dengan istilah’novel’ hanya setelah kata ‘novel’ diperkenalkan oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1958[2]. Walaubagaimanapun, di dalam kajian ini roman dianggap sama dengan novel sama ada novel yang ditulis sebelum perang atau selepas perang[3].

3.2 Perkembangan Novel Penulis Sumatera Barat

Perkembangan novel penulis Sumatera Barat tidak dapat dipisahkan dengan perkembangan novel secara keseluruhannya di Indonesia. Pada peringkat awal pertumbuhan novel di Indonesia sebenarnya sudah dimulai bukan sahaja dari penulis Sumatera Barat tetapi juga meliputi penulis dari pulau Sumatera yang lainnya terutama dari penulis Mandailing, Aceh, Sumatera Utara, Palembang, Pulau Jawa, Sulawesi dan lain-lain. Sebelum novel Azab dan Sengsara(1920) yang merupakan novel pertama Balai Pustaka, didapati telah terbit beberapa buah novel lain. Novel-novel ini berlatar-belakangkan daerah-daerah di sekitar Pulau Jawa. Karya-karya tersebut termasuklah karya Raden Mas Djokomono Tirto Aghi Soerjo yang berjudul Cerita Nyai Ratna(1909), Membeli Bini Orang(1909) dan Busono(1912). Seterusnya karya Mas Marco Kartodikromo ialah Mata Gelap dan Student Hijau. Gadis Bali Ni Rawit Penjual Orang oleh Panji Tisna oleh Panji Tisna dan Hikayat Siti Mariah ditulis oleh H. Moekti. Fatimah Busu menganggap Hikayat Siti Mariah(1910-1911) merupakan novel terawal Indonesia berasaskan kepada penampilan watak-watak yang terdiri dari bangsa penjajah dan watak peribumi. Penampilan watak ini memperlihatkan realiti kehidupan di Indonesia di bawah penjajahan Belanda. Latar yang terdapat alam novel ini juga adalah latar yang sebenarnya terutama pemamparan kilang gula dan ladang tebu. Novel ini juga disampaikan di dalam bahasa Melayu loghat Jawa yang disesuaikan dengan latar kehidupan dan suasana di Pulau Jawa[4].
Walaubagaimanapun, ahli sejarah sastera Indonesia sudah sependapat bahawa sebelum Perang Dunia Kedua, penulis dari Sumatera Barat merupakan penulis yang paling dominan menghasilkan novel-novel terutama dari penerbit Balai Pustaka. Umar Junus menganggap hasil-hasil kesusasteraan khususnya novel yang diterbitkan oleh Balai Pustaka pada peringkat awalnya dianggap telah memulai satu sastera moden yang berbeza dengan sastera tradisional. Perkembangan ini dianggap sebagai masa baru dalam perkembangan kesusasteraa Melayu di Indonesia[5]. Angkatan Balai Pustaka juga dikenali sebagai angkatan 20 kerana novel pertama yang diterbitkan telah dapat memberi corak kesusasteraan Indonesia moden. Novel tersebut berjudul Azab dan Sengsara oleh Merari Siregar yang ditulis sekitar tahun 1920. A. Teeuw pula menganggap tahun-tahun 20-an dikenali sebagai zaman Balai Pustaka sebagai “masa kecilnya kesusasteraan Indonesia yang moden”. Annas Haji Ahmad pula menganggap novel-novel yang dihasilkan sebelum perang sebagai zaman pembaharuan di Indonesia dan tanah Melayu. Zaman ini dikenali sebagai zaman kesedaran, zaman, zaman yang membawa jiwa dan corak baharu ke dalam sastera bentuk prosa dan puisi.
Berdasarkan kepada corak perkembangan penulisan novel di Indonesia sebelum perang, maka pada peringkat awal perkembangannya dikenali sebagai period kelahiran. Di dalam period kelahiran ini dapat dibahagikan kepada tiga bahagian iaiatu 1900 – 1933, period 1933 – 1942 dan period 1942 – 1945. Ketiga-tiga period ini mempunyai ciri-ciri yang khas di dalam penulisan novel. Berdasarkan kepada pembahagian ini maka period sebelum Perang Dunia Kedua ialah period 1900 – 1933 dan period 1933 – 1942. Berdasarkan kepada huraian di atas menunjukkan bahawa terdapat berbagai pengertian dan pandangan tentang novel-novel yang dihasilkan pada peringkat pertumbuhannya. Berdasarkan kepada kajian sarjana yang lampau, belum lagi ditemui secara khusus tentang perkembangan novel-novel dari pengarang Sumatera Barat sama ada sebelum Perang Dunia Kedua atau selepas Perang Dunia Kedua. Kajian yang ada sebelum ini di dapati pengarang Sumatera Barat digabungkan bersama-sama dengan pengarang dari daerah lain di seluruh pelusuk Indonesia. Dengan hal yang demikian, peranan secara khusus tentang penglibatan pengarang dari Sumatera Barat khususnya dalam perkembangan novel didapati agak kabur. Untuk melihat perkembangan novel dari aspek kewilayahan ini, beberapa pengarang yang terkenal pada tahun 30an terutama Sutan Takdir Alisyahbana dan Armijn Pane tidak akan dibincangkan. Sutan Takdir Alisyahbana dengan novelnya yang berjudul Layar Terkembang dan Armijn Pane dengan novel Belenggu. Hal ini disebabkan Sutan Takdir dilahirkan di Natal pada tahun 1908 dan Armijn Pane dilahirkan di Muarasipongi. Menurut Umar Junus, Sutan Takdir Alisyahbana dilahirkan dan dibesarkan di Palembang[6]. Kedua-dua daerah ini tidak termasuk dalam wilayah Sumatera Barat dan mereka bukan orang Melayu Minangkabau. Dalam kajian ini pengkaji akan cuba membuat suatu perkembangan novel yang ditulis oleh penulis Sumatera Barat bermula pada tahun 1920 sehingga tahun 2000. Novel-novel yang dihasilkan oleh penulis Sumatera Barat dapat dikategorikan kepada dua bahagian iaitu novel yang membicarakan tentang masyarakat Melayu Minangkabau dan novel yang tidak membicarakan masyarakat Minangkabau atau membicarakan masyarakat Indonesia secara keseluruhannya. Secara pastinya pengarang-pengarang dari Sumatera Barat terus membicarakan masyarakat mereka bukan sahaja pada era sebelum perang tetapi persoalan ini terus berlanjutan sehingga tahun 2000.


Pada tahun 1920- 1929 tercatat pengarang-pengarang novel dari Sumatera Barat. Nama-nama tersebut termasuklah Marah Rusli, Abdoel Moeis, Nur Sutan Iskandar, Adinegoro dan Tulis Sutan Sati. Novel yang pertama dari pengarang Sumatera Barat ialah Sitti Nurbaya yang dihasilkan oleh Marah Rusli pada tahun 1922. Pada tahun yang sama Nur Sutan Iskandar menghasilkan novelnya yang pertama berjudul Apa Dajaku karena Aku Perempuan dengan menggunakan nama samaran iaitu Nursinah Iskandar. Novel ini diterbitkan oleh penerbit swasta. Pada tahun 1924 Nur Sutan Iskandar menghasilkan dua buah novel yang berjudul Apa Dayaku karena Aku Perempuan, dan Cinta yang membawa Maut bersama Abdul Ager. Pada tahun ini juga Swan Pen atau nama sebenarnya Prada Harahap menghasilkan novel yang berjudul Melati van Agam. Pada tahun 1926 Kedjora menerbitkan sebuah novel yang bertajuk Karam dalam Gelombang. Novel Pertemoen hasil karya Abas Dt. Pamoentjak diterbitkan pada tahun 1927 dan Adinegoro menghasilkan novel yang berjudul Darah Muda. Seterusnya pada tahun 1928 Nur Sutan Iskandar menghasilkan novel dan diberi judul Salah Pilih. Pada tahun yang sama Adinegoro menghasilkan novel yang berjudu Asmara Jaya. Pada tahun 1929 terbitnya novel hasil karya Abdoel Moeis dengan judul Salah Asuhan. Tak Disangka dan Sengasara Membawa Nikmat karya Tulis Sutan Sati juga diterbitkan pada tahun 1929. Novel yang penting dalam dekad ini dan sering diperdebatkan sehingga hari ini ialah Sitti Nurbaya, Salah Pilih, Salah Asuhan dan Sengasara Membawa Nikmat.

Pada tahun 1930 – 1939 tercatat pengarang-pengarang novel dari Sumatera Barat. Nama-nama tersebut termasuklah Habib Sutan Maharadja, Selasih dan Hamka. Pada tahun 1931 Abdoel Moeis bersama Mamed Sastrahadiprawira menghasilkan novel yang berjudul Pengeran Kornel. Habib Sutan Mahahradja menghasilkan novel pada tahun 1932 dengan judul Nasib. Pada tahun yang sama novel-novel yang diterbitkan berjudul Memutuskan Pertalian, Tidak Membalas Guna, dan Tak Disangka oleh Tulis Sutan Sati dan novel berjudul Pertemuan Jodoh oleh Abdul Muis. Pada tahun 1932 Nur Sutan Iskandar menghasilkan novel yang berjudul Karena Mentua. Tulis Sutan Sati menghasilkan novel yang berjudul Memutuskan Pertalian dan Tidak Membalas Guna pada tahun 1932. Pada tahun ini juga Aman Dt. Madjoindo bersama Hardjosumarto menghasilkan novel yang berjudul Rusmala Dewi dan judul tambahan novel ini ialah Pertemuan Djawa dan Andalas. Aman Dt. Madjoindo yang dilahirkan di Solok pada tahun 1896 menghasilkan novel yang berjudul Menebus Dosa juga pada tahun yang sama. Pada tahun 1933 dianggap tahun yang penting dalam perkembangan novel-novel pengarang Sumatera Barat dan Indonesia pada keseluruhannya kerana Selasih muncul sebagai pengarang perempuan yang pertama dengan novelnya yang berjudul Kalau Tak Untung. Pada tahun yang sama Nur Sutan Iskandar menghasilkan novel yang berjudul Tuba Dibalas dengan Susu dan beliau bersama M. Dahlan menghasilkan novel yang berjudul Dewi Rimba. Pada tahun 1934 Nur Sutan Iskandar menghasilkan novel Hulubalang Raja dan bersama S. Hardjosomarto menghasilkan novel yang berjudul Rusmala Dewi dan Sebabnya Rafi’ah Tersesat. Novel Hulu Balang Raja merupakan sebuah roman sejarah yang dikerjakan berdasarkan sebuah disertasi H. Kroeskamp De Westkust en Minangkabau (1665 – 1668) (Pantai Barat dan Minangkabau, 1665 – 1668 terbit 1931).[7] Aman Dt. Madjoindo menghasilkan novel yang berjudul Si Cebol Rindukan Bulan dan Sampaikan Salamku Kepadanya. Pada tahun 1935 Nur Sutan Iskandar menghasilkan karya yang berjudul Katak Hendak Djadi Lembu.. Pada tahun 1935 Aman Dt. Madjoindo menghasilkan novel yang berjudul Menebus Dosa dan Sampaikan Salamku Padanya. Pada tahun ini juga Nur Sutan Iskandar menghasilkan novel yang berjudul Neraka Dunia. Selasih menghasilkan novel keduanya yang berjudul Pengaruh Keadaan juga pada tahun 1935. Pada tahun 1937 Nur Sutan Iskandar menghasilkan yang berjudul Naraka Dunia. Hamka dianggap pengarang yang penting di luar Balai Pustaka. Sungguhpun pengarang ini di luar dari Balai Pustaka tetapi persoalan yang diungkapkan melalui novel-novelnya masih lagi berlatarkan tentang kehidupan masyarakat Minangkabau. Pada tahun 1938 beliau telah menghasilkan novelnya yang pertama dengan judul Di Bawah Lindungan Kaabah, Tenggelamnya Kapal van der Wijck dan Karena Fitnah. dan Dijemput Mamaknya. Pada tahun 1939, Ardi Soma menghasilkan novel yang berjudul Tjintjin Setempel. Pada tahun yang sama novel yang penting dikarang oleh Hamka iaitu Merantau ke Deli, Tuan Direktur, dan Cinta dari Deli. Walaubagaimanapun novel yang dianggap penting dalam dekad ini ialah novel yang berjudul Kalau Tak Untung dan Di Bawah Lindungan Kaabah. Dalam dekad ini ada sebahagian novel-novel yang diterbitkan bukan lagi membicarakan masyarakat Melayu Minangkabau tetapi juga sudah menunjukkan kepelbagaian dalam masyarakat Inonesia walaupun penulisnya berasal dari Sumatera Barat. Novel-novel tersebut termasuklah Pengeran Kornel, Tuba di Balas dengan Susu, Dewi Rimba dan Rusmala Dewi.

Pada tahun 1940 – 1949 pengarang yang terkenal dalam dekad ini ialah M. Enri, Nur Sutan Iskandar, dan Hamka. Pada tahun 1940 M. Enri menghasilkan novel yang bertajuk Karena Anak Kandung. Pengarang yang lain ialah Saadah Alim dengan novelnya yang berjudul Pembalasannya. Nur Sutan Iskandar dengan novelnya yang berjudul Cinta dan Kewajipan karya bersama dengan L. Wirata dihasilkan pada tahun 1941. Keadilan Ilahi karya Hamka dihasilkan pada tahun 1941. Cinta Tanah Air yang dihasilkan pada tahun 1945 dan pada tahun 1946 beliau juga menghasilkan novel yang berjudul Moetiara, Janggir Bali dan Cobaan. Pada tahun yang sama Bagindo Saleh menghasilkan novel yang berjudul Adat Muda Menanggung Rindu. Dalam dekad ini pengarang dari Sumatera Barat didapati semakin kurang menghasilkan karya mereka. Hal ini disebabkan berlakunya Perang Dunia Kedua di Asia Tenggara sehingga menganggu kepada proses penerbitan novel. Walaubagaimanapun, novel yang dianggap penting dalam dekad ini ialah Cinta Tanah Air. Novel-novel yang tidak memfokuskan masyarakat Melayu Minangkabau ialah Cinta dan Kewajipan, dan Janggir Bali.

Pada tahun 1950 – 1959 pengarang dari Sumatera Barat ialah Idrus dan Marah Rusli, Abdul Moeis dan A. A. Navis. Novel yang dihasilkan oleh Idrus berjudul Aki yang diterbitkan pada tahun 1950. Pada tahun yang sama Abdul Moeis dan Hamka menghasilkan novel yang berjudul Surapati dan Menunggu Beduk Berbunyi. Pada tahun 1951 Hamka dan Abdul Moeis menghasilkan novel yang berjudul Kenang-kenangan Hidup dan Hendak Berbakti. Pada tahun 1952 Nur Sutan Iskandar menghasilkan novel dengan judul ujian Masa dan. Pada tahun 1953 dan 1956 Marah Rusli menghasilkan novel yang berjudul La Hami dan Anak dan Kemenakan. Abdoel Moeis pula menghasilkan novel yang berjudul Robert Anak Surapati pada tahun 1953. Pada tahun 1957 seorang pengarang baru mula dikenali iaitu A. A. Navis dengan novelnya yang berjudul Pak Kantor yang diterbitkan dalam akhbar ‘Harian Nyata’, Bukittinggi. Dalam dekad ini novel Aki dan Anak dan Kemenakan dianggap novel yang mempunyai kedudukan yang tinggi. Dalam dekad ini novel yang tidak membicarakan masyarakat Minangkabau ialah Surapati dan Robert Anak Surapati.
Selepas kemerdekaan Indonesia, Balai Pustaka dikembalikan ke tangan pemerintah Republik Indonesia. Sehingga tahun 1953 Balai Pustaka dapat melaksanakan fungsinya dengan baik namun demikian selepas itu badan ini kurang menerbitkan buku sastera. Hal ini mungkin disebabkan statusnya yang tidak jelas dan peranannya sering berubah-ubah. Kesanya penerbitan hasil sastera pun mengalami kemerostan. Penerbit-penerbit yang lain seperti Pembangunan, Pustaka Rakyat dan lain-lain tidak apat menggantikan fungsi dan peranan Balai Pustaka[8]. Hal ini mungkin menjadi penyebab kurangnya penglibatan pengarang-pengarang Sumatera Barat selepas novel Anak dan Kemenakan(1953) karya Abdoel Moeis.

Pada tahun 1960 - 1969 pengarang baru mula muncul mengantikan pengarang-pengarang dari zaman 20an dan 30an. Pengarang-pengarang tersebut termasuklah Soewardi Idris, A. A Navis, dan Dt. B. Jacub. Pada tahun 1964 Soewardi Idris menghasilkan novel dengan judul Di Puncak Bukit Talang dan A. A Navis dengan novel yang berjudul Kemarau. Novel ini asalnya diterbitkan secara bersiri dalam akhbar harian res Publika dan dicetak buat pertama kalinya pada tahun 1967 oleh NV Nusantara, Bukittinggi. Pada tahun 1965 Idrus menghasilkan novel dengan judul Hati Nurani Manusia. Pada tahun 1967 Dt. B. Jacub menghasilkan novel dengan judul Panggilan Tanah Kelahiran. Pada tahun itu juga novel Kembali dari Alam Barzakh hasil karya A. A Navis diterbitkan sebagai cerita bersambung dalam akhbar harian Aman Makmur, Padang, Sumatera Barat. Pada tahun 1969 A. A Navis juga menerbitkan novel sebagai cerita bersambung dalam akhbar Haluan, Padang, Sumatera Barat. Pada dekad ini nama A. A. Navis mula dikenali sebagai pengarang dari Sumatera Barat yang telah mewarnai dunia kesusasteraan bukan sahaja di Sumatera Barat tetapi juga di seluruh Indonesia. Novel Kembali dari Alam Barzakh tidak membicarakan masyarakat Melayu Minangkabau tetapi masyarakat Indonesia pada keseluruhannya.
Pada tahun 1970 – 1979 selain nama yang sudah sedia ada, nama-nama baru penulis dari Sumatera Barat termasuklah Wildan Yatim, Chairul Harun dan Ismail Marahimin. Pada tahun 1970 A. A. Navis menghasilkan novel Saraswati: Si Gadis dalam Sunyi dan seterusnya pada tahun 1971 beliau menghasilkan cerita bersambung dalam akhbar Harian Semangat pada tahun 1971 dengan judul Di Sepanjang Pantai Purus. Pada tahun 1975 A. A. Navis juga menghasilkan cerita bersambung dalam akhbar Kompas pada tahun 1975 dengan judul Gerhana. Idrus pada tahun 1973 masih mengekalkan nama hikayat dalam novelnya pada tahun 1973 dengan judul Hikayat Puteri Penelope dan novel ini tidak membicarakan masyarakat Minangkabau. Pada tahun 1974 Wildan Yatim menghasilkan novel dengan judul Pergolakan. Pada tahun 1979 terdapat dua orang pengarang dari Sumatera Barat yang mula mendapat nama dengan novelnya yang bertajuk Warisan dan Dan Perang pun Usai iaitu Chairul Harun dan Ismail Marahimin.
Pada tahun 1980 - 2000 terdapat beberapa novel dari pengarang Sumatera Barat misalnya novel yang berjudul Bako dan Dendang yang dihasilkan pada tahun 1983 dan 1988. Pada tahun 1994 A. A Navis terus menghasilkan novel secara giat dengan judul Di Lintasan Mendung, Gerhana, Dokter dan Juita.

3.3 Kesimpulan

Berdasarkan kepada perkembangan novel di Malaysia dan juga di Indonesia
dapatlah dibuat satu rumusan bahawa novel yang terawal berdasarkan kajian terbaru oleh S. Othman Kelantan ialah Hikayat Panglima Nikosa yang ditulis oleh Ahmad Syawal Abdul Hamid pada tahun 1876 di Sarawak. Di Indonesia kajian terbaru dari Fatimah Busu membuktikan bahawa novel yang terawal ditulis ialah pada tahun 1910/11 oleh S. Moekhti iaitu Hikayat Siti Mariah dari pengarang Pulau Jawa.. Ini menunjukkan bahawa Malaysia yang terlebih dahulu mempelopori bidang penulisan novel berbanding Indonesia. Novel saduran yang terawal di tulis oleh orang Melayu Kelantan pada tahun 1922. Walaubagaimanapun novel yang menggunakan watak, latar dan peristiwa tempatan ialah pada tahun 1937 dengan terbitnya novel Acuman Mahkota. Novel yang pertama ditulis oleh pengarang Sumatera Barat ialah Sitti Nurbaya pada tahun 1922. Walaupun novel Malaysia lebih mendahului berbanding dengan novel di Indonesia, pengarang-pengarang dari Indonesia terutama dari Sumatera Barat telah dapat menghasilkan novel dengan lebih banyak dan lebih berkualiti terutama dengan penglibatan daripada pihak penerbit Balai Pustaka. Penglibatan penulis dari pengarang Sumatera Barat dapat dilihat lebih progresif terutama zaman sebelum Perang Dunia Kedua baik dari segi kuantiti novel, pengarang dan mutu karya. Walaubagaimanapun, selepas Indonesia merdeka bilangan pengarang dari Sumatera Barat didapati semakin berkurangan dan peranan ini diteruskan oleh warga Indonesia yang lain. Sebaliknya penulis Kelantan, bilangan mereka semakin bertambah dan karya yang dihasilkan juga semakin meningkat.

3.5 Latarbelakang Penulis Sumatera Barat

3.5.1 Marah Rusli(7 Ogos 1889 - 17 Januari 1968)

Marah Rusli lahir di Padang pada 7 Ogos 1889 dan meninggal di Bandung pada 17 Januari 1968 dan dimakamkan di Bogor.. Nama lengkapnya ialah Marah Halim dan Ayahnya bernama Sutan Abu Bakar gelar Sutan Pangeran, seorang bangsawan berasal dari kota Padang. Hobinya ialah olah raga, muzik, melukis, dan sandiwara. Beliau bersekolah di sekolah Melayu(Hoofden School) di Padang dan tamat pada tahun 1904. Seterusnya, beliau melanjutkan pelajaran di Sekolah Radja (Hoofden School) di Bukit Tinggi dan tamat pada tahun 1910. Selepas bersekolah di Bukit Tinggi, beliau melanjutkan pelajaran di Sekolah Doktor Haiwan di Bogor dan tamat pada tahun 1915. Selepas tamat, beliau bekerja sebagai doktor haiwan sehingga pencen. Beliau juga pernah menjadi mayor Angkatan Laut di Tegal(1945), Lektor Sekolah Tinggi Doktor Haiwan di Klaten(1948). Pada tahun 1915 beliau ditempatkan di Sumbawa Besar(1915), kemudian di Bima(1916 -1917), di Bandung(1918), di Cirebon(1918), dan di Blita(1919), Bogor (1920) dan Batavia(1921), Balihge(1925), dan Semarang (1929 – 1945).[9]
Sebelum beliau pergi ke Bogor, seorang gurunya dari Sekolah Radja yang berbangsa Belanda bernama Hoornsma pernah memujuk ibunya agar Marah Rusli di hantar untuk bersekolah di Belanda dengan biasiswa pemerintah Belanda dalam bidang hulpacte. Walaubagaimanapun, pujukan itu tidak tercapai kerana Marah Rusli anak tunggal bagi ibunya. Sebagai gantinya Tan Malaka telah diambil oleh Hoornsma untuk belajar di Belanda. Beliau berkahwin dalam usia 26 tahun semasa belajar di Bogor. Perkahwinannya ditentang hebat oleh keluarganya. Sewaktu Marah Rusli pulang ke Padang pada tahun 1915 keluarganya telah memaksa untuk mengahwinkan dengan seorang gadis Minang yang tidak pernah dikenalinya[10]. Perkahwinannya dengan gadis Bogor dipercayai mendasari keinginannya menjadi penulis disamping hubungan tegangnya dengan majikan sehingga beliau dipecat selama satu tahun.
Karya beliau yang terkenal ialah Siti Nurbaya(1922), La Hami(1952)dan Anak dan Kemenakan(1956). Ketika beliau meninggal ada sebuah naskah novel yang belum diterbitkan berdasarkan riwayat perkahwinannya sendiri berjudul Memang Jodoh[11]. H.B. Jassin menganggap Marah Rusli sebagai penegak kesusasteraan Indonesia daripada Marco Kartodikromo atau Merari Siregar[12]. Zuber Usman menganggap lahirnya novel Sitti Nurbaya, bermulanya sejarah baru dalam Kesusasteraan Melayu dan kemudiannya menjadi Kesusasteraan Indonesia[13]. A. Teeuw menganggap cerita dalam novel Siti Nurbaya sangat menarik bagi seseorang pembaca yang berfikir dan menilai sesuatu novel mengikut ukuran Barat[14]. Sementara itu, menurut pendapat sarjana dari Perancis, Pierre Labrouse, novel Sitti Nurbaya merupakan salah satu novel Indonesia yang paling banyak mengandungi erti, bila ditempatkan dalam satu perspektif sejarah sosial dan pandangan kelas(vision de classe).[15] Annas Hj. Ahmad pula berpandangan bahawa novel Sitti Nurbaya telah memasuki zaman baru dan merupakan permulaan seni novel moden.[16] Berdasarkan kepada pernyataan di atas menunjukkan bahawa hampir semua kritikus sastera Indonesia menempatkan novel Sitti Nurbaya sebagai karya yang sangat penting dalam sejarah kesuasteraan Indonesia.
Pada tahun 1969, novel Sitti Nurbaya memperoleh hadiah penghargaan dari kerajaan Indonesia sebagai hadiah tahunan yang diberikan setiap tanggal 17 Ogos. Di Malaysia, novel ini terbit dalam edisi bahasa Melayu dan menjadi buku bacaan wajib bagi pelajar yang menambil kesusasteraan Melayu diperingkat Sijil Tinggi Pelajaran(STP) pada tahun 60-an dan 70-an. Di Malaysia, pada tahun 1963, novel Sitti Nurbaya telah dicetak untuk kali yang ke-11 . Pada Tahun 1991, (Televisyen Republik Rakyat Indonesia)TVRI menyiarkan filem yang berjudul ‘Sitti Nurbaya’ dengan watak utamanya ialah Novia Kolopaking(sebagai Sitti Nurbaya) dan Gusti Randa(sebagai Smasulbahri)[17]


3.5.2 Abdoel Moeis(1890 – 17 Julai 1959)

Abdoel Moeis di lahirkan di Bukittinggi(Sumatera Barat) pada tahun 1890 dan memperoleh didikan Barat. Beliau tidak tamat pengajiannya dalam bidang kedoktoran. Beliau pernah menjadi wartawan dan pemimpin Serekat Islam. Sebagai pemimpin dalam gerakan politik beliau berusaha dalam gerakan memperolehi otonomi yang lebih besar bagi Hindia(Indies) sepanjang Perang Dunia I, dan sebagai anggota delegasi ‘Comite Indie Weerbaar’(Panitia Pertahanan Hindia) dan beliau pernah berkunjung ke Jawa. Beliau dilantik menjadi anggota Volksraad (Dewan Perwakilan Rakyat) pada tahun 1920. Oleh kerana, pertentangan yang berlaku dalam sarekat Islam, beliau pernah menjadi pemimpin dalam Serikat Islam Merah, iaitu sebuah serikat Islam yang terpengaruh dengan unsur fahaman komunis[18]. Pada tahun 1923, beliau kembali ke Sumatera Barat dan berhasil memujuk guru-guru Islam untuk mengikuti gerakannya. Haji Datuk Batuah adalah sahabat kepada Abdoel Moeis dan beliau berjaya membawa gerakan komunis melalui sekolah agama Sumatera Thawalib.[19] Setelah peristiwa tahun 1926 – 27 beliau dicurigai oleh pemerintah Belanda dan kebebasannya dibatasi. Beliau pernah mendapat hukuman dari pemerintah jajahan Belanda. Beliau berkahwin dengan gadis Sunda dan hidup di tanah Priangan sehingga meninggal dunia. Sebagai penulis, penterjemah dan wartawan, beliau hidup secara tidak menonjol di Jawa Barat hingga beliau meninggal dunia pada tahun 1959.[20]
Selain novel Salah Asohan, beliau menulis novel Pertemuan Jodoh(1933), Surapati(1950) dan Robert Anak Surapati(1953) Pada tahun 1969, novelnya yang terkenal iaitu Salah Asohan telah mendapat anugerah Hadiah Tahunan Pemerintah, bersama tiga novel lainnya, iaitu Sitti Nurbaya, Belenggu, dan Atheis. Pada tahun 1972, novel ini diadatasikan kepada filem oleh Asrul Sani dengan Dicky Zulkarnain sebagai watak Hanafi. Menurut Liang Liji(1988), Salah Asohan telah diterjemahkan ke dalam bahasa Cina, dan merupakan novel terjemahan yang terlaris di China. Menurut Morimura Shigeru(1988), pensyarah dari Universiti of Foreign Studies, Salah Asohan sudah diterjemahkan ke dalam bahasa Jepun[21].
Menurut Ajip Rosidi, Salah Asohan kesan dari pertemuan kebudayaan Eropah yang masuk ke dalam tubuh anak-anak bangsanya melalui pendidikan sekolah kolonial Belanda[22]. Amal Hamzah dalam bukunya “Buku dan Penulis” menyatakan Salah Asohan sebagai sebuah roman(novel) yang terindah dalam bahasa Indonesia dan beliau telah telah berjaya menunjukkan keasliannya dalam menggunakan bahasa Indonesia dalam proses kreatif.[23] Menurut A. Teeuw, setelah Sitti Nurbaya, novel penting yang membicarakan masalah generasi dari aspek Minangkabau yang tidak boleh diabaikan ialah Salah Asohan(1928). Menurutnya lagi, novel ini menarik kerana berterus-terang membicarakan masalah diskriminasi(keturunan bangsa) dan sosial, akan tetapi perantaraan sastera yang dipergunakan oleh pengarang lebih menarik. Novel ini ditulis dengan cara yang meresap dan tidak sekali-kali merupakan sebuah risalah tentang diskriminasi, sebab gaya bahasa yang digunakan sangat bersahaja. Buku ini membangkitkan kenangan yang menginsafkan tentang taragedi kedua orang muda yang dikutuk oleh undang-undang masyarakat mereka. Fatimah Busu pula berpendapat novel ini adalah sebuah novel tragedi, iaitu satu bentuk yang lazim terdapat di dalam karya-karya terbitan Balai Pustaka.[24] Novel ini juga menjadi novel bacaan wajib bagi pelajar yang mengambil Kesusateraan Melayu di peringkat sekolah menengah dan universiti.

3.5.3 Tulis Sutan Sati(1898 – 1942)

Pengarang ini lahir pada tahun 1898 dan meninggal pada tahun 1942. Pengarang ini kurang diberi penekanan oleh ahli sastera Indonesia. Berdasarkan hal tersebut, sehingga kini data-data yang berkaitan tentang Tulis Sutan Sati tidak dapat diperincikan dengan lebih mendalam terutama yang berkaitan tempat beliau dilahirkan, dan latarbelakang persekolahannya dan pekerjaanya. Walaubagaimanapun, pengarang ini sememangnya dari pengarang Minangkabau berdasarkan namanya tema yang terdapat di dalam karyanya juga menyentuh tentang masyarakat Minangkabau. Novel-novel yang dikarang oleh beliau ialah Sengsara Membawa Nikmat(1928).Memutuskan Pertalian(1932), Tidak Membalas Guna(1932), dan Tak Disangka(1932).
Novel Sengsara Membawa Nikmat dianggap karya yang paling bernilai dari karya Tulis Sutan Sati. Novel ini memperincikan tentang kehidupan masyarakat Minangkabau pada tahun 1920-an. Menurut A. Teeuw, novel ini sangat menarik kerana hidup dan lincahnya si pengarang membawa pembaca ke dalam suasana desa Minangkabau dengan kejadian sehari-hari dan segala reaksi manusiawi[25]. Temanya berpusat kepada perantauan tokoh utamanya, Midun. Gambaran perantauan terasa lebih menampakan realiti seolah-olah peristiwa ini benar-benar terjadi pada zaman semasa novel ini dihasilkan.
Beliau juga pernah menterjemahkan kaba Sabai Nan Aluih(1929) yang ditulis oleh M. Thaib Gelar St Pamuntjak dalam bahasa Minangkabau ke dalam bahasa Indonesia. Novel-novel lain yang ditulis ialah Tak Disangka(1929), Memutuskan Pertalian(1932) dan Tidak Membalas Guna(1932).

3.5.4 Nur Sutan Iskandar( 3 November 1893 – 28 November 1975)

Nur Sutan Iskandar dilahirkan di Sungai Batang pada 3 November 1893. Novel yang pertama ditulisnya beliau menggunakan nama samaran iaitu Nursinah Iskandar. Selesainya pengajian di Sekolah Rendah, beliau lulus ujian untuk memasuki Sekolah Guru di Bukit Tinggi. Sebelum diangkat sebagai guru, beliau pernah bekerja sebagai Kweekeling(pembantu sekolah). Pada waktu inilah beliau belajar untuk menjadi guru bantu dan tamat pada tahun 1911. Beliau mula bekerja sebagai guru di Muara Beliti, kemudian pindah ke Padang. Sewaktu beliau bekerja sebagai guru, beliau belajar mengarang dengan membantu pihak suratkhabar di Padang[26].
Pada tahun 1919 beliau merantau ke Jakarta dan bekerja sebagai korektor di Balai Pustaka. Pada tahun 1921 beliau lulus ujian Klein Ambtenaars Lexamen dan tiga tahun sesudah itu beliau lulus ujian Bureau Cursus di Jakarta. Sewaktu beliau bekerja di Balai Pustaka, beliau pernah menjawat jawatan sebagai ketua Sidang Pengarang. Beliau menghabiskan usianya di Balai Pustaka selama 30 tahun. Selain kegiatannya sendiri sebagai pengarang, beliulah yang bertanggung jawab sebagai pemeriksa dan editor di Balai Pustaka[27]. Beliau pernah bekerja sebagai pensyarah di Fakultas Sastera Universitas Indonesia. Pada waktu ini juga beliau pernah menyandang sebagai anggota majlis tertinggi di universiti tersebut dan juga ahli bahasa pada Komisi Bahasa Indonesia. Nur Sutan Iskandar dapat dianggap sebagai perintis mengahwinkan anaknya yang perempuan dengan seorang pemuda Jawa. Hal yang dilakukan oleh beliau sangat jarang dilakukan pada zamannya kerana bertentangan dengan adat Minangkabau.
Menurut Zuber Usman, Nur Sutan Iskandar adalah salah seorang wakil zamannya, ‘seorang pengarang yang mengambil kedudukan istimewa dalam golongannya, yakni di antara pengarang-pengarang tua seorang pengarang yang mengambil kedudukan istimewa dalam golongannya’ [28]. A. Teuw pula berpandangan bahawa Nur Sutan Iskandar mempunyai pengaruh yang amat besar dalam membentuk bahasa Melayu tinggi yang menjadi contoh sebeum perang. Bahasa ini didasarkan kepada bahasa kesusasteraan Melayu klasik, tetapi mempunyai pengaruh bahasa Minangkabau yang kuat, baik dalam hal perbendaharaan kata, sintaksis dan morfologi.[29]
Karya-karya beliau yang terpenting ialah Hulubalang Raja, Katak Hendak Jadi Lembu, Salah Pilih, Karena Mertua. Beliau juga menulis cerita saduran misalnya Dewi Rimba, Air Susu Dibalas dengan Air Tuba, Apa Dayaku Aku Perempuan, Abu Nawas, dan Janggir Bali. Beliau juga menterjemahkan karangan dari penulis Barat misalnya ‘Imam dan Pengasihan’ karya Conan Doyle, karya Moiiere L’avare atau ‘Si Bakhil’ , karya Alexander Dumas berjudul ‘Tiga Panglima Perang’ dan lain-lain[30].
Bakat Iskandar dapat dilihat melalui novelnya Salah Pilih dan Karena Mertua. Melalui kedua buah novel ini memperlihatkan daya pengucapan yang sangat mengagumkan, dan kepandaiannya menimbulkan suasana tegang tetapi berkesan, suatu hal yang tidak ada bandingannya di antara hasil karya kesusasteraan sebelum perang. Novelnya Salah Pilih membicarakan persoalan kahwin sesuku yang menjadi kesalahan besar dalam adat Minangkabau sementara novel Karena Mertua mempersoalkan tentang keterlibatan orang tua untuk menguruskan hal-ehwal rumahtangga anaknya sehingga rumahtangga yang dibina menemui kehancuran.

3. 5. 5 Hamka(16 Febuari 1908 – 24 Julai 1981)

Beliau lahir pada 17 Febuari 1908 di Kampung Molek, Meninjau, Sumatera Barat, Indonesia. Nama sebenarnya ialah Haji Abdul Malik bin Abdul Karim. Ayahnya ialah Syeikh Abdul Karim bin Abdul Karim bin Amrullah atau dikenal sebagai Haji Rasul, seorang pelopor gerakan Islah(tadid) di Minangkabau, sekembalinya dari Makkah pada tahun 1906. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Dasar Meninjau hingga Darjah Dua. Ketika beliau berumur, 10 tahun ayahnya mendirikan Sumatera Thawalib di Padang Panjang. Beliau pernah mengikuti pengajaran agama dan masjid yang diberikan oleh ulama terkenal seperti Syeikh Ibrahim Musa, Syeikh Ahmad Rasyid, Sutan Mansur, R.M. Surjoparanoto dan Ki Bagus Hadikusumo[31].
Hamka lebih banyak belajar sendiri dan melakukan penyelidikan meliputi pelbagai bidang ilmu pengetahuan seperti falsafah, kesusasteraan, sejarah, sosiologi dan politik sama ada Islam atau Barat. Berdasarkan kemahiran Bahasa Araba, beliau menyelidiki karya ulama dan pujangga besar di Timur Tengah seperti Zaki Mubarak, Jurji Zaidan, Abbas al-‘Aqqad, Mustafa al-Manfaluti dan Husein Haikal. Melalui bahasa Arab juga, beliau meneliti karya sarjana Perancis, Inggeris dan Jerman seperti Albert Camus, William James, Freud, Toynbee, Jean Sarte, Karl Marx dan Pierre Loti[32].
Kerjaya Hamka bermula sebagai guru agama pada tahun 1927 di Perkebunan Tebing Tinggi, Medan dan guru agama di Padang Panjang pada tahun 1929. Beliau dilantik sebagai pensyarah di Universitas Muhamadiyah, Padang Panjang dan di Universitas Islam, Jakarta dari tahun 1957 hingga tahun 1958. Beliau juga dilantik sebagai Rektor Perguruan Tinggi Islam, Jakarta dan professor Universitas Mustapo, Jakarta. Dari tahun 1951 hingga tahun 1960, beliau dilantik sebagai Pegawai Tinggi Agama oleh Menteri Agama Indonesia, tetapi meletak jawatan apabila Sukarno memberi kata dua sama ada menjadi pegawai kerajaan atau bergiat dalam politik Majlis Syura Muslim Indonesia(Masyumi)[33].
Beliau juga seorang wartawan, editor dan penerbit. Semenjak tahun 1920-an lagi, Hamka menjadi wartawan beberapa buah akhbar seperti Pelita Andalas, Seruan Islam, Bintang Islam dan Seruan Muhammadiyah. Pada tahun 1928, beliau menjadi editor majalah Kemajuan Masyarakat. Pada tahun 1928, dia menjadi editor dan menerbitkan majalah al-Mahdi di Makasar. Beliau juga pernah menjadi editor Majalah Pedoman Masyarakat, Panji Masyarakat dan Gema Islam. Beliau pernah menerima anugerah pada peringkat nasional dan antarabangsa seperti Doktor Honoris Causa, Universiti al-Azhar, 1958; Doktor Honoris Causa, Universiti Kebangsaan Malaysia, 1974 dan gelaran Datuk Indono dan Pengeran Wiruguno daripada kerajaan Indonesia. Beliau meninggal dunia pada 24 Julai 1981[34].
Dalam bidang penulisan novel, novel-novel yang dihasilkannya termasuklah Dijemput Mamaknya(1930) Di Bawah Lindungan Kaabah(1938), Karena Fitnah(1938), Merantau ke Deli(1938), Tuan Direktur(1939), Tenggelamnya Kapal Van der Wijck(1939), Kenang-kenangan Hidup(1951),dan Lembah Nikmat(1959). Novelnya Tenggelamnya Kapal Van der Wijck pernah dikatakan telah diplagiat dari karangan pengarang Perancis Al Phonse Karr yang pernah disadur ke dalam bahasa Arab oleh Mustafa Luthfi Al-Manfaluthi(1876 – 1924) yang dalam bahasa Perancisnya berjudul Sous les Tilleuls(Di bawah Naungan Pohon Tila, 1932) dan bahasa Arab berjudul Madjulin. Novel ini diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia oleh A.S. Alatas yang berjudul Magdalena(1963)[35]. Bagaimanapun kritikus sastera Indonesia, A. Teeuw menolak dakwaan tersebut isi dan latar belakang novel yang bersifat Indonesia seluruhnya[36]. Beliau juga pernah menulis cerpen dengan judul ‘Di dalam Lembah Kehidupan’. Beliau juga menulis riwayat hidupnya sendiri dengan judul “Kenang-kenagan Hidup’(1952) manakala karya ilmiahnya berjudul ‘Islam dan Adat Minangkabau’(1984).



3.5.6 Sariamin(31 Julai 1909 - )

Banyak buku-buku sastra Indonesia meletakan namanya Selasih. Nama sebenar Selasih ialah Sariamin Ismail. Beliau dilahirkan pada bulan 31 Julai 1909 di Talu, Lubuk Sikaping, Sumatera Barat. Nama samaran yang lain pernah digunakan oleh Sariamin ialah Seleguri, Bunda Kandung, Ibu Sedjati, Serigunting, Kak Karinah, Serigunung, Mande Rubiah dan Seritandjung. Beliau berpendidikan Sekolah Normal Putri Padangpanjang. Selesai persekolahan beliau bekerja sebagai seorang guru lepasan Sekolah Guru Putri di Padang Panjang[37]. Sewaktu beliau mengajar, beliau berusaha menulis untuk menambahkan pendapatannya yang kecil sebagai guru sekolah.[38]
Beliau menulis dalam waktu yang agak muda iaitu dalam usia 16 tahun. Beliau menulis dalam majalah Panji Pustaka dan Pujangga Baru. Sebelum itu, pada usianya 10 tahun beliau sudah pandai bersyair dan menulis dalam bentuk puisi. Berdasarkan sajaknya yang terdapat dalam Majalah Panji Pustaka yang berjudul ‘Ratap Ibu’ terdapatnya unsur-unsur peralihan dari puisi tradisional kepada puisi moden[39]. Menurut H.B Jasin bentuk dan isi-isi sajak masih amat tradisional dan kekuatannya terletak kepada prosa[40]. Beliau dikenali melalui dua buah novel yang sangat terkenal iaitu Kalau Tak Untung(1933) dan Pengaruh Keadaan(1937). Kedua-dua novel ini meletakkan beliau sebagai pengarang novel wanita Minangkabau yang pertama di Indonesia. Novel-novel ini juga telah dicetak buat beberapa kali iaitu Kalau Tak Untung pada tahun 1933 sebanyak 2000 naskah, cetakan kedua pada tahun 1938 sebanyak 1500 naskah, cetakan ketiga pada tahun 1949 sebanyak 4000 naskah, cetakan keempat pada tahun 1953 sebanyak 4000 naskah, cetakan kelima pada tahun 1956 sebanyak 5000 naskah keenam sebanyak 10,000 naskah dan cetakan ketujuh sebanyak 15 000 naskah. Novel Pengaruh Keadaan, cetakan ketiga pada tahun 1957 sebanyak 5000 naskah dan cetakan keempat pada tahun 1961 sebanyak 10 000 naskah[41]. Novelnya yang terakhir terbit pada tahun 1986 yang berjudul Kembali ke Pangkuan Ayah[42]. Jakob Sumardjo yang mengutip pernyataan Aman Datuk Madjoindo meletakan Sariamin sebagai pujangga Wanita Indonesia yang pertama[43].


3.5.6 Adinegoro(1904 – 1966)

Nama aslinya ialah Djamaluddin dan dilahirkan pada tahun 1904. Pada mulanya Adinegoro masuk sekolah dokter di Stovia, namun demikian ia lebih tertarik kepada soal karang-mengarang. Waktu beliau masih bersekolah, beliau telah dapat menyara kehidupannya berdasarkan hasil tulisannya.Beliau pernah menyusun kamus praktis Bahasa Indonesia. Kisah kunjunganya ke Eropah, Melawat ke Barat(1930) sangat popular pada masa itu. Novelnya yan terkenal ialah Darah Muda dan Asmara Jaya[44]. Kedua-dua novel berkisar tentang masalah memilih jodoh terutama jodoh yang bukan dari sukunya sendiri.
[1] Aning Retnaningsih, 1983, Roman dalam Masa Pertumbuhan Kesusasteraan Indonesia Moden, Erlangga: Jakarta. Hlm. 28.
[2] Ibid, Fatimah Busu, 1944..
[3] Burhan Nurgiyantoro, 1995, Teori Pengkajian Fiksi, Gajah Mada University Press; Yogyakarta, hlm. 9 – 15.
[4] Lihat Fatimah Busu, 1994, Persamaan dan Perbezaan dalam Perkembangan Novel-novel Melayu dan Indonesia, Tesis Ph.D Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, hlm. 83. lihat juga Pramoedya Ananta Toer, 1985, Sang Pamula, Hasta Mitra: Jakarta, , hlm. 301-353.
[5] Umar Junus, 1974
[6] Ajip Rosidi, hlm.35 – 37. Lihat juga Umar Junus 1984, “Unsur Luar dalam Novel Indonesia” dalam Sastera Melayu Moden: Fakta dan Interpretasi, Dewan Bahasa dan Pustaka; Kuala Lumpur, hlm. 259
[7] Ajip Rosidi, 1991, hlm. 51.
[8] Ajip Rosidi, Sejarah Sastra Indonesia, Bina Aksara, Jakarta. hlm. 105
[9] Marcel Bonneff, 1993, Citra Masyarakat Indonesia, Sinar Harapan: Jakarta. Hlm. 138.
[10] Zuber Usman, 1983, Kesusasteraan Baru Indonesia, Pustaka Melayu Baru: Kuala Lumpur. Hlm. 25 – 29.
[11] Ajib Rosidi, 1986, Ikhtisar Sejarah Sastra Indonesia, Binacipta: Jakarta. Hlm. 24. Lihat juga Ensiklopedia Indonesia, Jilid 5 P-SHF, Ikhtiar Baru – Van Hoeve: Jakarta: 1984. Lihat Haluan No. 252, Tahun Ke XLII, 9 Sept 1991. Hlm. XI
[12] Marcel Bonneff, 1993, Citra Masyarakat Indonesia, Sinar Harapan: Jakarta. Hlm. 135.
[13] Zuber Usman, 1983, Kesusasteraan Baru Indonesia, Pustaka Melayu Baru: Kuala Lumpur. Hlm. 26
[14] A. Teeuw, 1980, Sastera Baru Indonesia; Jilid I, Nusa Indah: Jakarta. Hlm. 87.
[15] Marcel Bonneff, 1993, Citra Masyarakat Indonesia, Sinar Harapan: Jakarta. Hlm. 138. Konsep pandangan kelas(vision de classe) bererti bahawa seseorang pengarang sering, secara tidak sedar, hanya mengemukakan pandangan lingkungan atau golongannya. Perbezaan antara pandangan kelas dan pandangan dunia seorang seniman sering dikacaukan.
[16] Annas Hj. Ahmad, 1975, Sastera Melayu: Lama dan Baru, Sinaran Bros: Pulau Pinang. Hlm. 51
[17] Maman S. Mahayana dkk, 1992, Ringkasan dan Ulasan Novel Indonesia Modern, Gramedia: Jakarta. Hlm. 6
[18] A. Teeuw, 1980, Sastera Baru Indonesia; Jilid I, Nusa Indah: Jakarta. Hlm. 94..
[19] Sejarah Daerah Sumatera Barat, 1977, Pemerintah Daerah Sumatera Barat: Padang. Hlm. 84.
[20] Ajib Rosidi, 1986, Ikhtisar Sejarah Sastra Indonesia, Binacipta: Jakarta. Hlm. 26.
[21] Lihat Maman S. Mahayana dkk, 1992, Ringkasan dan Ulasan Novel Indonesia Modern, Gramedia: Jakarta. Hlm. 15. Lihat juga ‘Budayawan Rang Minang Harus Memarahi Datuak Maringgih?’ dalam Singgalang, 6 Oktober 1991
[22] Ajib Rosidi, 1986, Ikhtisar Sejarah Sastra Indonesia, Binacipta: Jakarta. Hlm. 25.
[23] Ibid. Hlm. 51.
[24] Fatimah Busu, 1994, Persamaan dan Perbezaan di Dalam Perkembangan Novel-novel Melayu dan Indonesia, Tesis PhD USM: Pulau Pinang. Hlm. 108.
[25] A. Teeuw, 1980, Sastera Baru Indonesia; Jilid I, Nusa Indah: Jakarta. Hlm. 90..
[26] Zuber Usman, 1983, Kesusasteraan Baru Indonesia, Pustaka Melayu Baru: Kuala Lumpur. Hlm. 41. Lihat juga A. Teeuw, 1980, Sastera Baru Indonesia; Jilid I, Nusa Indah: Jakarta. Hlm. 88.
[27] Zuber Usman, 1983, Kesusasteraan Baru Indonesia, Pustaka Melayu Baru: Kuala Lumpur. Hlm. 41.
[28] Ibid, hlm. 42.
[29] A. Teeuw, 1980, Sastera Baru Indonesia; Jilid I, Nusa Indah: Jakarta. Hlm. 88.
[30] Zuber Usman, 1983, Kesusasteraan Baru Indonesia, Pustaka Melayu Baru: Kuala Lumpur. Hlm. 41 - 42. A. Teeuw, 1980, Sastera Baru Indonesia; Jilid I, Nusa Indah: Jakarta. Hlm. 102.
[31] Ajib Rosidi, 1986, Ikhtisar Sejarah Sastra Indonesia, Binacipta: Jakarta. Hlm. 61
[32] 1995, Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka; Kuala Lumpur. Hlm.842.
[33] A. Teeuw, 1980, Sastera Baru Indonesia; Jilid I, Nusa Indah: Jakarta. Hlm.104.
[34] 1995, Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka; Kuala Lumpur. Hlm.842.
[35] Lihat Hasanuddin, 1995, Novel Tenggelamnya Kapal Van der Wijck dan Magdalena: Sebuah Analisis Intertektualitas, Laporan Penelitian Dana Spp/Dpp Unand 1994/1995, Universitas Andalas: Padang. Hlm.1-2.. Lihat juga A. Teeuw, 1980, Sastera Baru Indonesia; Jilid I, Nusa Indah: Jakarta. Hlm.104..
[36] A. Teeuw, 1980, Sastera Baru Indonesia; Jilid I, Nusa Indah: Jakarta. Hlm.106..
[37] Th. Sri Rahaju Prihatmi, 1977, Pengarang-pengarang Wanita Indonesia: Seulas Pembicaraan, Pustaka Jya: Jakarta. Hlm. 21. Lihat juga H.B. Jassin, 1983, Pengarang Indonesia dan Dunianya: Kumpulan Karangan, Gramedia: Jakarta. Hlm. 63
[38] A. Teeuw, 1980, Sastera Baru Indonesia; Jilid I, Nusa Indah: Jakarta. Hlm. 102.
[39]Zuber Usman, 1983, Kesusasteraan Baru Indonesia, Pustaka Melayu Baru: Kuala Lumpur. Hlm. 84 - 86
[40] Lihat juga H.B. Jassin, 1983, Pengarang Indonesia dan Dunianya: Kumpulan Karangan, Gramedia: Jakarta. Hlm. 63.
[41] Ibid. Hlm. 63
[42] Lihat Maman S. Mahayana dkk, 1992, Ringkasan dan Ulasan Novel Indonesia Modern, Gramedia: Jakarta. Hlm. 36.
[43] Jakob Sumardjo, 1981, Segi Sosiologis Novel Indonesia, Pustaka Priman; Jakarta. Hlm. 36.
[44] Zuber Usman, 1983, Kesusasteraan Baru Indonesia, Pustaka Melayu Baru: Kuala Lumpur. Hlm. 84 – 86. Lihat juga A. Teeuw, 1980, Sastera Baru Indonesia; Jilid I, Nusa Indah: Jakarta. Hlm. 92.