Blogger Layouts

Wednesday, February 28, 2007

Renungan Untuk Sahabat

Dengarlah Kata Hatiku seorang bernama
KANAK-KANAK TENTANG MERDEKA Adakah pernah terlintas dalam benakmu untuk membuat sebuah percakapan dengan anak-anak, tentang apa yang mereka inginkan; membuat perahu dari sebilah bambu untuk kemudian dilayarkan ke laut lepas atau merangkai sebuah layang-layang dari kertas untuk kemudian diterbangkan ke langit luas? Karena anak-anak bukan sekedar milik sang ibu, bukan pula sekedar milik sang ayah, mereka terlebih adalah milik diri mereka sendiri. Gemerlap cahaya berwarna-warni yang memenuhi taman di hati kita yang melambungkan harapan di benak kita. Karena bagi mereka hanya ada satu keceriaan yang tak lain adalah surga, gemericik mata air yang tiada henti menguyurkan kesegaran, kepolosan salju yang putih metah memenuhi lanskap di dalam penglihatan kita. Mereka adalah detak yang berpacu di dalam jantung, deru di dada kita karena mereka adalah anak panah yang terentang kencang di dalam busur sang waktu. Adakah pernah terpikir dalam benakmu untuk memahami dunia mereka, bukan apa yang menjadi kehendakmu melainkan apa yang mereka inginkan. Tak henti merengkuh bayang-bayang mengejar layang-layang tak henti menghela waktu memburu laju perahu Bahwa permainan layang-layang bukan sekedar mengulur kegembiraan melainkan juga harapan, bahwa mengayuh laju perahu bukan sekedar melayarkan canda tawa melainkan juga menera angan untuk meraih cita-cita. Dan di dalam perih liku-liku segenap perjalanan itu jiwa kita melebur dengan segala keluh-kesahnya mengukir langit melukis cakrawala menjelma cita melabuhkan harapan dalam semesta cinta di hati kanak-kanak.

Sunday, February 25, 2007

Seminar proposal

NOVEL-NOVEL MINANGKABAU SEBELUM PERANG:
SUATU KAJIAN IMEJ LELAKI


SARJI BIN KASIM



USUL PENYELIDIKAN YANG DIKEMUKAKAN UNTUK MEMPEROLEH IJAZAH DOKTOR FALSAFAH







FAKULTI SAINS SOSIAL DAN KEMANUSIAAN
UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA
BANGI

2006

USUL PENYELIDIKAN
NOVEL-NOVEL MINANGKABAU SEBELUM PERANG:
SUATU KAJIAN IMEJ LELAKI
1.0 Pendahuluan 03
2.0 Persoalan Kajian 12
3.0 Tujuan Kajian 19
4.0 Kepentingan Kajian 21
5.0 Pendekatan Kajian 23
6.0 Kajian Lepas 36
7.0 Skop Kajian 46
8.0 Metodologi Kajian dan Kaedah Kajian 54
9.0 Organisasi Kajian 55










NOVEL-NOVEL MINANGKABAU SEBELUM PERANG;
SUATU KAJIAN IMEJ LELAKI

1.0 Pendahuluan
Lahirnya pengarang Minangkabau sebelum perang telah banyak memberi sumbangan dalam perkembangan sastera Indonesia dan semangat nasionalisme di kalangan rakyat Indonesia. Contohnya peranan Muhammad Yamin dalam mengangkat bahasa Melayu menjadi bahasa Indonesia.[1] Hampir semua buku sejarah yang membicarakan peristiwa Sumpah Pemuda, 28 Oktober 1928 mengaitkan beliau sebagai pencetus gagasan yang merumuskan butiran Sumpah Pemuda: “Bertanah Air: “Berbangsa” dan “Menjunjung Bahasa Persatuan” Indonesia. Kumpulan puisi awalnya Tanah Air (1922) dan Indonesia Tumpah Darahku (1928) memperlihatkan bahawa beliau tidak pernah melupakan Minangkabau atau Sumatera. Namun, ia juga hidup sebagai warga Indonesia. Oleh kerana itu kepentingan bangsa menjadi yang utama baginya. Beliau juga telah membuktikannya dengan mengangkat bahasa Melayu menjadi bahasa Indonesia ternyata kemudian menjadi alat untuk mempersatukan keanekaragaman bangsa Indonesia.[2] Kesan lahirnya bahasa Melayu sebagai bahasa Indonesia telah merangsang pengarang-pengarang Minangkabau yang sudah mahir menggunakan bahasa Melayu mereka dalam bidang penulisan mereka sama ada dalam bidang puisi atau prosa.
Penyair sezaman dengan Yamin yang juga sedar akan tugasnya untuk berjuang untuk kemerdekaan bangsanya ialah Roestam Effendi. Roestam bukan sahaja menulis puisi tetapi beliau bergerak di bidang politik sama sebagaimana yang dilakukan oleh Muhammad Yamin.[3] Roestam Effendi tergolong sebagai perintis jalan menuju sastera moden Indonesia. Melalui puisi-puisinya beliau memasukkan bahasa daerah Minangkabau, sehingga agak sulit untuk memahami sajak-sajaknya. Beliau melakukannya kerana bahasa daerah lebih dekat kepada seseorang terutama dalam pengertian yang belum ada atau belum diketahuinya dalam bahasa Indonesia. Selain bahasa daerah yang lebih dekat kepada sesorang, secara tidak langsung juga dapat memperkaya perkembangan bahasa Indonesia.[4]
Demikian juga dengan nama Asrul Sani dianggap sebagai pelopor kepada penulisan cerpen di Indonesia. Karya yang dihasilkan oleh Asrul Sani sangat penting kerana beliau tidak berkisah tentang perjalanan hidup anak manusia sebagaimana yang dilakukan pengarang Indonesia lain sebaliknya beliau dikatakan sebagai pemikir, sedangkan pengarang lain sebagai pencerita. Karya beliau dapat dilihat dalam kumpulan cerpen Dari Suatu Masa, Dari suatu Tempat serta beberapa cerpen lain yang dimuat dalam majalah Kisah[5]
Berdasarkan pernyataan ini menunjukkan bahawa pengarang Minangkabau bukan
sahaja mampu membicarakan pemikiran mereka melalui tulisan mereka tetapi mereka juga turut terlibat dalam proses pembinaan bangsa dan negara Indonesia. Dengan adanya karya sastera yang diterbitkan Balai Pustaka, hubungan tambah terjalin antara pengarang dengan masyarakat; dapat membantu perkembangan bahasa dan kesusasteraan Melayu. Di samping itu masyarakat mendapat hiburan ringan dan murah melalui bahan bacaan yang berunsur sastera dan boleh membangkitkan semangat membaca kepada masyarakat. Dengan adanya semangat membaca dalam masyarakat tentunya akan memotivasi pengarang untuk menghasilkan karya mereka.
Pada tahun 1920 – 1941 pengarang Minangkabau lebih terserlah memberikan sumbangan yang besar dalam bidang penulisan novel dan menghasilkan pengarang paling ramai di Indonesia pada waktu itu.
Pengarang novel Minangkabau yang terpenting dalam angkatan Balai Pustaka ialah Marah Rusli, Abdul Muis, Nur Sutan Iskandar, M. Kasim, Tulis Sutan Sati, A. St. Pamuntjak, M. Enri, Jamaluddin (Adinegoro), Aman Dt. Madjoindo, Hamka (Haji Abdul Malik Karim Amrullah), Habib St. Maharadja, dan Sariamin Selasih (Selaguri). Mereka ini boleh dianggap sebagai perintis perkembangan penulisan novel di Indonesia. Umumnya, dalam novel-novel ini banyak memaparkan tragedi yang berlaku di kalangan wanita. Tragedi ini termasuklah;
i) cinta yang tidak kesampaian,
ii) wanita sebagai mangsa fitnah,
iii) wanita kehilangan hak menentukan jodoh,
iv) kehilangan hak mendapatkan pendidikan,
v) perkahwinan yang tidak kekal disebabkan campur tangan pihak tertentu misalnya daripada ibu mentua dan;
vi) juga amalan sistem adat matrilineal yang tidak bersesuaian dengan zaman.
Umumnya pengarang Minangkabau lebih mempersoalkan tentang sistem sosial, dan melihat beberapa sistem sosial dan adat Minangkabau yang dirasakan tidak sesuai lagi dengan dunia moden.
Ciri-ciri karya yang diterbitkan oleh angkatan Balai Pustaka ialah bahasanya masih bahasa Melayu yang keminangkabauan, bahasa yang digunakan kurang kreatif, hampir keseluruhan sasterawannya terdiri dari orang Sumatera terutama orang Minangkabau, tema ceritanya termasuklah yang berkaitan dengan kahwin paksa dan hubungannya dengan adat, kebiasaan beristeri banyak, soal keturunan, perkahwinan ‘sesuku’, keinginan untuk mengubah sistem matrilineal dalam masyarakat Minangkabau, peranan ayah dan mamak, adat meminang, dan kebiasaan merantau. Umumnya tema yang terdapat dalam karya yang ditulis oleh pengarang Minangkabau pada tahun 1920 – 1941 masih lagi yang berhubungan dengan permasalahan dalam masyarakat Minangkabau itu sendiri.
Berdasarkan kepada isi, bentuk dan bahasa yang digunakan oleh pengarang Minangkabau dapatlah dikatakan bahawa novel-novel yang dihasilkan oleh pengarang Minangkabau merupakan karya yang mempunyai kepentingan sama ada dalam aspek mutu dan fungsi karya sastera itu sendiri. Dalam aspek mutu, hasil karya yang dihasilkan merupakan;
a) Pemaparan isi hati pengarang itu sendiri terutama apa yang disenangi ataupun yang tidak disenangi dalam pelbagai bidang kehidupan. Salah satu tujuan mereka mengarang ialah untuk berkongsi idea dan fikiran mereka kepada pembaca.
b) karya yang dihasilkan oleh mereka berbentuk komunikatif iaitu karya yang dapat difahami oleh semua pembaca dari pelbagai latar belakang, karya yang dihasilkan juga menunjukkan adanya unsur kesatuan dalam aspek isi, bentuk, bahasa dan ekspresi peribadi pengarang;
c) karya yang dihasilkan juga masih bersifat menghibur, adanya unsur penafsiran dalam kehidupan dan karya yang dihasilkan memunculkan suatu pembaharuan sama ada dalam aspek pemikiran, bentuk dan bahasa.
Dalam aspek fungsi pula;
a) Karya sastera mampu memberikan kesedaran kepada pembaca tentang kebenaran dalam kehidupan;
b) karya sastera mampu memberikan kegembiraan dan kepuasan batin;
c) karya sastera mampu memenuhi keperluan manusia terhadap naluri keindahan;
d) dan karya sastera mampu memberikan penghayatan yang mendalam tentang sesuatu[6].

1.2 Persoalan Kajian
Bersesuaian dengan tajuk tesis, “Novel-novel Minangkabau Sebelum Perang; Suatu Kajian Imej Lelaki”, maka persoalan utama yang akan dikupas dalam kajian ini ialah berkaitan imej lelaki Minangkabau sebagaimana yang dipaparkan dalam novel-novel pengarang Minangkabau sebelum Perang Dunia Kedua. Selesainya kajian ini dapat menegaskan bahawa novel bersifat karya kreatif dan diasaskan kepada imaginasi pengarang, tetapi ia tetap menyerlahkan realiti budaya dalam masyarakat yang mendokonginya.[7] Pengkaji menggunakan novel sebagai teks kajian memandangkan novel memuatkan lebih banyak persoalan yang ingin diungkapkan oleh pengarang dan memungkinkannya memuatkan lebih banyak realiti budaya.
Realiti budaya turut mempengaruhi penciptaan karya terutama dalam lingkungan budaya tempatan . Pengaruh itu mungkin dari segi tema, persoalan, watak, latar, dan gaya bahasa. Hal ini boleh diandaikan berlaku dalam karya-karya sastera terutama dalam genre novel yang dihasilkan oleh pengarang Minangkabau sebelum perang. Wilayah Minangkabau dianggap oleh para pengkaji budaya dan sastera sebagai kawasan yang sangat kuat dengan unsur budaya tempatan[8]. Bertolak daripada pandangan ini, boleh dikatakan novel-novel yang datang daripada wilayah ini memaparkan realiti budaya Minangkabau.
Karya sastera dipandang sebagai refleksi kehidupan, maka sebuah karya sastera mengenai Minangkabau akan memperlihatkan unsur-unsur masyarakat Minangkabau. Salah satu unsur sosial budaya masyarakat Minangkabau ialah berkaitan dengan kedudukan lelaki. Ini bermakna, melalui kajian novel yang ditulis oleh pengarang Minangkabau pada zaman sebelum perang, akan dapat menonjolkan imej lelaki Minangkabau sebagaimana yang diungkapkan oleh pengarang Minangkabau.
Seorang penulis berkemungkinan tidak terlepas dari pengaruh budaya masyarakatnya. Latar budaya dapat dilihat melalui watak-watak yang dikemukakan, sistem kemasyarakatan, kesenian, dan benda-benda kebudayaan yang terungkap dalam karya karya sastera. Dalam hubungan ini, maka tidak hairanlah jikalau karya yang ditulis oleh suku bangsa tertentu akan cuba memaparkan kehidupan masyarakatnya.
Adalah menjadi hasrat dalam kajian ini untuk memperlihatkan tentang hasil-hasil kesusasteraan khususnya dalam bidang novel yang ditulis oleh pengarang berdasarkan daerah asal di mana pengarang tersebut dilahirkan dan dibesarkan di tempat tersebut. Seterusnya kajian ini diharapkan dapat menjelaskan bahawa karya yang dihasilkan berkecenderungan memasukkan unsur-unsur kedaerahan atau unsur setempat sebagai suatu realiti yang dipunyai oleh masyarakat yang diwakili oleh pengarang. Salah satu unsur setempat itu ialah berkaitan dengan kedudukan dan peranan lelaki dalam masyarakat Minangkabau yang mengamalkan sistem adat Matrilineal.
Aspek budaya Minangkabau yang akan diberi penekanan dalam kajian ini ialah berkaitan dengan kedudukan dan peranan lelaki dalam masyarakat Minangkabau yang mengamalkan sistem matrilineal. Lelaki Minangkabau sebenarnya memainkan peranan yang sangat penting dalam keluarga yang mengamalkan sistem matrilineal. Boleh dikatakan lelakilah yang mengukuhkan lagi institusi adat ini terutama peranannya sebagai ayah dan mamak. Tanpa peranan lelaki institusi ini tidak mampu untuk bertahan lama. Sungguhpun perempuan dikatakan mendapat tempat yang istimewa dalam sistem matrilineal namun demikian, golongan yang melaksanakan sistem ini adalah lelaki. Boleh dikatakan lelakilah yang mengukuhkan lagi institusi adat ini terutama peranan lelaki sebagai mamak dan ayah. Tanpa peranan lelaki, institusi ini tidak mampu untuk bertahan lama. Sungguhpun perempuan dikatakan mendapat tempat tempat yang istimewa dalam sistem matrilineal, namun demikian golongan yang melaksanakan sistem ini adalah lelaki.
Dalam kajian ini, pengkaji akan menjelaskan bahawa lelakilah yang berusaha untuk memartabatkan perempuan. Pada awal abad ke-20 perempuan Minangkabau belum mendapat tempat yang sewajarnya sama ada kehidupannya dalam keluarga atau pun di luar keluarga. Perempuan sering dimanipulasi oleh golongan lelaki demi kepentingan lelaki itu sendiri. Selain itu, pada masa yang sama ada juga golongan perempuan yang menganiaya sesama mereka dengan berbagai alasan yang tertentu. Pada waktu itu perempuan tidak dapat berbuat apa-apa bahkan mereka hanya menyerahkan kepada nasib. Hal ini disebabkan ruang gerak mereka sangat sempit dan terbatas (domestic domain) berbanding laki-laki yang mempunyai ruang gerak tanpa batas (wilayah publik/’public domain’). Walau bagaimanapun, pada waktu inilah muncul golongan lelaki yang berusaha untuk menyetarakan kehidupan perempuan.
Menurut analisis gender, ketidakadilan gender dapat diidentifikasikan melalui berbagai manifestasi misalnya marjinalisasi (proses kemiskinan ekonomi), subordinasi (anggapan perempuan tidak penting), pelabelan negatif (stereotype), kekerasan (violence) dan beban kerja ganda (dauble burden). Berdasarkan pernyataan ini, kaum lelaki telah berusaha untuk mewujudkan “persamaan dan kesetaraan” antara laki-laki dan perempuan. Persoalan ini dapat dilihat dalam novel-novel kajian tentang adanya kesedaran lelaki untuk meningkatakan taraf kehidupan perempuan terutama dalam bidang ekonomi, pendidikan, dan hubungan dengan masyarakat. Gambaran ini dapat dilihat sama ada dari perspektif pengarang lelaki atau perempuan berdasarkan peranan dan tindakan yang dilakukan oleh watak lelaki. Dalam bidang ekonomi misalnya, lelaki Minangkabau merantau untuk mencari kekayaan terutama untuk isteri dan kemenakannya. Dalam aspek perkahwinan, kaum lelaki sama ada yang berstatus ayah, mamak atau abang akan berusaha untuk mendapatkan jodoh yang sesuai dengan harapan bakal suaminya nanti mampu mengambil alih peranan yang telah dilakukan oleh mereka untuk menjaga golongan perempuan. Mereka tahu sekiranya pemilihan jodoh tidak dilakukan dengan sebaik yang mungkin, akan menimbulkan implikasi yang buruk kepada anak atau adik perempuannya. Dalam bidang kepimpinan pula, lelaki akan berusaha untuk memimpin perempuan meningkatkan martabat mereka sesuai dengan kedudukkan perempuan dalam masyarakat itu sendiri agar keberadaan mereka di tengah-tengah masyarakat memberi makna yang tersendiri dalam kehidupan sama ada hubungannya dengan adat Minangkabau, agama Islam dan norma masyarakat. Hal ini secara tidak langsung kaum lelaki telah dapat menempatkan peranan dan tangung jawab perempuan dalam masyarakat menurut kedudukan yang sesuai dalam masyarakat. Peranan ini dapat dilihat berdasarkan penglibatan lelaki sebelum berkahwin atau pun selepas berkahwin sesuai dengan peranan dan tanggung jawab lelaki yang dipengaruhi oleh nilai adat dan agama Islam yang membesarkan kedudukan wanita mengikut gender
Pengarang pada awal abad ke-20 memaparkan dalam tulisan mereka bahawa lelaki merupakan golongan yang mempunyai kuasa yang lebih berbanding perempuan dan keistimewaan yang ada pada mereka digunakan dengan dengan sepenuhnya untuk meningkatkan martabat kehidupanan perempuan terutama berkaitan hak-hak mereka sama ada dari segi pemilihan jodoh, kedudukan ekonomi, pendidikan, dan kepimpinan
Berdasarkan huraian di atas, maka rumusan persoalan dalam kajian ini ialah;
i) Bagaimana ideologi gender dapat dilihat di dalam-novel pengarang Minangkabau terutama melalui peranan dan tindakan yang dilakukan oleh watak lelaki. Wujudnya penggugatan atau pengukuhan ideologi gender ditonjolkan melalui watak-watak yang terdapat dalam novel-novel kajian. Ideologi gender menekankan dominasi lelaki terhadap perempuan yang menjadi warisan sekaligus persoalan yang mendera kaum perempuan semenjak sekian lama. Ideologi gender berkait rapat dengan sistem sosial, budaya, politik dan keagamaan. Ia adalah warisan sosial budaya yang telah berakar berabad-abad lamanya. Malangnya, sebahagian perempuan memandang ideologi gender sebagai suatu kudrat yang tidak mengundang masalah. Bentuk penggugatan atau pengukuhan ideologi gender ini dapat dilihat dalam aspek ekonomi, politik, kekeluargaan, pendidikan dan keagaman.
ii) Bagaimana sikap pengarang terhadap ideologi gender yang dapat dilihat berdasarkan peranan dan tindakan watak-watak lelaki yang terdapat dalam novel-novel kajian. Sikap pengarang ini dapat dilihat berdasarkan latar belakang kehidupannya terutama dalam aspek jantina dan juga pendidikan. Dalam aspek jantina, bagaimana isu yang dimunculkan oleh pengarang lelaki dan juga perempuan. Pengarang perempuan pada masa ini ialah Selasih dan Saadah Alim. Pengarang lelaki pula pada umumnya dari angkatan Balai Pustaka. Nama-nama pengarang yang terkenal pada masa tersebut termasuklah Marah Rusli, Nur Sutan Iskandar, Adi Negoro, Tulis Sutan Sati dan Hamka. Demikian juga latar belakang pendidikan pengarang juga mempengaruhi kepada isu yang terdapat dalam karya mereka. Berdasarkan latar belakang pengarang terutama dalam aspek pendidikan, terdapat dua jenis pendidikan yang diterima oleh pengarang iaitu pendidikan agama dan pendidikan Barat. Berdasarkan kepada pendidikan pengarang, hasil kajian akan dapat menjelaskan terdapatnya kepelbagaian isu yang lahirkan oleh pengarang sesuai dengan latar belakang pendidikan pengarang itu sendiri. Hal ini dapat dilihat berdasarkan karya-karya Hamka yang berlatarbelakang pendidikan agama dan karya pengarang daripada Balai Pustaka yang pada umumnya mendapat pendidikan Barat (Belanda) dan sekolah Melayu.

1.3 Tujuan Kajian

Kajian ini mempunyai beberapa tujuan, iaitu
1. Membuktikan bahawa terdapat kaitan yang kuat penulisan novel dengan budaya tempatan. Hal ini disebabkan pengarang sangat dekat dengan budaya yang melatarbelakangi kehidupan pengarang. Seterusnya, persoalan budaya dalam masyarakatnya akan diadun dalam proses kreativiti penulisan novel.Pengkaji berasa yakin novel-novel yang ditulis oleh pengarang Minangkabau akan lebih menyerlah memperihalkan berkaitan dengan imej lelaki Minangkabau sebagaimana yang terdapat dalam novel sebelum perang
2. Karya yang baik biasanya mengupas realiti budaya yang berada dilingkungan pengarang itu sendiri. Salah satu persoalan budaya dalam sistem matrilineal yang diamalkan ialah berkaitan dengan kedudukan dan peranan lelaki Minangkabau sebelum perang sebagaimana yang digambarkan dalam novel. Kehidupan orang Minangkabau yang berbeza terutama dalam aplikasi adatnya menurut sistem matrilineal sebenarnya telah banyak memberikan pelbagai bentuk konflik dalam masyarakatnya
3. Ideologi gender yang terdapat dalam novel Minangkabau, dapat dilihat melalui peranan dan tindakan yang dilakukan oleh watak-watak lelaki sebagaimana yang terdapat dalam karya. Tindakan ini dapat dilihat melalui dua tindakan iaitu tindakan pengukuhan dan penggugatan. Seterusnya, sikap pengarang terhadap ideologi gender dapat dilihat melalui latar belakang pengarang itu sendiri sama ada dalam aspek jantina dan juga pendidikan.
4. Melalui kajian ini akan dapat menjelaskan mengapa pengarang ini berkecenderungan untuk memasukkan persoalan imej lelaki dalam penulisan mereka. Apakah wujud hubungan sosio budaya yang berada dilingkungannya atau keinginan pengarang itu sendiri yang ingin mengungkapkan keberadaan lelaki dalam lingkungannya sama ada daripada perspektif pengarang lelaki atau perempuan.

1.4 Kepentingan Kajian

Kajian ini tentunya akan menambah lagi kepustakaan yang sedia ada dan bermanfaat kepada pembaca, penyelidik dan para pelajar. Justeru itu, kajian ini tentunya dapat dijadikan sumber rujukan kepada pengkaji lain yang ingin melaksanakan kajian yang lebih lanjut berkaitan imej lelaki sama ada dalam genre drama, cerpen dan juga novel.
Kajian ini dapat memperlihatkan bahawa novel sebagai karya sastera dapat digunakan untuk melihat imej lelaki dalam masyarakat Minangkabau yang mengamalkan sistem Matrilineal terutama dalam tahun 1920 – 1941. Realiti yang dimaksudkan itu terutamanya yang berkaitan dengan imej lelaki Minangkabau sebagai pendukung atau penentang sistem adat matrilineal sebagaimana yang dipaparkan dalam novel pengarang Minangkabau sebelum perang.
Pengarang-pengarang Melayu di Nusantara dapat mencontohi tentang penglibatan penulis Minangkabau sebelum perang. Pengarang Minangkabau bukan sahaja muncul sebagai pengarang yang paling ramai pada era sebelum perang di Indonesia tetapi persoalan yang diungkapkan sesuai dengan keadaan masa atau situasi pada masa tersebut. Persoalan-persoalan yang diungkapkan sebahagiannya tetap relevan sehingga kini.
Kajian ini dapat membetulkan tanggapan masyarakat yang berkaitan dengan kedudukan lelaki Minangkabau seolah-olah dalam sistem adat Matrilineal perempuan mendapat kedudukan istimewa sedangkan lelaki dan perempuan mempunyai peranan dan kedudukan yang sama.

1.5 Pendekatan Kajian
`
Objek kajian berdasarkan novel-novel yang ditulis oleh orang Minangkabau sebelum perang. Novel-novel yang dikaji berdasarkan kepada isi setiap novel yang menyangkut permasalahan masyarakat Minangakabau itu sendiri.
Tujuan dalam kajian ini ialah untuk membuktikan bahawa novel dapat dijadikan bahan sebagai sumber rujukan dokumen budaya dalam sesuatu masa yang tertentu. Aspek yang dapat dilihat berdasarkan kajian di dalam novel pengarang Mingkabau sebelum Perang Dunia Kedua terutama berkaitan dengan peranan dan kedudukan lelaki Minangkabau yang mengamalkan sistem Matrilineal. Aspek-aspek tersebut termasuklah imej lelaki sebagai perantau, imej lelaki dalam perkahwinan, imej lelaki alam kepimpinan dan peranan dan kedudukan lelaki dengan perempuan.
Dalam pendekatan sosiologikal, hubungan antara sastera dengan masyarakat dapat diteliti berdasarkan kepada faktor di dalam teks dan luar teks. Terdapat tiga pendekatan yang boleh digunakan untuk memahami karya berdasarkan pendekatan ini:
a) Membicarakan latar belakang pengarang, pembaca dan masyarakat.
b) Memahami aspek dalaman karya sudut pandangan dan sebagainya yang
terdapat di dalam sesebuah karya..
a) Sastera sebagai cermin masyarakat
Berdasarkan kepada aspek pendekatan sosiologikal sebagaimana yang dibincangkan, maka konsep sastera sebagai cermin masyarakat akan diberikan tumpuan yang lebih mendalam. Hal ini disebabkan sesebuah karya tentunya akan membincangkan masalah masyarakat. Informasi kemasyarakatan yang diungkapkan di dalam novel sangat jelas kerana watak-watak yang terdapat di dalam cerita dianggap seperti peristiwa benar dalam masyarakat. Sehubungan itu, karya sastera yang lahir di tengah-tengah masyarakat tidaklah lahir dari “kekosongan sosial” semata-mata, tetapi secara langsung atau tidak, pengarang akan terpengaruh dengan lingkungannya. Hasilnya, persoalan kebudayaan yang dilihatnya akan turut terpengaruh dalam proses penghasilan sesebuah karya.
Unsur-unsur yang ada dalam karya misalnya unsur budaya, peristiwa, citra, motif, dan tema dari sesebuah karya, seorang pengkaji akan dapat melihat keterkaitan dengan realiti yang ada sesuai dengan yang dikehendaki. Dengan kata lain, pendekatan ini melihat hubungan langsung antara yang ada dalam karya dengan aspek budaya yang ada pada zaman tersebut. Menurut Allan Swinggewood, pendekatan ini dikenal sebagai pendekatan positivistik. Konsep asas pendekatan ini menganggap karya sastera sebagai refleksi dari realiti.[9]

1.5.1 Gender dan Hubungannya dengan Lelaki

Gender adalah perbezaan dan fungsi peranan sosial yang diciptakan oleh masyarakat, serta tanggung jawab lelaki dan perempuan. Gender belum tentu sama di tempat yang berbeza, dan dapat berubah dari waktu ke waktu. Fungsi peranan sosial ini merangkumi aspek bangsa, kelas, etnik, dan jantina. Seks adalah jenis kelamin yang terdiri dari perempuan dan laki-laki yang telah ditentukan oleh Tuhan[10]. Ketentuan ini berlaku sejak dahulu lagi, sekarang dan berlaku selamanya. Oleh kerana itu, ia tidak dapat ditukar atau diubah.
Gender bukanlah kudrat ataupun ketentuan Ilahi. Gender berkaitan dengan proses keyakinan bagaimana seharusnya lelaki dan perempuan itu berperanan dan bertindak sesuai dengan tata nilai yang ditetapkan, ketentuan sosial dan budaya ditempat mereka berada. Lizbeth Goodman menegaskan gender adalah;
“.....refers to ways of seeing and representing people and situations based on sex difference. By contrast, ‘sex’ is a biological category: female or male. The term ‘sexuality’ refers to the realm of sexual experience and desire – sometimes it refers to a person’s sexual orientation (as heterosexual, bisekual or homosexual). “Gender” is a social or cultural category, influenced by stereotypes about ‘female’ and ‘male’ behaviour that exist in our attitudes and beliefs. Such belieefs are often said to be “culturally produced’ or ‘constructed”[11].

Berdasarkan pernyatan ini dapatlah difahamkan bahawa gender adalah perbezaan peranan, fungsi, tanggung jawab antara perempuan dan laki-laki yang dibentuk oleh keadaan sosial budaya dan dapat berubah sesuai dengan perkembangan zaman. Dengan demikian, perbezaan gender dan jenis kelamin (seks) adalah gender; dapat berubah, dapat dipertukarkan, masa, budaya setempat, bukan merupakan ketentuan Tuhan, melainkan ia dicipta oleh manusia. Perbezaan dengan seks adalah tidak dapat berubah, tidak dapat dipertukarkan, berlaku sepanjang masa, berlaku di mana-mana tempat di dunia, dan ia dicipta oleh Tuhan.[12] Perbezaan jantina terbina secara sosial meskipun pada kebiasaanya diperlihatkan sebagai semula jadi atau normal. Seks adalah suatu istilah yang digunakan untuk menunjukkan perbezaan biologikal antara lelaki dan wanita, tetapi jantina menandakan perbezaan yang dibina secara sosial yang beroperasi dalam kebanyakan masyarakat dan menjurus ke arah ketidakadilan, penindasan dan penekanan antara jantina itu. Kedua-dua feminiti (kewanitaan) dan ‘masculinity’ (kelelakian) terbina secara sosial dan dianugerahi dengan pelbagai kualiti, nilai, imej dan naratif yang sentiasa tersebar dalam masyarakat dan yang membentuk dan menentukan sikap manusia dan kehidupan mereka.[13]
Gender bukanlah merupakan konsep barat. Konsep tersebut berasal dari konstruksi lingustik dari berbagai bahasa yang memberi kata sandang tertentu untuk memberikan perbezaan jenis kelamin laki-laki dan perempuan[14]. Konstruksi lingustik ini kemudiannya diambil oleh ahli antropologi menjadi kata yang hanya dapat dijelaskan tetapi tidak ada padanannya dalam bahasa Melayu. Jelasnya gender mengacu kepada peranan dan tanggung jawab untuk perempuan dan laki-laki yang dicipta oleh suatu budaya; jadi bukan jenis kelamin yang mengacu kepada perbezaan ciri biologi.
Gender menjadi isu kerana banyak orang yang tidak memahami antara perbezaan peranan gender dengan perbezaan jenis kelamin. Kesalahan ini timbul kerana hubungan gender yang berbeza antara lelaki dan perempuan. Dalam banyak kes, perlakuan yang tidak adil lebih banyak menimpa perempuan baik di rumah, di tempat kerja maupun masyarakat. Dalam masyarakat, perempuan kurang mendapat tempat pada kedudukan yang penting. Perempuan dianggap memainkan peranan penting di sektor rumah tangga mengakibatkan mereka mempunyai beban ganda dan tanggung jawab yang penting. Akibatnya perempuan perlu bekerja keras untuk memenuhi tuntutan dan tanggung jawab tersebut. Implikasi daripada hal ini terciptanya kesenjangan gender iaitu tata nilai sosial budaya masyarakat umumnya lebih mengutamakan lelaki daripada perempuan (ideologi patriarki)[15].
Wujudnya kesenjangan gender ini maka timbulnya pengertian kesetaraan dan keadilan gender. Kesetaraan gender bererti kesamaan keadaan bagi laki-laki dan perempuan untuk memperolehi kesempatan serta hak-haknya sebagai manusia, agar mampu berperanan dan berpartisipasi dalam kegiataan politik, undang-undang, ekonomi, sosial budaya, pendidikan, dan keselamatan. Kesetaraan gender juga meliputi penghapusan diskriminasi dan ketidak adilan baik terhadap laki-laki maupun perempuan. Keadilan gender adalah suatu proses dan perlakuan adil terhadap perempuan dan laki-laki. Dengan keadilan gender bererti tidak ada diskriminasi dan kekerasan terhadap perempuan maupun laki-laki. Wujudnya kesetaraan dan keadilan gender dapat dilihat dengan hilangnya diskriminasi antara perempuan dan laki-laki, dan mereka mempunyai peluang untuk menikmati dan memperolehi manfaat yang sama dalam kehidupan.
Ideologi gender menekankan penguasaan laki-laki terhadap perempuan, telah menjadi warisan dan perempuan dijadikan objek oleh golongan lelaki sebagai tempat untuk memenuhi kehendak lelaki. Ideologi gender mempunyai hubungan dengan sistem sosial, budaya, dan politik, bahkan ada yang mengaitkannya dengan pandangan keagamaan. Sungguhpun demikian, perempuan memandang ideologi gender sebagi suatu kudrat yang tidak mengundang masalah. Posisi perempuan yang dalam ideologi gender merupakan subordinasi lelaki diterima sebagai suatu kewajaran. Sehubungan itu, penggugatan atau pengukuhan ideologi gender dalam novel yang dikaji akan terlihat melalui peranan dan tindakan watak-watak lelaki yang ada dalam novel.. Sehubungan dengan topik penelitian ini, perwatakan yang terdapat di dalam novel akan dipandang dalam perspektif gender. Hujah ini diperkuatkan sebagaimana yang ditanggapi oleh Lizbeth Goodman;
“So, when we refer to the study of literature and gender, we don’t just mean literary analysis of texts with regard to the sex (female or male) or sexuality of authors, but the wider study of literary texts as they are written, read and interpreted within cultures, by women and men. We are all aware of some degree of cultural stereotyping about gender”[16]
Menurutnya lagi “if we read with concern for identifying assumptions and streotypes about gender, we learn about society as well as about literature”[17]


1.5.2 Pemahaman Gender dan Imej Lelaki Minangkabau

Dalam melihat permasalahan masyarakat Minangkabau daripada perspektif gender, faktor budaya dan masyarakat yang menentukan bentuk perhubungan gender dalam konteks kehidupan seharian. Sungguhpun lelaki dan wanita berbeza dari segi biologi, namun sikap dan perlakuan manusia banyak dicorakkan oleh ciri-ciri budaya dan persekitaran[18]. Misalnya lelaki harus bersifat kuat dan agresif, sedangkan perempuan harus lemah lembut. Sewaktu masih bayi lagi, lelaki dan perempuan sudah dilatih untuk mengenali dan menuju sifat gender masing-masing. Proses sosialisasi yang demikian sangat berpengaruh kepada perkembangan dan visi serta ideologi kaum laki-laki dan perempuan.
Untuk mengkaji perhubungan gender yang wujud dalam masyarakat Minangkabau, maka aspek adat, budaya dan agama dalam masyarakat Minangkabau perlu difahami.Aspek-aspek tersebut dapat dilihat berdasarkan pelukisan imej lelaki sama ada oleh pengarang lelaki atau wanita, sama ada positif atau negatif. Ini menunjukkan watak lelaki dipaparkan oleh pengarang dengan pelbagai ragam. Berdasarkan pernyataan ini, watak lelaki sebagaimana yang terdapat dalam novel-novel pengarang Minangkabau terdiri daripada dua golongan iaitu golongan yang berusaha untuk memberi kesetaraan dan keadilan gender kepada perempuan dan golongan yang memandang rendah kepada perempuan. Golongan ini dapat dilihat berdasarkan watak-watak lelaki sebagaimana yang dipaparkan oleh pengarang Minangkabau.
Apabila membincangkan perhubungan gender dengan kedudukan lelaki
Minangkabau, sistem keagamaan khususnya Islam perlu disentuh kerana agama merupakan isu yang memberikan impak yang mendalam terhadap masyarakat Minangkabau. Tentang kedudukan lelaki menurut al-Quran telah menerangkan bahawa, “Lelaki adalah pemimpin kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka”[19]

1.6 Kajian Lepas

Kajian yang berkaitan dengan novel-novel Indonesia sebelum perang dan dapat dijadikan sumber rujukan yang penting termasuklah daripada John Frederick Penbrook (1979). Beliau telah mengkaji empat buah novel penting yang diterbitkan pada tahun 1920 – 1942 di Indonesia. iaitu Sitti Nurbaya (Marah Rusli), Salah Asohan (Abdul Moeis), Layar Terkembang (Sutan Takdir Alisjabana) dan Belenggue (Armijn Pane). Tesis tersebut bertitik tolak dengan masyarakat dalam cerita rekaan dapat dianggap sebagai keseluruhan sumber data-data sosial. Setelah beliau mengkaji berkaitan tentang adat Minangkabau, masyarakat Minangkabau dan novel Minangkabau, tesis ini menyimpulkan bahawa isi dua novel pertama iaitu Sitti Nurbaya dan Salah Asohan dapat diterima sebagai sumber-sumber data sosial sebab dua novel ini memberi gambaran kebenaran dan kejujuran dari kehidupan keluarga Minangkabau berdasarkan tahun tersebut. Bagaimanapun, dua novel yang seterusnya iaitu Layar Terkembang dan Belenggue tidak dapat diterima sebagai sumber data yang betul dari keterangan sosial yang sebenarnya kerana pengarang novel tersebut telah menterjemahkan latarbelakang dari kebebasan dan proses urbanisasi. Watak-watak yang terdapat dalam novel tersebut juga dikembangkan sama dengan novel-novel barat[20].
Lukman Ali ada membuat kajian unsur adat Minangkabau dalam Sastra Indonesia (1922 – 1956). Sembilan dari empat belas novel yang bicarakan dalam kajian ini membawakan soal kahwin paksa tetapi hanya lima di antaranya yang berlaku dalam lingkungan kekuasaan mamak dan ibu. Perkahwinan antara orang ‘sepesukuan’ telah menimbulkan konflik antara adat dan agama. Persoalan adat yang dibicarakan dalam kajian ini adalah persoalan adat Minangkabau. Karya-karya sastera yang mengandungi unsur-unsur adat Minangkabau terbit berturut-turut antara tahun 1922 – 1940 kecuali novel Anak dan Kemenakan yang terbit dalam tahun 1956. Dalam tahun 1922 – 1940 pengarang Minangkabau menggarap persoalan adat dari sumber adat yang dipegang oleh masyarakat Melayu Minangkabau. Menurut Lukman Ali, peristiwa yang terdapat dalam novel ini membenarkan kepada masyarakat sebagai suatu hasil sastera dari suatu zaman dan situasi[21].
Yasril Yazid (1999) membuat kajian berkaitan sistem nilai yang wujud dalam roman-roman sastera Hamka. Kajian ini mengambil tiga roman Hamka yang dianggap paling representatif bagi pandangan-pandangan dan fikiran-fikiran kritis Hamka tentang praktik adat matrilinial di Minangkabau iaitu, roman Tenggelamnya Kapal Van der Wijck (1938), Merantau ke Deli (1939) dan Dijemput Mamaknya(1949). Kajian yang menggunakan ‘metod historical factua’ dan metod diskriptif analitik ini mendapati bahawa dalam roman Hamka wujud pertentangan antara nilai-nilai adat dan nilai-nilai dakwah Islamiah, khasnya dalam masalah kekerabatan, masalah perkahwinan dan mengenai masalah harta pusaka di Minangkabau. Walaupun dalam proses perkembangannya sekarang adat Minangkabau cenderung ke arah sistem Islam yang berfahamkan sistem kekerabatan patrilinial, tetapi belumlah dalam ertian yang murni, sebab masih berlakunya perkara-perkara yang menyimpang dari ketentuan ajaran Islam, sebagaimana terlihat dalam masalah pembahagian harta pusaka.[22]
Kajian yang berkaitan citra manusia dalam novel-novel Indonesia Moden diarahkan kepada lima hubungan manusia di dalam kehidupan manusia secara pribadi. Kelima hubungan manusia yang memperlihatkan citra manusia adalah citra manusia dalam hubungan manusia dengan Tuhan, citra manusia dalam hubungan manusia dengan alam, citra manusia dengan masyarakat, citra manusia dengan orang lain dan citra manusia dalam hubungan manusia dengan diri sendiri. Pada tahun 1929-an manusia terlihat lebih banyak berpasrah diri kepada Tuhan dalam menghadapi pelbagai masalah hidup sehingga kesengsaraan juga merupakan kehendak dari Yang Maha Kuasa. Pada tahun 50-an citra yang tampak pada manusia adalah citra yang tidak mahu mengakui adanya Tuhan. Citra manusia dalam hubungannya dengan alam memperlihatkan manusia yang menginginkan keindahan alam, manusia yang melindungi dan memelihara alam dan manusia yang tidak mempedulikan alam. Citra manusia dalam hubungan manusia dengan masyarakat diperlihatkan citra manusia pelopor, citra manusia yang bertanggung jawab, citra manusia yang menginginkan perubahan dan citra manusia yang patuh kepada adat. Citra manusia dalam hubungan manusia dengan manusia lain adalah citra manusia yang inginkan cinta, citra manusia yang mementingkan persahabatan, citra manusia yang berlaku curang dan citra manusia yang derhaka kepada orang tua.[23]
Kajian yang berkaitan dengan imej manusia dalam sastera dilakukan oleh A. Wahab Ali. Beliau menggunakan teks-teks novel Melayu antara tahun 1960-1969. Beliau telah menggolongkan watak-watak dalam novel kajiannya kepada beberapa golongan besar iaitu watak pemimpin, watak wanita, watak petani dan nelayan, watak manusia bukan Melayu dan watak manusia kerdil. Dasar penggolongan yang dipilih mempunyai keistimewaannya berbanding dengan dasar penggolongan lainnya. Menurutnya, penggolongan itu mudah, menarik, dan dapat menggambarkan imej manusia yang timbul dari kehidupan sebagaimana yang terdapat dalam novel-novel pilihan itu.
Tulisan yang berkaitan dunia lelaki dan perempuan dalam novel-novel Indonesia dapat dilihat berdasarkan tulisan Umar Junus. Dalam tulisannya beliau mengemukaan kepada tiga bahagian. Dalam bahagain pertama beliau menjelaskan bahawa novel-novel pada tahun 1920-an dengan dunia lelaki yang dominan; berkisar pada seorang tokoh perempuan yang dikelilingi oleh dua kuasa lelaki yang dominan dan ia merupakan tokoh yang tragik, ada semacam harapan yang berupa pelaksanaan dari kebebasan yang pada mulanya tidak dapat dicapai, ada suasana melankolik dan romantik, kerana kita diberi kesan bahawa tidak sedar telah menjadi korban dari suatu keadaan Kalau ada perkembangan, ia lebih terbatas kepada tokoh perempuan belaka. Tokoh lelaki hanya mempunyai kualiti tertentu sahaja.[24]
Sapardi Djoko Damono(1979) juga membuat kajian berkaitan novel-novel sebelum perang di Indonesia. Kajian ini membicarakan tentang perkembangan novel Indonesia sejak tahun 1920-an sampai tahun 1940. Perkembangan yang dibicarakan terutama sekali yang menyangkut hubungan antara unsur-unsur formalnya dan situasi sosial yang telah melahirkannya. Kajian ini menekankan kepada keadaan penerbitan dan keadaan politik pada umumnya, dengan tidak meninggalkan keadaan kepengarangan yang erat hubungan dengan dunia penciptaan[25].
Sarji Kasim (1999) juga membuat kajian yang berkaitan dengan perbandingan novel Melayu dan Indonesia sebelum perang. Objek kajiannya berkaitan dengan persoalan merantau. Hasil kajiannya dapat menjelaskan bahawa unsur merantau yang terdapat di dalam novel adalah cerminan pada zaman tersebut (1920 – 1941). Dalam kajiannya menegaskan bahawa novel dapat dijadikan sumber sebagai dokumen budaya dalam masyarakat Melayu dan Minangkabau.[26]
Usman Pelly (1994) membahaskan kajiannya mengikut perspektif ilmu sosiologi. Beliau membahaskan bagaimana dua kelompok etnik, Minangkabau dari Sumatera barat dan Mandailing/Sipirok-Angkola dari Tapanuli Selatan, beradaptasi ke dalam kehidupan kota di Medan. Beliau meneliti perubahan dan kegigihan beradaptasi kedua kelompok perantau tersebut dalam kaitannya dengan tradisi rantau mereka dan perubahan dalam kebudayaan penduduk asli daerah perantauan mereka(host culture) yang dominan sebelum dan sesudah kemerdekaan dalam tahun 1950. Baik masyarakat Minangkabau mahupun Mandailing memiliki apa yang disebut sebagai ‘misi budaya’ membawa misi: memperkaya dan memperkuat alam Minangkabau. Misi perantauan orang Tapanuli ialah memperluas kampung halaman untuk mendirikan kerajaan-kerajaan peribadi (sahala haraja). Sebab itu, pola perantauan mereka juga disebut sebagai perantauan yang ekspansionis. Menurut pandangan kosmologi mereka, alam rantau(Bona ni Ranto) yang dikuasai dianggap bahagian integral dari alam kampung halaman(bona ni Pasogit).[27]
A. Teeuw juga menulis tentang kesusasteraan sebelum perang di Indonesia. Isi di dalam buku ini banyak membicarakan tentang novel-novel yang ditulis pada zaman tersebut dan latar belakang masyarakat Minangkabau. Lukman Ali (1994) ada membuat kajian yang berkaitan unsur Adat Minangkabau dalam Sastra Indonesia (1922 – 1956). Sembilan dari empat belas novel yang bicarakan dalam kajian ini membawakan soal kahwin paksa tetapi hanya lima di antaranya yang berlaku dalam lingkungan kekuasaan mamak dan ibu. Perkahwinan antara orang ‘sepesukuan’ telah menimbulkan konflik antara adat dan agama. Persoalan adat yang dibicarakan dalam kajian ini adalah persoalan adat Minangkabau. Karya-karya sastera yang mengandungi unsur-unsur adat Minangkabau terbit berturut-turut antara tahun 1922 – 1940 kecuali novel Anak dan Kemenakan yang terbit dalam tahun 1956. Dalam tahun 1922 – 1940 pengarang secara berganti-ganti menggarap persoalan adat dari sumber adat yang dipegang oleh masyarakat Melayu Minangkabau. Sumber-sumber adat yang dimaksudkan itu berkaitan dengan kebiasaan merantau, adat meminang, perkahwinan sesuku, soal keturunan, kebiasaan beristeri banyak, anggapan berkahwin dengan orang luar dan kahwin paksa dan hubungannya dengan adat. Menurut Lukman Ali, peristiwa yang terdapat dalam novel ini membenarkan kepada masyarakat sebagai suatu hasil sastera dari suatu zaman dan situasi[28].
Makalah yang ditulis oleh A. A Navis (1983) yang berjudul “Sosiologi Minangkabau dalam Novel Indonesia Sebelum Perang” membicarakan hubungan novel-novel Minangkabau dengan sistem kekeluargaan orang Minangkabau. Hal yang bincangkan berkaitan dengan peranan mamak dan kemenakan, peranan ibu, hubungan suami isteri, kedudukan suami, kedudukan isteri, aspek perjodohan, hubungan kampung dangan rantau dan harga diri. Peranan mamak berkaitan suatu lembaga yang mengurus kepentingan kaum atau menjaga kaum dengan berbagai tindakan yang positif ataupun negatif. Peranan ibu menjadi penting kerana posisi seorang ayah di rumahnya, hanyalah sebagai semenda, yang dianggap sebagai orang asing yang tak berhak menentukan, sehingga anak-anak yang lahir dari kehidupan mereka berdua, tetap menjadi turunan ibunya. Hubungan suami isteri Minangkabau yang dilukiskan dalam novel adalah hubungan yang rapuh dan tidak bertahan lama. Hasil tulisan A. A Navis juga memperlihatkan suami yang menetap di kampung, dilukiskan sebagai orang semenda yang disegani dan dimanjakan, kerana berbagai alasan sebaliknya kehidupan di rantau akan memberi kesenangan kepada isteri dana kemenakan di kampung. Perempuan adalah pengendali rumah-tangga dan anak-anak yang lahir dari pergaulan suami isteri menjadi anggota kaum atau suku isteri. Kedudukan anak perempuan pula lebih berharga jika dibandingkan dengan lelaki. Masalah perjodohan bukan urusan peribadi tetapi merupakan urusan kerabat dari kedua belah pihak yang menikah. Hubungan kampung dan rantau sangat penting bagi orang Minangkabau. Kehidupan di kampung dikatakan hidup tanpa cabaran dan tidak memberikan hasil yang lumayan berbanding golongan yang merantau. Hubungan harga diri dan rasa malu sangat penting bagi orang Minangkabau dan dengan sebab itulah kewajipan setiap orang meningkatkan nilai kerabatnya yang setali darah, meningkatan nilai suku atau kaum menurut sistem matrilineal[29].
Nafron Hasjim (1987) telah membuat kajian mengenai novel-novel dari Indonesia yang memperlihatkan adat Minangkabau dalam kajiannya. Karya yang dikaji ialah novel Bako (1980) karya Darman Moenir. Novel ini berkaitan dengan persoalan masyarakat Minangkabau dan hubungannya dengan adat..[30]
Mursal Esten (1987) juga ada membuat kajian berkaitan tentang permasalahan masyarakat Minangkabau di dalam karya. Beliau menggunakan 6 buah novel dan satu buah cerpen yang ditulis oleh penulis Minangkabau. Novel-novel yang dikaji ialah Salah Asohan (1920), Siti Nurbaya (1979), Tenggelamnya Kapal van der Wijck (1977), Kemarau (1977), Warisan (1979) dan Bako (1983) manakala cerpen ialah Jodoh karya A.A Navis. Beberapa permasalahan khas Minangkabau menyangkut masalah perkahwinan, masalah harta pusaka, masalah kedudukan dan fungsi keluarga ibu (dalam hal ini kedudukan dan fungsi Mamak). Dari pengamatannya, beliau merumuskan bahawa permasalahan Minangkabau di dalam karya-karya sastera Melayu Indonesia itu kelihatannya mahu diangkat menjadi permasalahan-permasalahan Indonesia sebagai suatu masyarakat baru yang sedang tumbuh dan berkembang.[31]
Kajian ini adalah kajian yang berbeza dengan kajian yang telah dilakukan sebelumnya. Kajian ini merupakan kajian yang khusus membahaskan kedudukan dan peranan lelaki Minangkabau yang mengamalkan sistem Matrilineal sebagaimana yang dipaparkan dalam novel-novel Minangkabau sebelum perang. Berdasarkan tinjauan kepustakaan, penulis yakin kajian ini belum pernah dilakukan oleh pengkaji lain.


1.7 Skop Kajian

Skop kajian yang menjadi fokus dalam kajian ini ialah sebelum Perang
Dunia Kedua iaitu pada tahun 1920 – 1941. Batasan kajian ini digunakan memandangkan pada zaman ini merupakan waktu awal kemunculan novel yang dihasilkan oleh pengarang Minangkabau dalam kesusasteran Indonesia. Pengertian yang berkaitan dengan imej adalah merujuk kepada citra, gambaran, cerminan, dan bayangan yang ditimbulkan oleh kata, frasa, atau kalimat. Pengertian ini merujuk sebagai keperibadian atau watak seseorang atau sesuatu, sebagaimana yang terpancar pada pandangan atau tanggapan orang atau pihak lain. Pengertian imej antaranya gambaran yang dimiliki orang tentang peribadi, perusahaan atau organisasi; kesan mental atau bayangan visual yang ditimbulkan oleh sesuatu kata, frasa atau kalimat dan merupakan unsur dasar yang khas dalam karya yang berbentuk prosa[32]. Imej lelaki bermakna citra atau gambaran watak dan perwatakan lelaki yang dibentangkan, dikemukakan dan dilukiskan oleh pengarang dalam novel mereka. Imej atau citra lelaki di sini bermaksud melihat gambaran watak lelaki Minangkabau dari segi fizikal, peranan dan penglibatannya sebagai tokoh yang mengerakkan cerita dalam novel. Penglibatan ini dapat dilihat dalam proses interaksinya sama ada dengan orang Minangkabau atau bukan Minangkabau. Penglibatan ini juga dapat dilihat berdasarkan hubungannya dengan sesama watak lelaki atau watak perempuan. Proses interaksi ini dapat dilihat berdasarkan tempat, masa dan kejadian atau peristiwa yang berlaku.
Istilah novel Minangkabau dalam kajian ini diertikan sebagai novel yang dihasilkan oleh pengarang Minangkabau yang berbicara tentang masyarakat Minangkabau dan Indonesia. Dalam kajian ini pengkaji hanya membincangkan watak-watak utama sama ada lelaki atau perempuan dan bagaimana watak-watak yang terdapat dalam isi sesuatu cerita itu memberi pengaruh atau kesan kepada watak lelaki sama ada positif atau negatif. Watak lelaki yang akan dianalisis hanya berkaitan watak lelaki Minangkabau.
Untuk memahami watak dan perwatakan, pengkaji akan dapat menelusurinya melalui:
a) Tuturan pengarang terhadap karakateristik watak yang disebut;
b) gambaran yang diberikan pengarang melalui lingkungan kehidupannya atau cara berpakaian;
c) menunjukkan bagaimana perilakunya;
d) melihat bagaimana watak itu bercakap tentang dirinya sendiri;
e) memahami jalan fikirannya;
f) melihat bagaimana watak lain berbicara tentangnya;
g) melihat bagaimana watak-watak yang lain memberikan reaksi terhadapnya dan;
h) melihat bagaimana watak itu berintraksi dengan watak yang lainnya[33].
Menurut A. Wahab Ali terdapat pelbagai dasar boleh digunakan untuk menggolongkan watak. Misalnya, berdasarkan agama, kaum, umur, kelas, pelajaran, pekerjaan, jantina, sifat-sifat watak dan ciri yang menarik sebagai kumpulan[34]. Berdasarkan penelitian pengkaji, watak-watak yang terdapat di dalam novel pengarang Minangkabau sesuai ditinjau berdasarkan penggolongan jantina. Biasanya dalam novel terdapat dua watak yang sering diperbincangkan iaitu watak lelaki dan perempuan. Dalam novel pengarang Minangkabau watak lelaki dapat dibahagian kepada dua iaitu watak lelaki Minangkabau dan watak lelaki bukan Minangkabau. Maka, dalam kajian ini watak lelaki Minangkabau akan diberi fokus utama. Penggolongan watak lelaki Minagkabau boleh digolongan kepada kategori umur kepada watak kanak-kanak, remaja, dewasa dan tua. Penggolongan dalam aspek pekerjaan termasuklah pekerjaan sebagai peniaga, kakitangan kerajaan, petani dan swasta. Watak lelaki Minangkabau boleh kategorikan kepada aspek pendidikan iaitu pendidikan agama, pendidikan Melayu atau Belanda dan tidak berpendidikan. Dalam penggolongan watak lelaki, kategori kelas boleh dibahagian kepada dua iaitu kelas biasa dan kelas bangsawan.
Walaupun terdapat pelbagai kategori watak lelaki Minangkabau boleh digolongan namun demikian, fokus dalam kajian ini berkaitan dengan imej lelaki Minangkabau kepada empat golongan besar iaitu:
i) imej lelaki sebagai perantau;
ii) imej lelaki dalam perkahwinan;
iii) imej lelaki dalam kepimpinan dan;
iv) peranan dan kedudukan dengan perempuan
Dasar penggolongan yang dipilih oleh pengkaji mempunyai keistimewaannya berbanding dengan dasar penggolongan lainnya. Pertama penggolongan ini mudah, menarik dan dapat menggambarkan imej lelaki Minangkabau dalam pelbagai aspek sebagaimana yang terdapat dalam novel. Imej lelaki Minangkabau sangat menarik untuk dikaji memandangkan lelaki Minangkabau mempunyai peranan dan kedudukan yang tersendiri dalam masyarakat yang mengamalkan sistem adat Matrilineal.
Tahun 1920 diambil sebagai tahun permulaan kajian novel disebabkan tahun ini dianggap sangat penting sebagai zaman awal pertumbuhan kesusasteraan Indonesia dan zaman awal terlibatnya pengarang Minangkabau dalam penulisan novel.
Pengarang Minangkabau ialah pengarang yang dilahirkan dan dibesarkan dalam budaya Minangkabau. Novel yang akan dikaji ialah novel-novel yang membicarakan masalah budaya Minangkabau dalam masyarakatnya sendiri. Novel-novel yang dijadikan sumber rujukan hanya terbatas yang menggunakan tema, persoalan, watak, dan latar yang berkaitan dengan budaya Minangkabau dan hubungannya dengan masyarakat Indonesia..
Populasi penelitian ini adalah novel-novel yang ditulis oleh penulis Minangkabau. Untuk memudahkan analisis, maka novel-novel ini akan dkaji mengikut urutan tahun diterbitkan iatu novel yang terawal sebelum Perang Dunia Kedua hingga meletusnya Perang Dunia Kedua pada tahun 1941. Kriteria pemilihan novel Minangkabau, bukan sahaja sesuatu cerita itu berlaku di Minangkabau tetapi boleh saja di luar Minangkabau, asalkan pelaku atau wataknya adalah yang berkaitan dengan orang Minangkabau sama ada yang berhubungan dengan sesama orang Minangkabau atau pun dengan orang bukan Minangkabau. Untuk menentukan pelakunya adalah berkaitan permasalahan Minangkabau dapat dilihat pada bahasa dalam dialog watak, latar tempat, latar budaya, agama dan sistem sosial yang dipegang dan juga nama watak itu sendiri. Novel-novel yang dipilih ini sering mendapat sorotan dan rujukan daripada sarjana sama ada dari dalam maupun luar negeri semenjak ia diterbitkan sehingga sekarang dan pernah
diadaptasikan kepada filem.[35]
Terdapat 21 buah novel yang akan di kaji dan novel-novel sebelum perang yang ditulis oleh penulis Sumatera Barat. Novel-novel ini dapat dibahagikan dua bahagian iaitu zaman 1920 – 1929 dan 1930 – 1941. Kategori novel zaman 1920 – 1929 ialah Sitti Nurbaya (1922)[36], Apa Dayaku Karena Aku Perempuan (1922)[37], Melati Van Agam (1923) [38], Pertemuan (1927)[39], Salah Asohan (1928)[40], Salah Pilih (1928)[41], dan Sengsara Membawa Nikmat (1929)[42]. Novel yang dihasilkan pada tahun 1930 – 1941 ialah Dijemput Mamaknya (1930)[43], Karena Mentua,(1932)[44], Tidak Membalas Guna (1932)[45], Memutuskan Pertalian (1932)[46], Nasib (1932)[47], Kalau Tak Untung (1933)[48], Pengaruh Keadaan (1937),[49] Tenggelamnya Kapal Van der Wijck (1938)[50], Di Bawah Lindungan Kaabah (1938)[51], Pembalasannya (1938)[52], Tjintjin Setempel (1939)[53], Merantau ke Deli (1939)[54], dan Kerana Anak Kandung (1940).[55]
Kriteria pemilihan novel tersebut berdasarkan peranannya yang dianggap penting dalam sejarah perkembangan novel sebelum Perang Dunia Kedua khususnya dalam kelompok pengarang Minangkabau. Peranan ini didasarkan kepada kedudukan novel ini berbanding dengan novel yang lain dan juga persoalan yang diketengahkan oleh pengarang. Kesemua isi-isi utama yang diungkapkan dalam novel ini membicarakan tentang imej lelaki Minangkabau dalam pelbagai aspek sesuai dengan persoalan yang ingin dikaji terutama yang berkaitan dengan merantau, perkahwinan, kepimpinan dan peranan dan kedudukan lelaki dengan perempuan khususnya dalam adat matrilineal. Persoalan yang dibicarakan juga bersesuaian dengan pendekatan teori iaitu yang berkaitan dengan sosiologi sastera dan kajian gender.

1.8 Metodologi dan Kaedah Kajian

Metodologi merupakan cara kerja yang digunakan untuk memahami suatu objek yang menjadi sasaran ilmu yang digunakan. Metodologi yang dimaksud mengandungi dua pengertian iaitu objek yang terdapat dalam novel sesuai dengan persoalan kajian dan memahami realiti sosial yang berhubung dengan novel yang dikaji. Proses penelitian dapat dilakukan dengan analisis tematik, iaitu penelitian mengenai isi pokok cerita dan kemudian dihubungkan dengan perspektif masyarakat dan kebudayaan yang melatarbelakangi lahirnya karya. Ini bermakna pendekatan yang dilakukan merangkumi cara intrinsik dan ekstrinsik. Walaubagaimanapun, aspek watak dan perwatakan akan diberi tumpuan sesuai dengan matlamat kajian. Watak dan perwatakan yang terdapat dalam novel ini akan dianalisis sesuai dengan pendekatan gender terutama yang berkaitan dengan peranan dan kedudukan setiap watak yang dibincangkan sesuai dengan isi perbincangan.
Kaedah penyelidikan ini menggunakan metode deskriptif iaitu proses penghuraian yang mendalam. Pengkaji akan berusaha meneliti novel-novel yang terlibat dan analisis isi (content analysis) akan dilakukan. Penelitian analisis isi bermaksud suatu usaha untuk menganalisis dokumen untuk diketahui isi dan makna yang terkandung dalam dokumen tersebut. Pelaksanaan metode deskriptif melibatkan secara penyelidikan perpustakaan. Sebagai pedoman dalam penulisan kajian ini, pengkaji akan memfokuskan kepada rujukan yang berkaitan dengan pendekatan kajian dan maklumat yang berkaitan dengan data-data kebudayaan dalam masyarakat Minangkabau.
Pengkaji juga akan meneliti esei-esei atau buku-buku yang membicarakan budaya Minangkabau. Tujuan analisis ini dilakukan untuk mendapatkan konsep-konsep dasar yang bersifat teoritis, juga data-data sekunder yang terdapat dalam pelbagai bahan misalnya dalam buku-buku ilmiah, majalah, surat khabar, latihan ilmiah, tesis, disertasi, laporan penelitian dan internet. Tujuannya untuk memperolehi sudut pandang yang lebih luas mengenai topik kajian.
Penelitian ini dilakukan di beberapa buah perpustakaan yang terkenal seperti Perpustakaan Tun Sri Lanang, Universiti Kebangsaan Malaysia, Pusat Dokumentasi Kebudayaan Melayu di Dewan Bahasa dan Pustaka, Perpustakaan Negeri Kelantan, Pusat Pendokumentasian Adat Minangkabau Padang Panjang, Sumatera Barat. Kesemua bahan-bahan kajian ini akan dimuatkan di dalam bibliografi.

1.9 Organisasi Kajian

Keseluruhan tesis ini dibahagikan seperti berikut:
Pengenalan –.
Latar belakang dan sejarah novel Minangkabau.
Lelaki dan wanita dalam budaya Minangkabau.
Imej lelaki dalam ‘rantau’.
Imej lelaki dalam perkahwinan.
Imej lelaki dan individu
Kesimpulan.

Penulisan di dalam kajian ini mengandungi enam bab. Bab pertama ialah berkaitan persoalan kajian, tujuan kajian, kepentingan kajian, pengertian konsep budaya, pendekatan kajian, tinjauan penulisan, batasan kajian, metodologi kajian dan kaedah kajian dan organisasi kajian
Bab kedua akan membincangkan tentang latarbelakang dan sejarah novel Minangkabau. Seterusnya pengkaji akan mengupas secara mendalam tentang faktor-faktor perkembangan novel oleh penulis Minangkabau sehingga akhir abad ke-20. Dalam bab ini juga akan difokuskan kepada sepintas lalu tentang perkembangan novel pengarang Minangkabau sepanjang abad ke-20.
Bab ketiga akan membincangkan tentang kedudukan lelaki dan wanita dlam budaya Minangkabau. Pengkaji juga akan membahaskan sepintas lalu berkaitan dengan kedudukan dan peranan perempuan Minangkabau dalam adat Matrilineal dan peranan dan kedudukan lelaki dalam adat Matrilineal.
Bab kempat akan membincangkan tentang imej lelaki dalam ‘rantau’. Fokus kajian dalam bahagian ini ialah berkaitan dengan lelaki Minangkabau dan hubungan dengan adat merantau, lelaki Minangkabau dan harga diri, lelaki Minangkabau dan protes adat. Lelaki Minangkabau dan hubungannya dengan modenisasi dan lelaki Minangkabau dan hubungannya dengan semangat persaudaraan.
Bab kelima akan membincangkan tentang imej lelaki dalam perkahwinan. Fokus kajian dalam bahagian ini ialah berkaitan dengan perkahwinan lelaki Minangkabau dengan masyarakatnya sendiri, hubungan perkahwinan dengan etnik lain dan perkahwinan dengan wanita asing.
Bab keenam akan membincangkan imej lelaki dalam aspek individu. Aspek-aspek yang akan diberi tumpuan ialah berkaitan dengan hubungan dengan Tuhan, hubungan diri sendiri dan hubungan dengan masyarakat.
Bab ketujuh ialah bab terakhir dan di dalam bab ini akan dimuatkan tentang rumusan dan kesimpulan di dalam kajian ini. Kesimpulan diambil setelah proses penelitian; deskripsi, analisis dan interpretasi dijalankan.
[1] Muhammad Yamin dilahirkan di Sawahlunto, Sumatera Barat pada 23 Ogos 1903 dan meninggal di Jakarta pada 17 Oktober 1962. Mendapat pendidikan HIS (1918), Sekolah Pertanian Bogor (1923), AMS Yogyakarta (1927) dan tamat Sekolah Hakim Tinggi Jakarta (1932). Pernah menjadi Menteri Kehakiman Republik Indonesia (1951), Menteri Pengajaran, Pendidikan dan Kebudayaan Republik Indonesia (1953 – 1955) dan Ketua Dewan Perancang Nasional (1962). Lihat Pamusuk Eneste, Ikhtisar Kesusastran Indonesia Modern: Untuk SMA dan SMTA yang Sedarjat, Djambatan, Jakarta, 1988, hlm. 14. Lihat. juga Ajip Rosidi, Ikhtisar Sejarah Sastra Indonesia, Binacipta, Bandung, 1986, hlm. 19.
[2] Maman S. Mahayana. 1997. Dia Penyair, Pencetus Bahasa Persatuan dan Menteri P & K, Dia Pahlawan Nasional, Horison; Majalah Sastra, Sisipan Kaki langit; Ogos, hlm, 3.
[3] M. E. Suhendra dan Pien Supinah, Sejarah dan Apresiasi Sastra Indonesia; Pendekatan Teori, Pionir Jaya, Bandung, 1993, hlm. 198.
[4] Roestam Effendi dilahirkan pada 13 Mei 1903 di Padang, Sumatera Barat dan meninggal dunia pada 24 Mei 1979 di Jakarta. Pernah mendapat pendidikan HIS dan HKS Bandung (1924). Pernah menjadi guru di Perguruan Islam Adabiah II di Padang. Pada tahun 1928 – 1947 tinggal di Belanda dan 14 tahun di antaranya (1933 – 1946) menjadi anggota Tweede Kamer (Majlis Rendah). Lihat Lihat Pamusuk Eneste, Ikhtisar Kesusastran Indonesia Modern: Untuk SMA dan SMTA yang Sedarjat, Djambatan, Jakarta, 1988, hlm. 14.
[5] Asrul Sani dilahirkan pada dilahirkan pada 10 Jun 1926 di Rao, Sumatra Barat. Pendidikannya tamat Fakulti Kedoktoran Haiwan Universitas Indonesia (1955). Pernah menjadi Direktur Akademi Teater Nasional Indonesia, Ketua Lembaga Seniman Budayawan Muslimin Indonesia, anggota Sensor Film Indonesia, anggota DPR/MPR, Anggota Dewan Film Indonesia dan Anggota Akademi Jakarta, hlm. 78. Lihat Pamusuk Eneste, Ikhtisar Kesusastran Indonesia Modern: Untuk SMA dan SMTA yang Sedarjat, Djambatan, Jakarta, 1988. Lihat juga A. A. Navis, “Yang Berjalan Sepanjang Jalan” dlm. Benang Merah Minangkabau dalam Karya Sastra Asrul Sani, Gramedia, 1999, hlm. 199-204.

[6] Rene Wellek dan Austin Warren. Theory of Literature, A Harvest Book, New York, 1956, hlm. 29 – 37.
[7] Abrams, A Glossary of Literary Terms. Cet. IV, Holt Rinehart and Winston, New York, 1981, hlm. 178.
[8] Lihat juga Mursal Esten, Menjelang Teori dan Kritik Susastera Indonesia yang Relevan, Angkasa, Bandung, 1988, hlm. 9.
[9] Luxemburg, J.V, Pengantar Ilmu Sastra, Terj. Dick Hartoko, Jakarta, Gramedia, 1989 hlm. 78.
[10] Cudd, Ann E dan Andreasen, Robin O, (pnys), Feminist Theory; A Philosophical Anthology, Blackwell Publishing, Victoria; Australia, 2005, hlm. 115.
[11] Lizbeth Goodman, (pnys), Literature and Gender: Approaching Literature, Routledge, London, hlm. vii.
[12] Momsen, Janet Henshall, (pnys), Gender and Development, Routledge, London, 2004, hlm. 2.
[13] Webster, Roger, Mengkaji Teori Sastera; Suatu Pengantar (Terj. Shamsuddin Jaafar), Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala lumpur, 2004, hlm.123.
[14] Lidia Tanaka, Gender, Language and Culture; A study of Japanese television interview disccourse, Amsterdam, 2004, hlm. 13.
[15] Louse Lamphere, ‘The Domestic Sphere af women and the Public World of men: The Strengths and Limitations of an Anthropological Dichotomy’ dalam Caroline B, Brettell and Carolyn F. Sargent, (pnys), Gender in Cross-Cultural Perspective, Prentice-Hall, New Jersey, 1997, hlm.82.
[16] Lizbeth Goodman, (pnys), Literature and Gender: Approaching Literature, Routledge, London, 1996, hlm. vii.
[17] Lizbeth Goodman, (pnys), Literature and Gender: Approaching Literature, 1996, hlm. vii.
[18] Stolcke, Verena, ‘Is sex to gender as race is to ethnicity?’ dlm., Del Valle, Teresa, (pnys), Gendered Anthropology, Routledge, London, 1993, hlm. 21.
[19] H. Mahmud Yunus, Tafsir Al-Quran Karim; Surah al-Nisa: ayat 34, Percetakan Pakar, Singapura, 1979, hlm. 113
[20] John Frederick Penbrook, The Sociology of The Pre-War Indonesian Novel With Special Emphasis on Sumatran Novelists., Faculty of Arts of the James Cook University 0f North Queensland, Australia, , 1979, hlm ii.
[21] Lukman Ali, Unsur Adat Minangkabau dalam Sastra Indonesia(1922 – 1956), Balai Pustaka, Jakarta, 1994.
[22] Yasril Yazid, Dakwah dan Faham Adat Matrilinial di Minangkabau Menurut Perpektif Hamka; Suatu Analisis terhadap Roman-roman karya Hamka, Tesis Sarjana Pengajian Islam, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, 1999.
[23] S. Amran Tasai, Erlis Nur Mujiningsih dan Juhriah (pny), Citra Manusia Novel Indonesia Modern(1920 – 1960), Departemen Pendidikan dan Kebudayaan, Jakarta, 1997.
[24] Umar Junus. 1984. “Dunia Lelaki dan Perempuan: Permasalahan dalam Novel-novel Indonesia” dlm. Umar Junus (pnyt.), Sastera Melayu Moden: Fakta dan Interptretasi, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 165 - 227.
[25] Sapardi Djoko Damono, Novel Sastra Indonesia Sebelum Perang, Pusat Pembinaan dan Pengembangan Bahasa; Departement Pendidikan dan Kebudayaan, Jakarta, 1979.
[26] Sarji bin Kasim, Novel-novel Melayu dan Indonesia Sebelum Perang: Tinjauan Persoalan Merantau, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, 1999.
[27] Usman Pelly, Urbanisasi dan Adaptasi; Peranan Misi Budaya Minangkabau dan Mandailing, Jakarta, PT Pustaka LP3ES, 1994.
[28] Lukman Ali, Unsur Adat Minangkabau dalam Sastra Indonesia (1922 – 1956), Balai Pustaka, Jakarta, 1994.
[29] A. A. Navis, 1999,”Yang Berjalan Sepanjang Jalan” dalam Sosiologi Minangkabau dalam Novel Indonesia Sebelum Perang , Gramedia, 1999, hlm. 156 - 174
[30] Nafron Hasjim, “Warna Daerah dalam Novel Indonesia Moden” dlm Sastera Melayu dan Tradisi Kosmopolitan; Kertas Kerja Hari Sastera 1985, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1987.
[31] Mursal Estean, “Minangkabau dalam Sastera Melayu Indonesia” dlm Sastera Melayu dan Tradisi Kosmopolitan: Kertas Kerja Hari Sastera 1985, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1987.
[32] Ahmad Kamal Abdullah dan Siti Aisyah Murad, (pny), Citra Wanita dalam Sastera Melayu 1930 – 1990, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2000, hlm. Ix.
[33] Aminuddin, Pengantar Apresiasi Karya Sastra, Sinar Baru, Bandung, 1991, hlm. 80 – 81.
[34] A. Wahab Ali, Imej Manusia dalam Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1989, hlm.22
[35] Contohnya novel Siti Nurbaya telah diulangcetak sebanyak 20 kali, Salah Asohan 19 kali dan Salah Pilih sebanyak 11 kali dan Kalau Tak Untung sebanyak 25 kali. Novel Siti Nurbaya telah difilemkan pada tahun 1991 dan Salah Asohan pernah dijadikan layar perak pada tahun 1972. Lebih lanjut lihat Maman S. Mahayana, Ringkasan dan Ulasan Novel Indonesia Modern, Rasindo, Jakarta, 1992.
[36] Marah Rusli, , Siti Nurbaya, Balai Pustaka, Jakarta. 1994. Cetakan pertama pada tahun 1922.
[37] Nur Sutan Iskandar, Apa Dayaku Karena Aku Perempuan, Jakarta, Cetakan pertama 1922.
[38] Swan Pen, Melati Van Agam, Bintang Hindia, Welterreden, 1923,
[39] Abas Sutan Pamuntjak, Pertemuan, Balai Pustaka, 1922. Cetakan ketiga 1956.
[40] Abdoel Moeis, Salah Asohan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1991. Cetakan pertama pada tahun 1920
[41] N. Sutan Iskandar, Salah Pilih, Balai Pustaka, Jakarta, 1995. Cetakan pertama pada tahun 1928. Dalam kajian ini cetakan yang digunakan ialah yang kelapan belas..
[42] Tulis Sutan Sati Sengsara Membawa Nikmat, Balai Pustaka, 1991 (cetakan pertama 1929)
[43] Hamka, Dijemput Mamaknya, Megabook Store, Jakarta. 1930. Cetakan ketiga.
[44] Nur Sutan Iskandar, Karena Mentua, Balai Pustaka, Jakarta, 1932
[45]Tulis Sutan Sati, Tidak Membalas Guna, Balai Pustaka, Jakarta, 1932.
[46] Tulis Sutan Sati, Memutuskan Pertalian, Balai Pustaka, Jakarta, 1932,
[47] Habib Soetan Maharadja, Nasib, Balai Pustaka, Jakarta, 1932.
[48] Selasih, Kalau Tak Untung, Balai Pustaka, Jakarta, 1933.
[49] Selasih, Pengaruh Keadaan, Balai Pustaka, Jakarta, 1937.
[50].Hamka, Tenggelamnya Kapal Van der Vick,
[51] Hamka, Di Bawah Lindungan Ka’bah, Pustaka Antara, Kuala Lumpur, 1976
[52] Saadah Halim, Pembalasannya, Balai Pustaka, Batavia, 1940.
[53] Ardi Soma, Tjintjin Setempel, Balai Pustaka, Jakarta, 1963. Cetakan pertama tahun 1939.
[54] Hamka, Merantau ke Deli, Pustaka Antara, Kuala Lumpur, 1970.
[55] M. Enri, Karena Anak Kandung, Balai Pustaka, 1940