Blogger Layouts

Thursday, September 15, 2011

Penulis Kelantan dan Sumatera Barat


PENULIS KELANTAN DAN SUMATERA BARAT ;

PERKEMBANGAN NOVEL DAN LATARBELAKANG PENGARANG:

3.0 Pengenalan

Perkembangan di sini meliputi soal penghasilan novel yang dihasilkan oleh penulis Kelantan dan Sumatera Barat, yakni penulisan dan penerbitannya. Novel berasal dari bahasa Itali ‘novella’ yang bererti ‘sebuah barang baru yang kecil’, dan kemudian diertikan sebagai ‘cerita pendek’ dalam bentuk prosa. Sebelum kemunculan novel, tradisi penulisan sebenarnya telah lama wujud terutama bila wilayah di Nusantara ini telah menerima agama Islam sebagai pegangan akidah mereka. Agama Islam telah membawa huruf Arab menerusi Al-Quran dan melalui huruf Arab ini terus berkembang sebagai huruf Jawi. Semenjak huruf Jawi mula diterima dalam masyarakat Melayu di Nusantara, maka bermulalah tradisi penulisan. Sebelum ini perkembangan kesusasteraan berlaku secara lisan atau lebih dikenali sebagai sastera lisan. Pengenalan alat cetak yang dibawa oleh Barat dalam tahun 1800 menyebabkan tradisi penulisan semakin luas diterima dalam masyarakat Melayu Nusantara. Ini bermakna tradisi penulisan semakin diterima dalam masyarakat.

Roman pula bererti cerita yang ditulis dalam bahasa Roman, iaitu bahasa rakyat Perancis di abad pertengahan. Dalam pengertian moden, roman bererti cerita prosa yang melukiskan pengalaman-pengalaman batin dari beberapa orang yang berhubungan satu dengan yang lain dalam suatu keadaan. Secara umumnya roman ialah cerita rekaan berdasarkan kepada kehidupan yang dialami oleh manusia dan kerana itu mempunyai kemungkinan-kemungkinan untuk berlaku atau terjadi. Ahli-ahli sejarah sastera Indonesia misalnya A.Teeuw dan Ajip Rosidi lebih cenderung menggunakan kata roman terutama kepada novel-novel yang diterbitkan sebelum perang. Aning Retnaningsih mendefinisikan bahawa novel yang lahir pada peringkat awal pertumbuhan novel di Indonesia dikatakan sebagai roman moden. Roman moden rancangannya sangat luas. Gambaran lahir dari pelaku-pelaku atau watak-watak dengan pengalaman dan keperibadian pengarang sendiri, disertai dengan pengalaman dan keadan hidup sehari-hari yang bersifat kebetulan dan luar biasa, sampai kepada keperibadian batin yang mempunyai watak yang khas serta dengan dengan keadaan rasa hati dan konflik kejiwaan yang timbul oleh susunan watak itu. Apa yang dipaparkan di dalam moden ialah kehidupan sehari-hari dari manusia yang mendekati kenyatan-kenyatan yang sebenarnya[1]. Mengambil latar belakang dari kejadian-kejadian sekelilingnya yang menarik perhatian pengarang dari satu masa yang tertentu. Sebaliknya cerita dari hikayat dimulai dengan penderitaan-penderitaan terlebih dahulu, kemudian diakhiri dengan pengembaraan pelaku-pelaku yang mengembirakan, sesuai dengan fungsinya iaitu menghibur orang-orang yang sedang menderita. Isi yang terdapat alam hikayat kebanyakannya adalah romantis, berisi bermacam-macam keajaiban, peperangan dan pengembaraan yang tidak berkesudahan dan hidangan yang mewah dan menceritakan tentang kekuatan yang luar biasa pada seseorang watak dan kecantikan puteri-puteri.. Pada tahun 20-an isi yang terdapat dalam roman moden masih terlihat unsur-unsur hikayat sebagaimana yang terdapat dalam kesusasteraan Melayu lama. Sewaktu istilah ‘roman’ digunakan untuk genre novel zaman awal di Indonesia, genre novel zaman awal hanya digunakan dengan istilah ‘buku cerita’ satu istilah yang dipadankan dari frasa Bahasa Inggeris ‘story book’ di Malaysia. Istilah ‘buku cerita’ digantikan dengan istilah’novel’ hanya setelah kata ‘novel’ diperkenalkan oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1958[2]. Walaubagaimanapun, di dalam kajian ini roman dianggap sama dengan novel sama ada novel yang ditulis sebelum perang atau selepas perang[3].

3.1 Perkembangan Novel Penulis Kelantan

Perkembangan novel penulis Kelantan tidak dapat dipisahkan dengan perkembangan novel secara keseluruhannya di Malaysia. Kajian terbaru oleh S. Othman Kelantan mendapati novel terawal di Malaysia ialah Hikayat Panglima Nikosa Mendapat Kesusahan Waktu Perang Sampai Mendapat Kesenangan(Hikayat Panglima Nikosa) oleh Ahmad Syawal Abdul Hamid yang dicetak di Bukit Persingahan, Kucing pada 30 Jun 1876 atau 8 Jamadil Akhir tahun 1293 Hijrah. Novel ini ditulis dalam tulisan Jawi sebanyak 29 halaman. Keseluruhannya menepati ciri-ciri novel moden. Walaupun novel ini pendek tetapi unsur dalaman seperti tema, latar, perwatakan, teknik penceritaan dan sudut pandangan berbeza sama sekali daripada hikayat sebagaimana yang terdapat dalam kesusasteraan Melayu Klasik.[4]

Selepas 48 tahun Hikayat Panglima Nikosa diterbitkan muncul novel saduran, Kecurian Lima Million Ringgit oleh Muhammad Muhammad Said di Kelantan pada 1922. Kemudian novel Syair Cerita Bijaksana oleh Abdul Rahman Daud al-Makki dan Hassan Omar pada 1923. Kecurian Lima Million Ringgit mengisahkan ketajaman pegawai polis memahami segala tipu helah penjahat termasuk pencuri dan penjahat. Cerita ini bermula dengan kepintaran pencuri di Eropah bernama John Sinclair, Jack Hocker sebagai penipu yang pintar di Amerika, Nicholes Carter sebagai watak detektif yang terkenal di Amerika. Penduduk di Kota London dan Amerika bimbang kerana penipuan dan kecurian berleluasa. Tindakan bijak detektif Nicholas Carter dan Mr. Baxter menjadikan kawasan itu aman[5].

Perkembangan novel di Kelantan agak lambat jika dibandingkan dengan kegiatan di Malaysia Timur terutama di Sarawak. Walaubagaimana pun tradisi penulisan terutama dalam bentuk cerpen sudahpun bermula pada 4. 2. 1920 dengan terbitnya cerpen berjudul ‘Kecelakaan Pemalas’ oleh Nor b. Ibrahim (al-Madrasi) dalam majalah Pengasuh. Majalah ini sehingga November 1923 telah menyiarkan sebanyak 25 buah cerpen untuk tatapan orang ramai dan penulis yang paling produktif ialah Ismail bin Sulaiman(Putera Bumi Kelantan)[6]. Pada tahun 1921 Ishak Haji Abdullah memulakan kebiasaan menulis cerpen panjang-panjang dengan cerpennya ‘Cetera Raja Harun Al-Rasyid’ yang diterbitkan dalam majalah Pengasuh. Perkembangan cerpen ini tidak lain daripada penerusan tradisi kesusasteraan lisan yang termashur dengan cerita-cerita panjangnya[7]. Perkembangan ini sangat menarik kerana kegiatan penulisan dalam bidang kesusasteraan sebenarnya tidak ketinggalan jika dibandingkan dengan di Pantai Barat(Sarawak) kerana kegiatan ini dapat dikesan bermula pada tahun 1920. Kajian ini juga menjelaskan bahawa Sarawak telah memulakan terlebih dahulu tradisi penulisan di Malaysia. Namun demikian, kalau dilihat dalam skop yang lebih kecil terutama di Tanah Melayu negeri Kelantan bolehlah dianggap sebagai pelopor kepada pertumbuhan novel yang bercorak saduran dengan penemuan novel yang berjudul Kecurian Lima Million Ringgit(1922). Penemuan novel saduran ini juga telah menindakkan kajian sarjana sebelum ini yang telah meletakkan bahawa novel Hikayat Faridah Hanum merupakan novel yang paling awal ditulis dalam bahasa Melayu pada tahun 1925.

Usaha perintisan dalam bidang penulisan terutama dalam bidang novel diteruskan oleh Haji Ahmad bin Ismail di Kota Bharu, Kelantan. Menurut Sabura Mohd Daud Marican Haji Ahmad telah menerbitkan lapan buah novel saduran antara tahun 1929 – 1937. Walaubagaimanapun beliau hanya menyebut dua buah novel saduran sahaja iaitu Pundi-pundi Biru(1936) dan Kecenderungan Perempuan(1936 – 1937). Novel-novel semuanya diterbitkan dalam majalah ‘al Hikmah’[8]. Tahun 1937 dianggap sebagai tahun yang sangat penting kerana pada tahun inilah novel yang pertama dihasilkan oleh penulis dari Kelantan iaitu Abdul Kadir Adabi dengan novelnya Acuman Mahkota. Seterusnya pada tahun 1938 pengarang yang sama menghasilkan novel yang berjudul Sebelas Rajab. Pada mulanya kedua-dua novel ini dimuat dalam majalah al-Hikmah (1937 – 39). Bagaimanapun, memandangkan kedua novel ini dianggap novel yang sangat penting pada zaman awal pertumbuhan novel di Kelantan dan juga di Tanah Melayu maka novel ini diterbitkan semula oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1980. Seterusnya pada tahun 1939 Abdul Kadir Adabi menghasilkan novelnya yang ketiga yang berjudul Melati Kota Baharu. Novel ini juga dimuat dalam majalah ‘al-Hikmah’ di Kota Bharu. Berdasarkan pernyataan ini dapatlah dibuat kesimpulan bahawa hanya terdapat tiga novel yang ditulis oleh pengarang Kelantan di sekitar tahun 1930 – 1940. Bagaimanapun, novel Melati Kota Bharu dianggap novel yang terpenting pada masa tersebut dan Jabatan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka yang dipengerusikan oleh Haji Hamdan Yahya, Pengarah Jabatan Sastera, telah memilih 42 buah novel yang diterbitkan sepanjang abad ke-20 dan novel Melati Kota Bahru terpilih sebagai salah satu novel yang terbaik pada abad ke-20 iaitu pada dekad 1930-an. Ciri-ciri novel ini dianggap sebagai karya terbaik abad ke-20 ialah karya yang mencerminkan tradisi bangsa, yang mencetus dan mempengaruhi nilai hidup yang positif, karya yang mampu bertahan diuji zaman, karya yang sesuai menjadi acuan dan rujukan kepada generasi kemudian, karya yang digunakan secara meluas dan berterusan oleh masyarakat, pengkaji dan pelajar sastera, karya yang telah mencapai mutu sastera yang tinggi pada zamannya[9].

Pertumbuhan novel di Malaysia diteruskan oleh penulis yang menetap di Pulau Pinang terutama Syed Syeikh Al Hadi dengan novel saduran yang pertama berjudul Hikayat Faridah Hanum pada tahun 1925 dan Ahmad bin Muhammad Rasyid Talu dengan novelnya berjudul Iakah Salmah? dan Kawan Benar pada tahun 1927. Yahya Ismail menganggap walaupun Hikayat Faridah Hanum merupakan novel yang pertama dikenal oleh masyarakat Melayu, namun dengan latar belakang negeri Mesir dan wataknya terdiri daripada golongan bangsawan, maka karya ini tidak dapat disebut ‘asli’[10]. Novel Kawan Benar dianggap novel yang penting kerana novel ini mempunyai latarbelakang, susana dan watak di Tanah Melayu. Novel inilah yang dianggap oleh Yahya Ismail sebagai pelopor dalam penulisan novel yang berlatarbelakang Tanah Melayu.[11] Pada tahun 1925 juga telah diterbitkan sebuah novel lain berjudul Kelebihan Bersahabat tetapi sayangnya nama pengarang tidak dicatatkan. Pada tahun 1927 Ahmad Kotot menghasilkan novel dengan judul Hikayat Percintaan Kasih Kemudaan pada tahun 1927. Zulkarnain Yaakub dengan novelnya yang berjudul Hikayat Perjumpaan Asyik dan Hikayat Khalik dan Malik pada tahun 1927. Pada tahun 1927 Muhammad Yusuf Ahmad menghasilkan novel dengan judul Mencari Isteri dan novel ini dimuatkan dalam Majalah Guru secara bersiri. Walaubagaimanapun, tradisi penulisan novel pada zaman awal perkembangan terutama dalam tahun 1920 dan 1930 dimulakan oleh penulis dari berbagai negeri termasuk dari Sarawak. Penulisan novel di Sarawak diteruskankan oleh Ahmad Rakawi Yusuf yang berjudul Melati Sarawak pada tahun 1932[12]. Berdasarkan kajian sehingga kini, menunjukkan pada tahun 1920 – 1930 pengarang Kelantan yang menulis dalam bidang novel yang berlatarbelakangkan latar tempatan belum ditemui.

Perkembangan novel penulis Kelantan selepas Perang Dunia II terutama sekitar tahun 1945 – 1960 kurang memberangsangkan kerana di sekitar tahun tersebut tidak ada novel yang diterbitkan. Bagaimanapun pada tahun 1962 S. Othaman Kelantan muncul sebagai pengarang novel dengan terbit novelnya yang pertama yang berjudul Pelangi pada tahun 1962. Novel ini mendapat hadiah penghargaan dalam Peraduan Mengarang Novel anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1962[13]. Seterusnya pada tahun 1966, 1967, 1969 S. Othman Kelantan menghasilkan novel yang berjudul Pengertian, Pertentangan, dan Angin Timur Laut. Kesemua novel-novel ini diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan pustaka, Kula Lumpur.

Tahun 1970 – 1979 merupakan dekad yang penting dalam perkembangan novel-novel penulis Kelantan. Pada tahun 1977 muncul seorang pengarang wanita iaitu Fatimah Busu dengan novelnya yang berjudul Ombak Bukan Biru. Dengan munculnya novel ini, maka dapatlah dianggap Fatimah Busu merupakan pengarang novel pertama dari golongan perempuan di Kelantan. Sebelum itu pada tahun 1973 S. Othman Kelantan menghasilkan novel yang berjudul Juara dan Perjudian. Kedua-dua novel ini juga diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Dekad tahun 1980 – 1989 menyaksikan terdapat tiga orang anak Kelantan yang bergiat cergas dalam penulisan novel iaitu S. Othman Kelantan, Fatimah Busu dan Norhisham Mustaffa. Pada tahun 1980 S. Othaman Kelantan menghasilkan novel yang berjudul Perwira manakala Fatimah Busu menghasilkan novel berjudul Kepulangan. Selepas tahun 1980 bidang penulisan novel terus didominasi oleh Norhisham Mustaffa dengan novelnya yang terbit pada tahun 1982 dan 1984 iaitu Selubung Senja, dan Gerhana di Langit Pagi. Pada tahun 1985 novel beliau ialah Pengorbanan Suci dan Biarkan Ombak Badai. Pada tahun 1988 novel beliau termasuklah Biar Keruh Air Di Hulu, Kasih Orang Terbuang, Menggapai Pelangi dan Secalit Warna antara Rentak diterbitkan pada tahun 1989. Pada tahun 1989 S. Othman Kelantan menghasilkan novel dengan judul Ruang Perjalanan.

Dekad 1990 – 1999 S. Othman Kelantan dan Norhisham Mustaffa terus giat menghasilkan novel. S. Othman Kelantan menghasilkan novelnya pada tahun 1990, 1991, dan 1997. Judul-judul yang dihasilkan oleh beliau ialah Wajah Seorang Wanita, Ustaz, dan Nagogogho Astana. Norhisham Mustaffa menghasilkan tiga buah novel pada tahun 1990 iaiatu Duri-duri di Tangkai Hati, Permata di Lembah Hati dan Persingahan. Pada tahun 1991 Norhisham menghasilkan satu buah novel dengan judul Renda Sutera. Seterusnya pada tahun 1992, beliau menghasilkan empat buah novel dengan judul Merentas Gerhana, Angin Permatang, Sepanjang Ngilu Membelit dan Menguak Kabus. Pada tahun 1997 dan 1999 dua buah novel yang dihasilkan iaitu Leraian Novella dan Sayangku Aini Sofea. Pada tahun 1998 Awang Abdullah menghasilkan novel dengan judul Anak Kampung.

Abad ke 21 menyaksikan seorang anak muda dari Kelantan yang berpotensi sebagai pengarang yang berbakat besar iaitu Mohd. Nazmi Yaakub. Beliau dilahirkan 10 Febuari 1974 di kota Baharu, Kelantan. Novel yang dihasilkannya ialah Lambaian Huda yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2001. Pada tahun 2003 Mohd. Nazmi Yaakub terus menghasilkan novel dengan judul Merentas Sungai Sejarah. Karya ini telah memenangi Hadiah Ketiga Peraduan Menulis Novel Alaf Barau 2001 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka. S. Othman Kelantan menghasilkan novel Orang Kota Bharu pada tahun 2003. Novel ini merupakan novel pertama dari S. Othman Kelantan di bawah riayah Dewan Bahasa dan Pustaka iaitu dalam bentuk sumbangan Geran Bantuan Penulis. Pada tahun 2003 juga Fatimah Busu terus giat menghasilkan novel dengan judul The Missing Piece dan Salam Maria.

3.2 Perkembangan Novel Penulis Sumatera Barat

Perkembangan novel penulis Sumatera Barat tidak dapat dipisahkan dengan perkembangan novel secara keseluruhannya di Indonesia. Pada peringkat awal pertumbuhan novel di Indonesia sebenarnya sudah dimulai bukan sahaja dari penulis Sumatera Barat tetapi juga meliputi penulis dari pulau Sumatera yang lainnya terutama dari penulis Mandailing, Aceh, Sumatera Utara, Palembang, Pulau Jawa, Sulawesi dan lain-lain. Sebelum novel Azab dan Sengsara(1920) yang merupakan novel pertama Balai Pustaka, didapati telah terbit beberapa buah novel lain. Novel-novel ini berlatar-belakangkan daerah-daerah di sekitar Pulau Jawa. Karya-karya tersebut termasuklah karya Raden Mas Djokomono Tirto Aghi Soerjo yang berjudul Cerita Nyai Ratna(1909), Membeli Bini Orang(1909) dan Busono(1912). Seterusnya karya Mas Marco Kartodikromo ialah Mata Gelap dan Student Hijau. Gadis Bali Ni Rawit Penjual Orang oleh Panji Tisna oleh Panji Tisna dan Hikayat Siti Mariah ditulis oleh H. Moekti. Fatimah Busu menganggap Hikayat Siti Mariah(1910-1911) merupakan novel terawal Indonesia berasaskan kepada penampilan watak-watak yang terdiri dari bangsa penjajah dan watak peribumi. Penampilan watak ini memperlihatkan realiti kehidupan di Indonesia di bawah penjajahan Belanda. Latar yang terdapat alam novel ini juga adalah latar yang sebenarnya terutama pemamparan kilang gula dan ladang tebu. Novel ini juga disampaikan di dalam bahasa Melayu loghat Jawa yang disesuaikan dengan latar kehidupan dan suasana di Pulau Jawa[14].

Walaubagaimanapun, ahli sejarah sastera Indonesia sudah sependapat bahawa sebelum Perang Dunia Kedua, penulis dari Sumatera Barat merupakan penulis yang paling dominan menghasilkan novel-novel terutama dari penerbit Balai Pustaka. Umar Junus menganggap hasil-hasil kesusasteraan khususnya novel yang diterbitkan oleh Balai Pustaka pada peringkat awalnya dianggap telah memulai satu sastera moden yang berbeza dengan sastera tradisional. Perkembangan ini dianggap sebagai masa baru dalam perkembangan kesusasteraa Melayu di Indonesia[15]. Angkatan Balai Pustaka juga dikenali sebagai angkatan 20 kerana novel pertama yang diterbitkan telah dapat memberi corak kesusasteraan Indonesia moden. Novel tersebut berjudul Azab dan Sengsara oleh Merari Siregar yang ditulis sekitar tahun 1920. A. Teeuw pula menganggap tahun-tahun 20-an dikenali sebagai zaman Balai Pustaka sebagai “masa kecilnya kesusasteraan Indonesia yang moden”. Annas Haji Ahmad pula menganggap novel-novel yang dihasilkan sebelum perang sebagai zaman pembaharuan di Indonesia dan tanah Melayu. Zaman ini dikenali sebagai zaman kesedaran, zaman, zaman yang membawa jiwa dan corak baharu ke dalam sastera bentuk prosa dan puisi.

Berdasarkan kepada corak perkembangan penulisan novel di Indonesia sebelum perang, maka pada peringkat awal perkembangannya dikenali sebagai period kelahiran. Di dalam period kelahiran ini dapat dibahagikan kepada tiga bahagian iaiatu 1900 – 1933, period 1933 – 1942 dan period 1942 – 1945. Ketiga-tiga period ini mempunyai ciri-ciri yang khas di dalam penulisan novel. Berdasarkan kepada pembahagian ini maka period sebelum Perang Dunia Kedua ialah period 1900 – 1933 dan period 1933 – 1942. Berdasarkan kepada huraian di atas menunjukkan bahawa terdapat berbagai pengertian dan pandangan tentang novel-novel yang dihasilkan pada peringkat pertumbuhannya. Berdasarkan kepada kajian sarjana yang lampau, belum lagi ditemui secara khusus tentang perkembangan novel-novel dari pengarang Sumatera Barat sama ada sebelum Perang Dunia Kedua atau selepas Perang Dunia Kedua. Kajian yang ada sebelum ini di dapati pengarang Sumatera Barat digabungkan bersama-sama dengan pengarang dari daerah lain di seluruh pelusuk Indonesia. Dengan hal yang demikian, peranan secara khusus tentang penglibatan pengarang dari Sumatera Barat khususnya dalam perkembangan novel didapati agak kabur. Untuk melihat perkembangan novel dari aspek kewilayahan ini, beberapa pengarang yang terkenal pada tahun 30an terutama Sutan Takdir Alisyahbana dan Armijn Pane tidak akan dibincangkan. Sutan Takdir Alisyahbana dengan novelnya yang berjudul Layar Terkembang dan Armijn Pane dengan novel Belenggu. Hal ini disebabkan Sutan Takdir dilahirkan di Natal pada tahun 1908 dan Armijn Pane dilahirkan di Muarasipongi. Menurut Umar Junus, Sutan Takdir Alisyahbana dilahirkan dan dibesarkan di Palembang[16]. Kedua-dua daerah ini tidak termasuk dalam wilayah Sumatera Barat dan mereka bukan orang Melayu Minangkabau. Dalam kajian ini pengkaji akan cuba membuat suatu perkembangan novel yang ditulis oleh penulis Sumatera Barat bermula pada tahun 1920 sehingga tahun 2000. Novel-novel yang dihasilkan oleh penulis Sumatera Barat dapat dikategorikan kepada dua bahagian iaitu novel yang membicarakan tentang masyarakat Melayu Minangkabau dan novel yang tidak membicarakan masyarakat Minangkabau atau membicarakan masyarakat Indonesia secara keseluruhannya. Secara pastinya pengarang-pengarang dari Sumatera Barat terus membicarakan masyarakat mereka bukan sahaja pada era sebelum perang tetapi persoalan ini terus berlanjutan sehingga tahun 2000.

Pada tahun 1920- 1929 tercatat pengarang-pengarang novel dari Sumatera Barat. Nama-nama tersebut termasuklah Marah Rusli, Abdoel Moeis, Nur Sutan Iskandar, Adinegoro dan Tulis Sutan Sati. Novel yang pertama dari pengarang Sumatera Barat ialah Sitti Nurbaya yang dihasilkan oleh Marah Rusli pada tahun 1922. Pada tahun yang sama Nur Sutan Iskandar menghasilkan novelnya yang pertama berjudul Apa Dajaku karena Aku Perempuan dengan menggunakan nama samaran iaitu Nursinah Iskandar. Novel ini diterbitkan oleh penerbit swasta. Pada tahun 1924 Nur Sutan Iskandar menghasilkan dua buah novel yang berjudul Apa Dayaku karena Aku Perempuan, dan Cinta yang membawa Maut bersama Abdul Ager. Pada tahun ini juga Swan Pen atau nama sebenarnya Prada Harahap menghasilkan novel yang berjudul Melati van Agam. Pada tahun 1926 Kedjora menerbitkan sebuah novel yang bertajuk Karam dalam Gelombang. Novel Pertemoen hasil karya Abas Dt. Pamoentjak diterbitkan pada tahun 1927 dan Adinegoro menghasilkan novel yang berjudul Darah Muda. Seterusnya pada tahun 1928 Nur Sutan Iskandar menghasilkan novel dan diberi judul Salah Pilih. Pada tahun yang sama Adinegoro menghasilkan novel yang berjudu Asmara Jaya. Pada tahun 1929 terbitnya novel hasil karya Abdoel Moeis dengan judul Salah Asuhan. Tak Disangka dan Sengasara Membawa Nikmat karya Tulis Sutan Sati juga diterbitkan pada tahun 1929. Novel yang penting dalam dekad ini dan sering diperdebatkan sehingga hari ini ialah Sitti Nurbaya, Salah Pilih, Salah Asuhan dan Sengasara Membawa Nikmat.

Pada tahun 1930 – 1939 tercatat pengarang-pengarang novel dari Sumatera Barat. Nama-nama tersebut termasuklah Habib Sutan Maharadja, Selasih dan Hamka. Pada tahun 1931 Abdoel Moeis bersama Mamed Sastrahadiprawira menghasilkan novel yang berjudul Pengeran Kornel. Habib Sutan Mahahradja menghasilkan novel pada tahun 1932 dengan judul Nasib. Pada tahun yang sama novel-novel yang diterbitkan berjudul Memutuskan Pertalian, Tidak Membalas Guna, dan Tak Disangka oleh Tulis Sutan Sati dan novel berjudul Pertemuan Jodoh oleh Abdul Muis. Pada tahun 1932 Nur Sutan Iskandar menghasilkan novel yang berjudul Karena Mentua. Tulis Sutan Sati menghasilkan novel yang berjudul Memutuskan Pertalian dan Tidak Membalas Guna pada tahun 1932. Pada tahun ini juga Aman Dt. Madjoindo bersama Hardjosumarto menghasilkan novel yang berjudul Rusmala Dewi dan judul tambahan novel ini ialah Pertemuan Djawa dan Andalas. Aman Dt. Madjoindo yang dilahirkan di Solok pada tahun 1896 menghasilkan novel yang berjudul Menebus Dosa juga pada tahun yang sama. Pada tahun 1933 dianggap tahun yang penting dalam perkembangan novel-novel pengarang Sumatera Barat dan Indonesia pada keseluruhannya kerana Selasih muncul sebagai pengarang perempuan yang pertama dengan novelnya yang berjudul Kalau Tak Untung. Pada tahun yang sama Nur Sutan Iskandar menghasilkan novel yang berjudul Tuba Dibalas dengan Susu dan beliau bersama M. Dahlan menghasilkan novel yang berjudul Dewi Rimba. Pada tahun 1934 Nur Sutan Iskandar menghasilkan novel Hulubalang Raja dan bersama S. Hardjosomarto menghasilkan novel yang berjudul Rusmala Dewi dan Sebabnya Rafi’ah Tersesat. Novel Hulu Balang Raja merupakan sebuah roman sejarah yang dikerjakan berdasarkan sebuah disertasi H. Kroeskamp De Westkust en Minangkabau (1665 – 1668) (Pantai Barat dan Minangkabau, 1665 – 1668 terbit 1931).[17] Aman Dt. Madjoindo menghasilkan novel yang berjudul Si Cebol Rindukan Bulan dan Sampaikan Salamku Kepadanya. Pada tahun 1935 Nur Sutan Iskandar menghasilkan karya yang berjudul Katak Hendak Djadi Lembu.. Pada tahun 1935 Aman Dt. Madjoindo menghasilkan novel yang berjudul Menebus Dosa dan Sampaikan Salamku Padanya. Pada tahun ini juga Nur Sutan Iskandar menghasilkan novel yang berjudul Neraka Dunia. Selasih menghasilkan novel keduanya yang berjudul Pengaruh Keadaan juga pada tahun 1935. Pada tahun 1937 Nur Sutan Iskandar menghasilkan yang berjudul Naraka Dunia. Hamka dianggap pengarang yang penting di luar Balai Pustaka. Sungguhpun pengarang ini di luar dari Balai Pustaka tetapi persoalan yang diungkapkan melalui novel-novelnya masih lagi berlatarkan tentang kehidupan masyarakat Minangkabau. Pada tahun 1938 beliau telah menghasilkan novelnya yang pertama dengan judul Di Bawah Lindungan Kaabah, Tenggelamnya Kapal van der Wijck dan Karena Fitnah. dan Dijemput Mamaknya. Pada tahun 1939, Ardi Soma menghasilkan novel yang berjudul Tjintjin Setempel. Pada tahun yang sama novel yang penting dikarang oleh Hamka iaitu Merantau ke Deli, Tuan Direktur, dan Cinta dari Deli. Walaubagaimanapun novel yang dianggap penting dalam dekad ini ialah novel yang berjudul Kalau Tak Untung dan Di Bawah Lindungan Kaabah. Dalam dekad ini ada sebahagian novel-novel yang diterbitkan bukan lagi membicarakan masyarakat Melayu Minangkabau tetapi juga sudah menunjukkan kepelbagaian dalam masyarakat Inonesia walaupun penulisnya berasal dari Sumatera Barat. Novel-novel tersebut termasuklah Pengeran Kornel, Tuba di Balas dengan Susu, Dewi Rimba dan Rusmala Dewi.

Pada tahun 1940 – 1949 pengarang yang terkenal dalam dekad ini ialah M. Enri, Nur Sutan Iskandar, dan Hamka. Pada tahun 1940 M. Enri menghasilkan novel yang bertajuk Karena Anak Kandung. Pengarang yang lain ialah Saadah Alim dengan novelnya yang berjudul Pembalasannya. Nur Sutan Iskandar dengan novelnya yang berjudul Cinta dan Kewajipan karya bersama dengan L. Wirata dihasilkan pada tahun 1941. Keadilan Ilahi karya Hamka dihasilkan pada tahun 1941. Cinta Tanah Air yang dihasilkan pada tahun 1945 dan pada tahun 1946 beliau juga menghasilkan novel yang berjudul Moetiara, Janggir Bali dan Cobaan. Pada tahun yang sama Bagindo Saleh menghasilkan novel yang berjudul Adat Muda Menanggung Rindu. Dalam dekad ini pengarang dari Sumatera Barat didapati semakin kurang menghasilkan karya mereka. Hal ini disebabkan berlakunya Perang Dunia Kedua di Asia Tenggara sehingga menganggu kepada proses penerbitan novel. Walaubagaimanapun, novel yang dianggap penting dalam dekad ini ialah Cinta Tanah Air. Novel-novel yang tidak memfokuskan masyarakat Melayu Minangkabau ialah Cinta dan Kewajipan, dan Janggir Bali.

Pada tahun 1950 – 1959 pengarang dari Sumatera Barat ialah Idrus dan Marah Rusli, Abdul Moeis dan A. A. Navis. Novel yang dihasilkan oleh Idrus berjudul Aki yang diterbitkan pada tahun 1950. Pada tahun yang sama Abdul Moeis dan Hamka menghasilkan novel yang berjudul Surapati dan Menunggu Beduk Berbunyi. Pada tahun 1951 Hamka dan Abdul Moeis menghasilkan novel yang berjudul Kenang-kenangan Hidup dan Hendak Berbakti. Pada tahun 1952 Nur Sutan Iskandar menghasilkan novel dengan judul ujian Masa dan. Pada tahun 1953 dan 1956 Marah Rusli menghasilkan novel yang berjudul La Hami dan Anak dan Kemenakan. Abdoel Moeis pula menghasilkan novel yang berjudul Robert Anak Surapati pada tahun 1953. Pada tahun 1957 seorang pengarang baru mula dikenali iaitu A. A. Navis dengan novelnya yang berjudul Pak Kantor yang diterbitkan dalam akhbar ‘Harian Nyata’, Bukittinggi. Dalam dekad ini novel Aki dan Anak dan Kemenakan dianggap novel yang mempunyai kedudukan yang tinggi. Dalam dekad ini novel yang tidak membicarakan masyarakat Minangkabau ialah Surapati dan Robert Anak Surapati.

Selepas kemerdekaan Indonesia, Balai Pustaka dikembalikan ke tangan pemerintah Republik Indonesia. Sehingga tahun 1953 Balai Pustaka dapat melaksanakan fungsinya dengan baik namun demikian selepas itu badan ini kurang menerbitkan buku sastera. Hal ini mungkin disebabkan statusnya yang tidak jelas dan peranannya sering berubah-ubah. Kesanya penerbitan hasil sastera pun mengalami kemerostan. Penerbit-penerbit yang lain seperti Pembangunan, Pustaka Rakyat dan lain-lain tidak apat menggantikan fungsi dan peranan Balai Pustaka[18]. Hal ini mungkin menjadi penyebab kurangnya penglibatan pengarang-pengarang Sumatera Barat selepas novel Anak dan Kemenakan(1953) karya Abdoel Moeis.

Pada tahun 1960 - 1969 pengarang baru mula muncul mengantikan pengarang-pengarang dari zaman 20an dan 30an. Pengarang-pengarang tersebut termasuklah Soewardi Idris, A. A Navis, dan Dt. B. Jacub. Pada tahun 1964 Soewardi Idris menghasilkan novel dengan judul Di Puncak Bukit Talang dan A. A Navis dengan novel yang berjudul Kemarau. Novel ini asalnya diterbitkan secara bersiri dalam akhbar harian res Publika dan dicetak buat pertama kalinya pada tahun 1967 oleh NV Nusantara, Bukittinggi. Pada tahun 1965 Idrus menghasilkan novel dengan judul Hati Nurani Manusia. Pada tahun 1967 Dt. B. Jacub menghasilkan novel dengan judul Panggilan Tanah Kelahiran. Pada tahun itu juga novel Kembali dari Alam Barzakh hasil karya A. A Navis diterbitkan sebagai cerita bersambung dalam akhbar harian Aman Makmur, Padang, Sumatera Barat. Pada tahun 1969 A. A Navis juga menerbitkan novel sebagai cerita bersambung dalam akhbar Haluan, Padang, Sumatera Barat. Pada dekad ini nama A. A. Navis mula dikenali sebagai pengarang dari Sumatera Barat yang telah mewarnai dunia kesusasteraan bukan sahaja di Sumatera Barat tetapi juga di seluruh Indonesia. Novel Kembali dari Alam Barzakh tidak membicarakan masyarakat Melayu Minangkabau tetapi masyarakat Indonesia pada keseluruhannya.

Pada tahun 1970 – 1979 selain nama yang sudah sedia ada, nama-nama baru penulis dari Sumatera Barat termasuklah Wildan Yatim, Chairul Harun dan Ismail Marahimin. Pada tahun 1970 A. A. Navis menghasilkan novel Saraswati: Si Gadis dalam Sunyi dan seterusnya pada tahun 1971 beliau menghasilkan cerita bersambung dalam akhbar Harian Semangat pada tahun 1971 dengan judul Di Sepanjang Pantai Purus. Pada tahun 1975 A. A. Navis juga menghasilkan cerita bersambung dalam akhbar Kompas pada tahun 1975 dengan judul Gerhana. Idrus pada tahun 1973 masih mengekalkan nama hikayat dalam novelnya pada tahun 1973 dengan judul Hikayat Puteri Penelope dan novel ini tidak membicarakan masyarakat Minangkabau. Pada tahun 1974 Wildan Yatim menghasilkan novel dengan judul Pergolakan. Pada tahun 1979 terdapat dua orang pengarang dari Sumatera Barat yang mula mendapat nama dengan novelnya yang bertajuk Warisan dan Dan Perang pun Usai iaitu Chairul Harun dan Ismail Marahimin.

Pada tahun 1980 - 2000 terdapat beberapa novel dari pengarang Sumatera Barat misalnya novel yang berjudul Bako dan Dendang yang dihasilkan pada tahun 1983 dan 1988. Pada tahun 1994 A. A Navis terus menghasilkan novel secara giat dengan judul Di Lintasan Mendung, Gerhana, Dokter dan Juita.

3.3 Kesimpulan

Berdasarkan kepada perkembangan novel di Malaysia dan juga di Indonesia

dapatlah dibuat satu rumusan bahawa novel yang terawal berdasarkan kajian terbaru oleh S. Othman Kelantan ialah Hikayat Panglima Nikosa yang ditulis oleh Ahmad Syawal Abdul Hamid pada tahun 1876 di Sarawak. Di Indonesia kajian terbaru dari Fatimah Busu membuktikan bahawa novel yang terawal ditulis ialah pada tahun 1910/11 oleh S. Moekhti iaitu Hikayat Siti Mariah dari pengarang Pulau Jawa.. Ini menunjukkan bahawa Malaysia yang terlebih dahulu mempelopori bidang penulisan novel berbanding Indonesia. Novel saduran yang terawal di tulis oleh orang Melayu Kelantan pada tahun 1922. Walaubagaimanapun novel yang menggunakan watak, latar dan peristiwa tempatan ialah pada tahun 1937 dengan terbitnya novel Acuman Mahkota. Novel yang pertama ditulis oleh pengarang Sumatera Barat ialah Sitti Nurbaya pada tahun 1922. Walaupun novel Malaysia lebih mendahului berbanding dengan novel di Indonesia, pengarang-pengarang dari Indonesia terutama dari Sumatera Barat telah dapat menghasilkan novel dengan lebih banyak dan lebih berkualiti terutama dengan penglibatan daripada pihak penerbit Balai Pustaka. Penglibatan penulis dari pengarang Sumatera Barat dapat dilihat lebih progresif terutama zaman sebelum Perang Dunia Kedua baik dari segi kuantiti novel, pengarang dan mutu karya. Walaubagaimanapun, selepas Indonesia merdeka bilangan pengarang dari Sumatera Barat didapati semakin berkurangan dan peranan ini diteruskan oleh warga Indonesia yang lain. Sebaliknya penulis Kelantan, bilangan mereka semakin bertambah dan karya yang dihasilkan juga semakin meningkat.

3.4 Latarbelakang Penulis Kelantan

3.4.1 Abdul Kadir Adabi

Abdul Kadir Adabi merupakan seorang intelek Melayu yang aktif dan berfikiran bernas. Pada tahun 1921 – 1944, beliau menghasilkan 110 rencana yang meliputi kritikan masyarakat, politik, ekonomi, pendidikan, agama, dan falsafah. Rencananya banyak menimbulkan konterversi dan mendapat perhatian yang mendalam dari golongan establishement Kelantan.

Sebagai seorang nasionalis, Abdul Kadir Adabi banyak menulis rencana yang mengkritik kepincangan masyarakat Melayu Kelantan pada tahun 1920 – 1930. Rencannya bersirinya dalam majalah Pengasuh yang berjudul “Nasib” mengkritik sikap masyarakat Melayu yang malas berusaha. Sikap yang ditunjukkan oleh masyarakat Melayu Kelantan bertentangan dengan ajaran Islam.[19] Makalahnya yang bertajuk “Perjudian dan Persundalan” membuktikan bahawa beliau seorang yang sangat berani mengungkapkan persoalan yang dianggap sensitif pada zamannya kerana melibatkan golongan bangsawan[20].

Beliau turut menyumbangkan idea bernasnya dalam bidang pendidikan dan ekonomi. Dalam bidang pendidikan, beliau mencadangkan supaya sebuah kolej atau universiti di Tanah Melayu. Dalam bidang ekonomi, beliau mencadangkan supaya ditubuhkan sebuah bank kebangsaan untuk membantu mengerakkan ekonomi bangsa Melayu dengan lebih cergas lagi[21].

Abdul Kadir Adabi juga turut memperjuangkan emansipasi wanita di Tanah Melayu dan pergolakkan politik dunia pada tahun 1930an. Beliau juga turut membincangkan dengan pergolakkan politik luar Negara. Beliau menulis tentang masalah kerajaan Turki yang memisahkan agama dengan politik pada tahun 1930-an. Beliau juga turut menulis tentang orang Cina Hoakian di Indonesia yang menghina umat Islam dan masalah penjajahan Perancis di Afrika[22]. Novel yang pernah ditulisnya ialah Acuman Mahkota(1937), Sebelas Rajab(1938) dan Melati Kota Bharu(1939). Novel Acuman Mahkota dan Sebelas Rajab asalnya diterbitkan secara bersiri dan dimuatkan dalam majalah al-Hikmah bermula pada tahun 1937 – 1939. Novel Melati Kota Bharu juga diterbitkan secara bersiri dalam majalah al-Hikmah pada tahun 1939 – 1940. Bagaimanapun, kedua-dua ini diterbitkan semula oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dengan diselenggarakan oleh S. Othman Kelantan 1980 dan 1989.

3.4.2 Syed Othman bin Syed Omar (13 November 1938 - )

Nama sebenarnya ialah Syed Othman bin Syed Omar manakala nama samarannya ialah S. Othman Kelantan. Beliau dilahirkan pada 13 November 1938, di Tebing Tinggi, Kemumim, Kota Bharu, Kelantan. Beliau memperolehi ijazah Sarjana Muda Sastera pada tahun 1979 dan pada tahun 1983 beliau mendapat ijazah Sarjana Sastera daripada Universiti Sains Malaysia(USM). Pada tahun 1994/95 beliau memperoleh Ph.D dari Universiti Kebangsaan Malaysia.

Beliau pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Sains Malaysia selama dua tahun setelah beliau lulus ijazah sarjana dari universiti tersebut. Pada tahun 1983, beliau berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau bersara pada tahun 1997 dan seterusnya berkhidmat sebagai pensyarah kontrak di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya (1997-1999).

S. Othman Kelantan mula aktif secara langsung dalam dunia penulisan pada tahun 1954 dan karya awalnya tersiar dalam Utusan Kanak-kanak dan Tunas. Kesungguhannya sebagai penulis novel mula menyerlah dengan novel Pelangi mendapat hadiah penghargaan dalam peraduan Mengarang Novel anjuran DBP pada tahun 1962[23]. Beliau menulis hampir kesemua genre iaitu cerpen, novel, puisi, dan esei/kritikan. Cepen-cerpennya yang terkenal ialah ‘Pahlawan Lembu’, Catatan Seorang Senator’, ‘Hobi’ dan ‘Dedalu’. Cerpennya ‘Pahlawan Lembu’ telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris(1973), bahasa Sinhalis(1978) dan bahasa Perancis(1991). Cerpennya ‘Catatan Seorang Senator’ diterjemahkan ke dalam bahasa Rusia(1973). Cerpen ‘Hobi’ diterjemahkan ke dalam bahasa Cina, manakala cerpen ‘Dedalu’ diterjemahkan ke dalam bahasa Thai. Novelnya Wajah Seorang Wanita diterjemahkan ke dalam bahasa Jepun, Inggeris, Perancis, Rusia, Cina, dan Sinhalese. Novelnya Juara telah berjaya diadaptasi dan difilemkan untuk pasaran di luar negara. Novel Angin Timur Laut diterjemahkan ke dalam bahasa Perancis pada tahun 1982.[24]

Novel-novel yang dihasilkan ialah Pengertian(1966), Pertentangan(1967), Angin Timur Laut(1969), Perjudian(1973), Juara(1973), Perwira(1980), Ruang Perjalanan(1989), Wajah Seorang Wanita(1990), Ustaz(1991), Nagogho Astana(1997) dan Orang Kota Bharu(2003). Menurut Wan Hashim Wan Teh karya-karya S. Othman Kelantan sebagai seorang cerpenis dan novelis yang memotret wajah-wajah Melayu dengan pelbagai bentuk serta paras rupanya. Ilham serta kreativitinya itu sebahagian besar ditimba daripada masyarakat Melayu yang amat dekat dengan kehidupannya di desa mahupun di ibu kota[25].

Beliau pernah menerima hadiah seperti Hadiah Peraduan Mengarang Novel DBP 1962, Pelangi(sagu hati), Hadiah Sastera Malaysia 1972, 1973, 1974 (cerpen) dan 1989. Pemenang SEA Write Award(1990) dari Malaysia, Pingat Bakti(PB) oleh DYMM Sultan Kelantan(1973), Pingat Ahli Mangku Negara(A.M.N) oleh DYMM Yang di-Pertuan Agong(1974), dan Anugerah Tokoh Sastera Negeri Kelantan(2003). Pada 12 Januari 2004, beliau dimartabatkan sebagai penerima Anugerah Sastera Negara ke-9, tahun 2003.[26]

Beliau juga aktif dalam kegiatan persatuan misalnya menjadi Ketua Satu Persatuan Penulis Kelantan(PPK) (1973 – 1976), Persatuan Penulis Nasional, Penasihat PPK, dan Penasihat Persatuan Seniman dan Penulis Kelantan(Puspa).

3.4.3 Fatimah binti Busu ( Januari 1943 - )

Beliau dilahirkan pada bulan Januari 1943 di Kampung Pasir Pekan, Kota Bharu, Kelantan. Ibunya bernama Hjh. Khadijah bt. Hj, Ahmad dan meninggal dunia pada 21 Oktober, 1989 sewaktu beliau sedang menyiapkan pengajian di peringkat PhD di Universiti Sains Malaysia. Pada tahun 1956, beliau berada dalam darjah Khas di Jelawat, Bachok, Kelantan. Darjah Khas adalah darjah yang khusus untuk anak-anak yang cemerlang dalam peperiksaan Darjah Enam bagi seluruh Kelantan pada masa itu[27].

Beliau menyambung pengajiannya dengan mengikuti kursus perguruan di Maktab Perguruan Perempuan Melayu, Durian Daun untuk beberapa tahun. Beliau meneruskan pengajiannya di Universiti Sains Malaysia(USM), Pulau Pinang dan memperoleh Ijazah Sarjana Sastera dari universiti tersebut pada tahun 1978. Sewaktu beliau menjawat jawatan sebagai pensyarah dalam bidang kesusasteraan di Universiti Sains Malaysia(USM), beliau sempat menyelesaikan pengajiannya di peringkat Doktor Falsafah pada tahun 1994. Pada tahun 1998 beliau bersara dari universiti tersebut dan terus aktif sebagai seorang penulis sehingga sekarang.

Dalam bidang kesusasteraan, genre cerpen dan novel telah menonjolkan bakat kepengaranannya. Karya pertamanya ialah dalam bidang genre sajak berjudul ‘Saat Terakhir’ di bawah nama samaran Fatma Bilbilfa, disiarkan dalam Warta Negara, Pulau Pinang, 1957. Kumpulan cerpen yang pernah diterbitkan ialah ‘Lambaian Tanah Hijau’ (DBP, 1980), ‘Yang Abadi’ (Teks Publishing) dan ‘Al-Isya’(Teks Publishing, 1985). Cerpen-cerpen beliau yang pernah memenangi Hadiah Karya Sastera dan Hadiah Sastera Malaysia ialah ‘Mawar yang Belum Gugur’(1971), ‘Nasinya Tumpah’(1972), ‘Bunga-bunga Pulau’ dan ‘Sampah yang Hanyut’(1974), ‘Anak Bumi Tercinta’ dan ‘Anak-anak dari Kampung Pasir Pekan’(1975), ‘Mahar Asmara’(1983/84), ‘Al-Amin’(1984/85) ‘Freshie’ dan ‘Lambaiaan Tanah Hijau’(1993). Dalam bidang genre novel yang dihasilkan ialah Ombak Bukan Biru( 1977) dan Kepulangan (1980 ). Menurut Zalila Sharif Ombak Bukan Biru merupakan ketentuan budaya yang begitu kuat membentuk identiti wanita dalam sebuah masyarakat Melayu[28]. Antologi puisinya yang terbaharu ‘Apa Ada Di Sana’(Versi Dunia) telah diterbitkan pada tahun 2004[29]. Hasil-hasil karya yang bakal akan diterbitkan ialah dalam bidang genre novel ‘Salam Maria’, ‘Tanah Khadijah’ dan ‘The Missing Piece’[30] Beliau sendiri mengakui, semenjak tersiarnya artikel ‘Heboh Fasal Sasterawan Fatimah Busu’ karya-karyanya sangat sukar diterbitkan sedangkan pada tahun 1970 – 1990, banyak penerbit dan editor yang menulis meminta untuk menerbitkan karyanya[31].

Sebagai ahli akademik, beliau telah melaksanakan penelitian ilmiah dengan menghasilkan buku yan berjudul ‘Ciri-ciri Satira dalam Novel Melayu dan Afrika Moden: Kajian Perbandingan’(DBP; 1992). Buku ini kemudiannya memenangi hadiah Sastera Malaysia pada tahun 1992/93. Asal buku ini ialah tesis sarjananya dari Universiti Sains Malaysia. Buku yang kedua ialah ‘Memupuk Bakat dan Minat Penulisan Kreatif; Teori dan Proses(2003). Disertasi untuk program Doktor Falsafah dari universiti tersebut pada tahun 1994 ialah ‘Persamaan dan Perbezaan dalam Perkembangan Novel-novel Malaysia dan Indonesia’.

3.4.4 Norhisham Mustaffa (28 Mei 1950 - )

Norhisham Mustafa dilahirkan di Kampung Bakat, Gual Periok, Pasir Mas, Kelantan pada 28 Mei 1950. Beliau mendapat pendidikan Melayu, Arab, dan Inggeris di Kelantan. Beliau mendapat pendidikan rendah di Sekolah Kebangsaan Gual Periok, dan pendidikan Menenah di Sekolah Menengah Lemal( sekarang, Sekolah Menengah Tengku Panglima Raja, Lemal). Beliau turut mendapat pendidikan di Madrasah Islamiah Gual Periok. Seterusnya beliau meneruskan pengajiannya ke Madrasah Huda Rantau Panjang, dan ke Maktab Pengajian Islam, Kota Bharu[32]. Dalam dunia penulisan, Norhisham menggunakan nama penannya seperti Alang, Putat, Medu, Wangga, Suria, Inderapati, Syamiza, Uji M.Z., Putera Halimah, Sham Taffa, Mutia Kurniawati, Ilham Kurniawan dan Elna Herawati. Isterinya bernama Fauziah Mohd. Zain dan dikurniakan tiga orang anak. Bapanya bernama Mustaffa Abdul Rahman berasal dari Kampung Belukar Pendek, Kota Baharu dan ibunya Halimah Senik berasal dari Kampung Kerawang, Pulau Chondong. Bapanya sangat berminat dengan wayang kulit dan pernah menjadi dalang wayang kulit. Bapanya juga seorang yang meminati seni silat Melayu. Ibunya pula aktif dalam bangsawan dan meminati syair seperti ‘yair Siti Zubaidah’dan ‘Dandan Setia’. Kalau dilihat asal-usul, keluarga beliau merupakan seorang yang berminat dalam bidang seni.[33]

Walaupun beliau tidak mendaftar menjadi ahli mana-mana badan penulis, namun demikian beliau sering menyertai aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh Persatuan Penulis Kelantan (PPK) dan persatuan penulis yang lain sejak dahulu lagi. Beliau sering memberi bimbingan dan panel pembicara dalam majlis-majlis forum, diskusi, seminar dan bengkel penulisan kreatif dan bukan kreatif misalnya majlis anjuran Gabungan Penulis Muda Kelantan(GEMA), Badan Seni Budaya Kelantan(BASNIDA), Jabatan Pendidikan Negeri, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Kelantan, termasuk anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur. Beliau juga memberikan khidmat di luar Kelantan seperti Terengganu, Selangor, Melaka, Kedah dan Selatan Thai.

Beliau mula bergiat dalam bidang penulisan pada tahun 1960-an dan puisinya yang berjudul ‘Kelahiran’ dimuatkan dalam Mingguan Malaysia pada tahun 1967 merupakan karya pertama diterbitkan.. Sumbangan Norhisham dalam bidang kesusasteraan dan kebudayaan dapat dilihat berdasarkan hadiah penghargaan dan pengiktirafan. Cerpen beliau berjudul ‘Pecah’ pernah memenangi Hadiah Karya Sastera pada tahun 1973. antara tahun 1975 hingga tahun 1985, beliau telah memenangi hadiah utama, kedua, dan hadiah sagu hati dalam Sayembara Penulisan Cerpen Berunsur Islam anjuran Jabatan Perdana Menteri. Beliau telah memenangi hadiah utama, kedua, dan hadiah sagu hati dalam sayembara Penulisan Cerpen Berunsur Islam anjuran Jabatan Perdana Menteri. Beliau juga mendapat Hadiah Sastera Perpaduan(cerpen) 1979 Lembaga Perpaduan Negara, Hadiah pertama Sayembara Menulis Cerpen ESSO/GAPENA VII(1992). Beliau telah memenangi hadiah utama dalam Peraduan Menulis Cerpen Hari/Minggu Belia 1981 anjuran Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung(GPMS) dan hadiah menulis cerpen ESSO-GAPENA (1984). Beliau turut memenangi Hadiah Sastera Utusan Melayu-Public Bank pada tahun 1986. Anugerah yang pernah diterima ialah Anugerah Sastera Darul Iman 1995 untuk bahagian puisi, Anugerah ‘Tokoh Pembentukan Minda dan Keintelektualan’ pada tahun 1996 oleh harian WATAN Kelantan dan Hadiah Cekal Sastera Negeri Kelantan 2003. Dalam bidang kebudayaan, anugerah yang pernah diterima ialah Anugerah Tokoh Budaya Jajahan Pasir Mas, 1998, dan beliau juga menerima Penghargaan Khas Tokoh Penulis 1998 oleh kerajan negeri Kelantan[34]. Beliau merupakan salah seorang penulis tanah air yang menjadikan kerjaya penulisan sebagai mata pencarian.

Novel-novel karya beliau ialah Selubung Senja (1982), Gerhana di Langit Pagi(1984), Biarkan Ombak Badai(1985), Pengorbanan Suci(1985), dan Persingahan (1990), Renda Sutera(1991), dan Menguak Kabus (1992). Kumpulan cerpen beliau ialah ‘Jeritan’, ‘Marliana’, Di Puncak Ini Hati pun Luluh Menunggu’, ‘Batas-batas Perhitungan’, dan ‘Di Bawah Langit Senja’. Menurut Hashim Ismail, Norhisham Mustaffa merupakan seorang pengamal ilmu etnografi yang dalam diam-diam mengolah daya sensitivitinya yang tinggi terhadap worldview masyarakat lingkungannya melalui karyanya. Membaca karya-karya beliau bermakna kita membelek lembaran-lembaran data tentang kepelbagaian fenomena masyarakat yang berada di sekelilingnya.[35]

3.5 Latarbelakang Penulis Sumatera Barat

3.5.1 Marah Rusli(7 Ogos 1889 - 17 Januari 1968)

Marah Rusli lahir di Padang pada 7 Ogos 1889 dan meninggal di Bandung pada 17 Januari 1968 dan dimakamkan di Bogor.. Nama lengkapnya ialah Marah Halim dan Ayahnya bernama Sutan Abu Bakar gelar Sutan Pangeran, seorang bangsawan berasal dari kota Padang. Hobinya ialah olah raga, muzik, melukis, dan sandiwara. Beliau bersekolah di sekolah Melayu(Hoofden School) di Padang dan tamat pada tahun 1904. Seterusnya, beliau melanjutkan pelajaran di Sekolah Radja (Hoofden School) di Bukit Tinggi dan tamat pada tahun 1910. Selepas bersekolah di Bukit Tinggi, beliau melanjutkan pelajaran di Sekolah Doktor Haiwan di Bogor dan tamat pada tahun 1915. Selepas tamat, beliau bekerja sebagai doktor haiwan sehingga pencen. Beliau juga pernah menjadi mayor Angkatan Laut di Tegal(1945), Lektor Sekolah Tinggi Doktor Haiwan di Klaten(1948). Pada tahun 1915 beliau ditempatkan di Sumbawa Besar(1915), kemudian di Bima(1916 -1917), di Bandung(1918), di Cirebon(1918), dan di Blita(1919), Bogor (1920) dan Batavia(1921), Balihge(1925), dan Semarang (1929 – 1945).[36]

Sebelum beliau pergi ke Bogor, seorang gurunya dari Sekolah Radja yang berbangsa Belanda bernama Hoornsma pernah memujuk ibunya agar Marah Rusli di hantar untuk bersekolah di Belanda dengan biasiswa pemerintah Belanda dalam bidang hulpacte. Walaubagaimanapun, pujukan itu tidak tercapai kerana Marah Rusli anak tunggal bagi ibunya. Sebagai gantinya Tan Malaka telah diambil oleh Hoornsma untuk belajar di Belanda. Beliau berkahwin dalam usia 26 tahun semasa belajar di Bogor. Perkahwinannya ditentang hebat oleh keluarganya. Sewaktu Marah Rusli pulang ke Padang pada tahun 1915 keluarganya telah memaksa untuk mengahwinkan dengan seorang gadis Minang yang tidak pernah dikenalinya[37]. Perkahwinannya dengan gadis Bogor dipercayai mendasari keinginannya menjadi penulis disamping hubungan tegangnya dengan majikan sehingga beliau dipecat selama satu tahun.

Karya beliau yang terkenal ialah Siti Nurbaya(1922), La Hami(1952)dan Anak dan Kemenakan(1956). Ketika beliau meninggal ada sebuah naskah novel yang belum diterbitkan berdasarkan riwayat perkahwinannya sendiri berjudul Memang Jodoh[38]. H.B. Jassin menganggap Marah Rusli sebagai penegak kesusasteraan Indonesia daripada Marco Kartodikromo atau Merari Siregar[39]. Zuber Usman menganggap lahirnya novel Sitti Nurbaya, bermulanya sejarah baru dalam Kesusasteraan Melayu dan kemudiannya menjadi Kesusasteraan Indonesia[40]. A. Teeuw menganggap cerita dalam novel Siti Nurbaya sangat menarik bagi seseorang pembaca yang berfikir dan menilai sesuatu novel mengikut ukuran Barat[41]. Sementara itu, menurut pendapat sarjana dari Perancis, Pierre Labrouse, novel Sitti Nurbaya merupakan salah satu novel Indonesia yang paling banyak mengandungi erti, bila ditempatkan dalam satu perspektif sejarah sosial dan pandangan kelas(vision de classe).[42] Annas Hj. Ahmad pula berpandangan bahawa novel Sitti Nurbaya telah memasuki zaman baru dan merupakan permulaan seni novel moden.[43] Berdasarkan kepada pernyataan di atas menunjukkan bahawa hampir semua kritikus sastera Indonesia menempatkan novel Sitti Nurbaya sebagai karya yang sangat penting dalam sejarah kesuasteraan Indonesia.

Pada tahun 1969, novel Sitti Nurbaya memperoleh hadiah penghargaan dari kerajaan Indonesia sebagai hadiah tahunan yang diberikan setiap tanggal 17 Ogos. Di Malaysia, novel ini terbit dalam edisi bahasa Melayu dan menjadi buku bacaan wajib bagi pelajar yang menambil kesusasteraan Melayu diperingkat Sijil Tinggi Pelajaran(STP) pada tahun 60-an dan 70-an. Di Malaysia, pada tahun 1963, novel Sitti Nurbaya telah dicetak untuk kali yang ke-11 . Pada Tahun 1991, (Televisyen Republik Rakyat Indonesia)TVRI menyiarkan filem yang berjudul ‘Sitti Nurbaya’ dengan watak utamanya ialah Novia Kolopaking(sebagai Sitti Nurbaya) dan Gusti Randa(sebagai Smasulbahri)[44]

3.5.2 Abdoel Moeis(1890 – 17 Julai 1959)

Abdoel Moeis di lahirkan di Bukittinggi(Sumatera Barat) pada tahun 1890 dan memperoleh didikan Barat. Beliau tidak tamat pengajiannya dalam bidang kedoktoran. Beliau pernah menjadi wartawan dan pemimpin Serekat Islam. Sebagai pemimpin dalam gerakan politik beliau berusaha dalam gerakan memperolehi otonomi yang lebih besar bagi Hindia(Indies) sepanjang Perang Dunia I, dan sebagai anggota delegasi ‘Comite Indie Weerbaar’(Panitia Pertahanan Hindia) dan beliau pernah berkunjung ke Jawa. Beliau dilantik menjadi anggota Volksraad (Dewan Perwakilan Rakyat) pada tahun 1920. Oleh kerana, pertentangan yang berlaku dalam sarekat Islam, beliau pernah menjadi pemimpin dalam Serikat Islam Merah, iaitu sebuah serikat Islam yang terpengaruh dengan unsur fahaman komunis[45]. Pada tahun 1923, beliau kembali ke Sumatera Barat dan berhasil memujuk guru-guru Islam untuk mengikuti gerakannya. Haji Datuk Batuah adalah sahabat kepada Abdoel Moeis dan beliau berjaya membawa gerakan komunis melalui sekolah agama Sumatera Thawalib.[46] Setelah peristiwa tahun 1926 – 27 beliau dicurigai oleh pemerintah Belanda dan kebebasannya dibatasi. Beliau pernah mendapat hukuman dari pemerintah jajahan Belanda. Beliau berkahwin dengan gadis Sunda dan hidup di tanah Priangan sehingga meninggal dunia. Sebagai penulis, penterjemah dan wartawan, beliau hidup secara tidak menonjol di Jawa Barat hingga beliau meninggal dunia pada tahun 1959.[47]

Selain novel Salah Asohan, beliau menulis novel Pertemuan Jodoh(1933), Surapati(1950) dan Robert Anak Surapati(1953) Pada tahun 1969, novelnya yang terkenal iaitu Salah Asohan telah mendapat anugerah Hadiah Tahunan Pemerintah, bersama tiga novel lainnya, iaitu Sitti Nurbaya, Belenggu, dan Atheis. Pada tahun 1972, novel ini diadatasikan kepada filem oleh Asrul Sani dengan Dicky Zulkarnain sebagai watak Hanafi. Menurut Liang Liji(1988), Salah Asohan telah diterjemahkan ke dalam bahasa Cina, dan merupakan novel terjemahan yang terlaris di China. Menurut Morimura Shigeru(1988), pensyarah dari Universiti of Foreign Studies, Salah Asohan sudah diterjemahkan ke dalam bahasa Jepun[48].

Menurut Ajip Rosidi, Salah Asohan kesan dari pertemuan kebudayaan Eropah yang masuk ke dalam tubuh anak-anak bangsanya melalui pendidikan sekolah kolonial Belanda[49]. Amal Hamzah dalam bukunya “Buku dan Penulis” menyatakan Salah Asohan sebagai sebuah roman(novel) yang terindah dalam bahasa Indonesia dan beliau telah telah berjaya menunjukkan keasliannya dalam menggunakan bahasa Indonesia dalam proses kreatif.[50] Menurut A. Teeuw, setelah Sitti Nurbaya, novel penting yang membicarakan masalah generasi dari aspek Minangkabau yang tidak boleh diabaikan ialah Salah Asohan(1928). Menurutnya lagi, novel ini menarik kerana berterus-terang membicarakan masalah diskriminasi(keturunan bangsa) dan sosial, akan tetapi perantaraan sastera yang dipergunakan oleh pengarang lebih menarik. Novel ini ditulis dengan cara yang meresap dan tidak sekali-kali merupakan sebuah risalah tentang diskriminasi, sebab gaya bahasa yang digunakan sangat bersahaja. Buku ini membangkitkan kenangan yang menginsafkan tentang taragedi kedua orang muda yang dikutuk oleh undang-undang masyarakat mereka. Fatimah Busu pula berpendapat novel ini adalah sebuah novel tragedi, iaitu satu bentuk yang lazim terdapat di dalam karya-karya terbitan Balai Pustaka.[51] Novel ini juga menjadi novel bacaan wajib bagi pelajar yang mengambil Kesusateraan Melayu di peringkat sekolah menengah dan universiti.

3.5.3 Tulis Sutan Sati(1898 – 1942)

Pengarang ini lahir pada tahun 1898 dan meninggal pada tahun 1942. Pengarang ini kurang diberi penekanan oleh ahli sastera Indonesia. Berdasarkan hal tersebut, sehingga kini data-data yang berkaitan tentang Tulis Sutan Sati tidak dapat diperincikan dengan lebih mendalam terutama yang berkaitan tempat beliau dilahirkan, dan latarbelakang persekolahannya dan pekerjaanya. Walaubagaimanapun, pengarang ini sememangnya dari pengarang Minangkabau berdasarkan namanya tema yang terdapat di dalam karyanya juga menyentuh tentang masyarakat Minangkabau. Novel-novel yang dikarang oleh beliau ialah Sengsara Membawa Nikmat(1928).Memutuskan Pertalian(1932), Tidak Membalas Guna(1932), dan Tak Disangka(1932).

Novel Sengsara Membawa Nikmat dianggap karya yang paling bernilai dari karya Tulis Sutan Sati. Novel ini memperincikan tentang kehidupan masyarakat Minangkabau pada tahun 1920-an. Menurut A. Teeuw, novel ini sangat menarik kerana hidup dan lincahnya si pengarang membawa pembaca ke dalam suasana desa Minangkabau dengan kejadian sehari-hari dan segala reaksi manusiawi[52]. Temanya berpusat kepada perantauan tokoh utamanya, Midun. Gambaran perantauan terasa lebih menampakan realiti seolah-olah peristiwa ini benar-benar terjadi pada zaman semasa novel ini dihasilkan.

Beliau juga pernah menterjemahkan kaba Sabai Nan Aluih(1929) yang ditulis oleh M. Thaib Gelar St Pamuntjak dalam bahasa Minangkabau ke dalam bahasa Indonesia. Novel-novel lain yang ditulis ialah Tak Disangka(1929), Memutuskan Pertalian(1932) dan Tidak Membalas Guna(1932).

3.5.4 Nur Sutan Iskandar( 3 November 1893 – 28 November 1975)

Nur Sutan Iskandar dilahirkan di Sungai Batang pada 3 November 1893. Novel yang pertama ditulisnya beliau menggunakan nama samaran iaitu Nursinah Iskandar. Selesainya pengajian di Sekolah Rendah, beliau lulus ujian untuk memasuki Sekolah Guru di Bukit Tinggi. Sebelum diangkat sebagai guru, beliau pernah bekerja sebagai Kweekeling(pembantu sekolah). Pada waktu inilah beliau belajar untuk menjadi guru bantu dan tamat pada tahun 1911. Beliau mula bekerja sebagai guru di Muara Beliti, kemudian pindah ke Padang. Sewaktu beliau bekerja sebagai guru, beliau belajar mengarang dengan membantu pihak suratkhabar di Padang[53].

Pada tahun 1919 beliau merantau ke Jakarta dan bekerja sebagai korektor di Balai Pustaka. Pada tahun 1921 beliau lulus ujian Klein Ambtenaars Lexamen dan tiga tahun sesudah itu beliau lulus ujian Bureau Cursus di Jakarta. Sewaktu beliau bekerja di Balai Pustaka, beliau pernah menjawat jawatan sebagai ketua Sidang Pengarang. Beliau menghabiskan usianya di Balai Pustaka selama 30 tahun. Selain kegiatannya sendiri sebagai pengarang, beliulah yang bertanggung jawab sebagai pemeriksa dan editor di Balai Pustaka[54]. Beliau pernah bekerja sebagai pensyarah di Fakultas Sastera Universitas Indonesia. Pada waktu ini juga beliau pernah menyandang sebagai anggota majlis tertinggi di universiti tersebut dan juga ahli bahasa pada Komisi Bahasa Indonesia. Nur Sutan Iskandar dapat dianggap sebagai perintis mengahwinkan anaknya yang perempuan dengan seorang pemuda Jawa. Hal yang dilakukan oleh beliau sangat jarang dilakukan pada zamannya kerana bertentangan dengan adat Minangkabau.

Menurut Zuber Usman, Nur Sutan Iskandar adalah salah seorang wakil zamannya, ‘seorang pengarang yang mengambil kedudukan istimewa dalam golongannya, yakni di antara pengarang-pengarang tua seorang pengarang yang mengambil kedudukan istimewa dalam golongannya’ [55]. A. Teuw pula berpandangan bahawa Nur Sutan Iskandar mempunyai pengaruh yang amat besar dalam membentuk bahasa Melayu tinggi yang menjadi contoh sebeum perang. Bahasa ini didasarkan kepada bahasa kesusasteraan Melayu klasik, tetapi mempunyai pengaruh bahasa Minangkabau yang kuat, baik dalam hal perbendaharaan kata, sintaksis dan morfologi.[56]

Karya-karya beliau yang terpenting ialah Hulubalang Raja, Katak Hendak Jadi Lembu, Salah Pilih, Karena Mertua. Beliau juga menulis cerita saduran misalnya Dewi Rimba, Air Susu Dibalas dengan Air Tuba, Apa Dayaku Aku Perempuan, Abu Nawas, dan Janggir Bali. Beliau juga menterjemahkan karangan dari penulis Barat misalnya ‘Imam dan Pengasihan’ karya Conan Doyle, karya Moiiere L’avare atau ‘Si Bakhil’ , karya Alexander Dumas berjudul ‘Tiga Panglima Perang’ dan lain-lain[57].

Bakat Iskandar dapat dilihat melalui novelnya Salah Pilih dan Karena Mertua. Melalui kedua buah novel ini memperlihatkan daya pengucapan yang sangat mengagumkan, dan kepandaiannya menimbulkan suasana tegang tetapi berkesan, suatu hal yang tidak ada bandingannya di antara hasil karya kesusasteraan sebelum perang. Novelnya Salah Pilih membicarakan persoalan kahwin sesuku yang menjadi kesalahan besar dalam adat Minangkabau sementara novel Karena Mertua mempersoalkan tentang keterlibatan orang tua untuk menguruskan hal-ehwal rumahtangga anaknya sehingga rumahtangga yang dibina menemui kehancuran.

3. 5. 5 Hamka(16 Febuari 1908 – 24 Julai 1981)

Beliau lahir pada 17 Febuari 1908 di Kampung Molek, Meninjau, Sumatera Barat, Indonesia. Nama sebenarnya ialah Haji Abdul Malik bin Abdul Karim. Ayahnya ialah Syeikh Abdul Karim bin Abdul Karim bin Amrullah atau dikenal sebagai Haji Rasul, seorang pelopor gerakan Islah(tadid) di Minangkabau, sekembalinya dari Makkah pada tahun 1906. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Dasar Meninjau hingga Darjah Dua. Ketika beliau berumur, 10 tahun ayahnya mendirikan Sumatera Thawalib di Padang Panjang. Beliau pernah mengikuti pengajaran agama dan masjid yang diberikan oleh ulama terkenal seperti Syeikh Ibrahim Musa, Syeikh Ahmad Rasyid, Sutan Mansur, R.M. Surjoparanoto dan Ki Bagus Hadikusumo[58].

Hamka lebih banyak belajar sendiri dan melakukan penyelidikan meliputi pelbagai bidang ilmu pengetahuan seperti falsafah, kesusasteraan, sejarah, sosiologi dan politik sama ada Islam atau Barat. Berdasarkan kemahiran Bahasa Araba, beliau menyelidiki karya ulama dan pujangga besar di Timur Tengah seperti Zaki Mubarak, Jurji Zaidan, Abbas al-‘Aqqad, Mustafa al-Manfaluti dan Husein Haikal. Melalui bahasa Arab juga, beliau meneliti karya sarjana Perancis, Inggeris dan Jerman seperti Albert Camus, William James, Freud, Toynbee, Jean Sarte, Karl Marx dan Pierre Loti[59].

Kerjaya Hamka bermula sebagai guru agama pada tahun 1927 di Perkebunan Tebing Tinggi, Medan dan guru agama di Padang Panjang pada tahun 1929. Beliau dilantik sebagai pensyarah di Universitas Muhamadiyah, Padang Panjang dan di Universitas Islam, Jakarta dari tahun 1957 hingga tahun 1958. Beliau juga dilantik sebagai Rektor Perguruan Tinggi Islam, Jakarta dan professor Universitas Mustapo, Jakarta. Dari tahun 1951 hingga tahun 1960, beliau dilantik sebagai Pegawai Tinggi Agama oleh Menteri Agama Indonesia, tetapi meletak jawatan apabila Sukarno memberi kata dua sama ada menjadi pegawai kerajaan atau bergiat dalam politik Majlis Syura Muslim Indonesia(Masyumi)[60].

Beliau juga seorang wartawan, editor dan penerbit. Semenjak tahun 1920-an lagi, Hamka menjadi wartawan beberapa buah akhbar seperti Pelita Andalas, Seruan Islam, Bintang Islam dan Seruan Muhammadiyah. Pada tahun 1928, beliau menjadi editor majalah Kemajuan Masyarakat. Pada tahun 1928, dia menjadi editor dan menerbitkan majalah al-Mahdi di Makasar. Beliau juga pernah menjadi editor Majalah Pedoman Masyarakat, Panji Masyarakat dan Gema Islam. Beliau pernah menerima anugerah pada peringkat nasional dan antarabangsa seperti Doktor Honoris Causa, Universiti al-Azhar, 1958; Doktor Honoris Causa, Universiti Kebangsaan Malaysia, 1974 dan gelaran Datuk Indono dan Pengeran Wiruguno daripada kerajaan Indonesia. Beliau meninggal dunia pada 24 Julai 1981[61].

Dalam bidang penulisan novel, novel-novel yang dihasilkannya termasuklah Dijemput Mamaknya(1930) Di Bawah Lindungan Kaabah(1938), Karena Fitnah(1938), Merantau ke Deli(1938), Tuan Direktur(1939), Tenggelamnya Kapal Van der Wijck(1939), Kenang-kenangan Hidup(1951),dan Lembah Nikmat(1959). Novelnya Tenggelamnya Kapal Van der Wijck pernah dikatakan telah diplagiat dari karangan pengarang Perancis Al Phonse Karr yang pernah disadur ke dalam bahasa Arab oleh Mustafa Luthfi Al-Manfaluthi(1876 – 1924) yang dalam bahasa Perancisnya berjudul Sous les Tilleuls(Di bawah Naungan Pohon Tila, 1932) dan bahasa Arab berjudul Madjulin. Novel ini diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia oleh A.S. Alatas yang berjudul Magdalena(1963)[62]. Bagaimanapun kritikus sastera Indonesia, A. Teeuw menolak dakwaan tersebut isi dan latar belakang novel yang bersifat Indonesia seluruhnya[63]. Beliau juga pernah menulis cerpen dengan judul ‘Di dalam Lembah Kehidupan’. Beliau juga menulis riwayat hidupnya sendiri dengan judul “Kenang-kenagan Hidup’(1952) manakala karya ilmiahnya berjudul ‘Islam dan Adat Minangkabau’(1984).

3.5.6 Sariamin(31 Julai 1909 - )

Banyak buku-buku sastra Indonesia meletakan namanya Selasih. Nama sebenar Selasih ialah Sariamin Ismail. Beliau dilahirkan pada bulan 31 Julai 1909 di Talu, Lubuk Sikaping, Sumatera Barat. Nama samaran yang lain pernah digunakan oleh Sariamin ialah Seleguri, Bunda Kandung, Ibu Sedjati, Serigunting, Kak Karinah, Serigunung, Mande Rubiah dan Seritandjung. Beliau berpendidikan Sekolah Normal Putri Padangpanjang. Selesai persekolahan beliau bekerja sebagai seorang guru lepasan Sekolah Guru Putri di Padang Panjang[64]. Sewaktu beliau mengajar, beliau berusaha menulis untuk menambahkan pendapatannya yang kecil sebagai guru sekolah.[65]

Beliau menulis dalam waktu yang agak muda iaitu dalam usia 16 tahun. Beliau menulis dalam majalah Panji Pustaka dan Pujangga Baru. Sebelum itu, pada usianya 10 tahun beliau sudah pandai bersyair dan menulis dalam bentuk puisi. Berdasarkan sajaknya yang terdapat dalam Majalah Panji Pustaka yang berjudul ‘Ratap Ibu’ terdapatnya unsur-unsur peralihan dari puisi tradisional kepada puisi moden[66]. Menurut H.B Jasin bentuk dan isi-isi sajak masih amat tradisional dan kekuatannya terletak kepada prosa[67]. Beliau dikenali melalui dua buah novel yang sangat terkenal iaitu Kalau Tak Untung(1933) dan Pengaruh Keadaan(1937). Kedua-dua novel ini meletakkan beliau sebagai pengarang novel wanita Minangkabau yang pertama di Indonesia. Novel-novel ini juga telah dicetak buat beberapa kali iaitu Kalau Tak Untung pada tahun 1933 sebanyak 2000 naskah, cetakan kedua pada tahun 1938 sebanyak 1500 naskah, cetakan ketiga pada tahun 1949 sebanyak 4000 naskah, cetakan keempat pada tahun 1953 sebanyak 4000 naskah, cetakan kelima pada tahun 1956 sebanyak 5000 naskah keenam sebanyak 10,000 naskah dan cetakan ketujuh sebanyak 15 000 naskah. Novel Pengaruh Keadaan, cetakan ketiga pada tahun 1957 sebanyak 5000 naskah dan cetakan keempat pada tahun 1961 sebanyak 10 000 naskah[68]. Novelnya yang terakhir terbit pada tahun 1986 yang berjudul Kembali ke Pangkuan Ayah[69]. Jakob Sumardjo yang mengutip pernyataan Aman Datuk Madjoindo meletakan Sariamin sebagai pujangga Wanita Indonesia yang pertama[70].

3.5.6 Adinegoro(1904 – 1966)

Nama aslinya ialah Djamaluddin dan dilahirkan pada tahun 1904. Pada mulanya Adinegoro masuk sekolah dokter di Stovia, namun demikian ia lebih tertarik kepada soal karang-mengarang. Waktu beliau masih bersekolah, beliau telah dapat menyara kehidupannya berdasarkan hasil tulisannya.Beliau pernah menyusun kamus praktis Bahasa Indonesia. Kisah kunjunganya ke Eropah, Melawat ke Barat(1930) sangat popular pada masa itu. Novelnya yan terkenal ialah Darah Muda dan Asmara Jaya[71]. Kedua-dua novel berkisar tentang masalah memilih jodoh terutama jodoh yang bukan dari sukunya sendiri.

2.5.7 Soerwardi Idris (10 November 1930 - )

Beliau lahir di Solok, Sumatera Barat pada 10 November 1930. Menurut A. A Navis, Soerwardi Idris aktif dalam bidang penulisan sewaktu masih berada di Sekolah Menengah Atas(SMA) dan karyanya diterbitkan di berbagai majalah kebudayaan atau kesusasteraan nasional, baik yang diterbitkan di Jakarta maupun di Medan. Kemudian beliau berpindah ke Jakarta. Soewardi Idris pernah menetap kembali di Sumatera untuk beberapa tahun dan kemudian menetap lagi di Jakarta tidak lama selesai perang PRRI. Soerwardi Idris banyak mengambil pengalaman-pengalamannya ketika pergerakan PRRI untuk cerpen-cerpennya[72]. Pada tahun 50-an terbit antologi puisi ‘Angin Pagi’ bersama teman-temanya iaitu Alwi Dahlan, Dahlan Djazh, dan Kermal Ms[73]. Novelnya yang terkenal ialah Di Puncak Bukit Talang(1964) juga berlatarbelakangkan masa PRRI. Beliau banyak menulis buku-buku biografi tokoh-tokoh sejarah dunia misalnya Napoleon Banaparte. Beliau pernah menulis di dalam Singgalang di dalam kolum ‘Surek dari Rantau’ yang berjudul ‘Lewat Setengah Abad, di Mana Kita?[74]

3.5.8 Idrus (21 September 1921 – 18 Mei 1979)

Beliau dilahirkan pada 21 September 1921 di Padang, Indonesia. Beliau mendapat pendidikan di Mulo, kemudian di Jakarta. Berpendidikan HIS, MULO, AMS, Sekolah Menengah Tinggi(tamat 1943). Waktu pemerintahan Jepun, beliau bekerja dengan pusat Kebudayaan di Jakarta[75]. Beliau pernah menggunakan nama samaran Abdullah Idrus. Beliau mendapat ijazah Sarjana Sastera dari Monash University, Australia pada tahun 1974. Beliau menceburi bidang penulisan selepas menamatkan pelajarannya di sekolah menengah atas, sewaktu pendudukan Jepun di Indonesia. Selepas pendudukan Jepun, beliau bekerja di Bahagian Sidang Pengarang, Balai Pustaka. Beliau bergiat secara aktif dalam Pusat Organisasi Sandiwara Djawa bersama-sama Armijn Pane dan Kotot Sukardi. Pada tahun 1953 hingga tahun 1956, Idrus menjadi sidang pengarang majalah Kisah bersama-sama H.B. Jassin dan M. Balfas pada tahun 1960 – 1964.[76]

Beliau pernah menterjemahkan beberapa karya sastera asing ke dalam bahasa Indonesia, termasuklah novel Kereta Api Badja 1469 (karya Vsevolod Ivanov, 1948); novel Kedju (karya Willem Elschot, 1948); drama Acoka (karya G. Gonggrip, 1948); kumpulan cerpen Perkenalan (karya Maupassant, Pirandello dan Chekhov, 1949); kumpulan cerpen Ibu yang Ku-Kenang (karya Kathryn Forhes, 1963). Di lapangan penterjemahan beliau sangat berjasa dan telah memperkenalkan pengarang Rusia Anton Chekov(1860-19040, pengarang Itali Luigi Pirandello(1867 – 1936), dan pengarang Cekoslovakia Jaroslav Hasek(1883 – 1923).

Idrus pernah tinggal di Kuala Lumpur selepas Tanah Melayu merdeka dan bekerja dalam bidang penerbitan. Seterusnya, beliau berhijrah ke Australia pada tahun 1965 dan bekerja sebagai pensyarah di Monash University, Australia. Beliau meninggal dunia di Kampung Tanah, Padang, Sumatera Barat pada 18 Mei 1979. Waktu itu, beliau sedang menyiapkan desertasi Doktor Falsafah dari Universiti Monash tentang cerita rakyat Minangkabau[77].

Beliau dianggap oleh kritikus sastera Indonesia sebagai pelopor Angkatan 45, dalam bidang prosa. Karya-karya yang dihasilkan termasuklah Surabaja(1947), Dari Ave Maria ke Jalan Lain ke Roma(1948), Aki(1950), Amaran (1950), Perempuan dan Kebangsaan (1950), Dengan Mata Terbuka (1961), Hati Nurani Manusia(1963) dan Hikayat Puteri Penelope(1973). Sebuah drama juga ditulis oleh Idrus iaitu ‘Keluarga Surono’(1948)

3.5.9 Ali Akhbar Navis (17 November 1924 - 2001)

Beliau lebih dikenali dengan A.A. Navis dan dilahirkan di Padangpanjang pada 17 November 1924. Ayahnya bernama Nafis Sutan Marajo dilahirkan di Padang manakala ibunya bernama Sawiyah. Bapaknya bekerja sebagai peawai Jawatan Keretapi(Hoofd Mandoer) di jabatan jalan. Waktu kecil ayah dan ibu memanggilnya Ali Akhbar dan teman-temanya memanggil beliau sebagai si Ali atau si Kabar. Guru di sekolahnya memanggil beliau sebagai Akhbar atau Ali. Beliau mendapat pendidikan awal di INS Kayutanam[78].

Beliau mula dikenali sebagai penulis dalam bidang sastera apabila cerpennya ‘Robohnya Surau Kami’ dipilih sebagai cerpen terbaik dan memperoleh Hadiah Sastra Majalah Kisah untuk tahun 1955. Cerpen yang lain memenangi anugerah tersebut ialah ‘Kejantanan di Sumbing’ oleh Soebagio Sastrowardoyo dan ‘Dua Dunia’ oleh N.H Dini. Semenjak itu beliau mula menulis dan hasil tulisannya mendapat perhatian daripada penerbit[79].

Novel-novel yang diterbitkan ialah Kemarau(1967), Saraswati, Si Gadis dalam Sunyi(1970). Kemarau adalah novelnyanya yang pertama setelah cerpennya ‘Robohnya Surau Kami’ mendapat sorotan dan tanggapan para kritikus sastera. Akhbar-akhbar tempatan dan nasional banyak memuatkan hasil karya beliau secara bersambung misalnya ‘Pak Kantor’(1957) dalam akhbar Nyata, Bukit Tinggi, ‘Kemarau’(1964) dalam dalam Harian Res Publika(1964), Padang, ‘Kembali dari Alam Barzakh’(1967) dalam harian Aman Makmur, Padang, ‘Padang Kota Tercinta’(1969) dalam harian Haluan, Padang, ‘Di Sepanjang Pantai Purus’(1971) dalam harian Semangat, Padang, ‘Gerhana’(1975) dalam harian Kompas, Jakarta dan ‘Di Lintasan Mendung’(1983) dalam harian Sinar Harapan, Jakarta.

Kumpulan cerpenya pula ialah ‘Bianglala’(1963), ‘Hujan Panas’(1963), manakala kumpulan puisinya ialah ‘Dermaga Empat Sekoci’(1970). Selain karya kreatif, beliau juga banyak menghasilkan karya ilmiah misalnya ‘Dialektika Minangkabau dan Kemelut Sosial dan Politik’(1983), ‘Alam Terkembang Jadi Guru’(1985), ‘Pasang Surut Pegusaha Pejuang’(1986), dan ‘Surat dan Perjalanan Haji’(1994). Karya-karya beliau juga ada dimasukkan dalam antologi oleh pengarang-pengarang dari Indonesia misalnya ‘Angkatan 66’ oleh H.B Jassin(1968), ‘Langit Biru Laut Biru’oleh Ayip Rosidi(1977), ‘Cerita Pendek Indonesia’(1979) oleh Satyagraha, ‘Proses Kreatif’(1982) oleh Pamusuk Eneste, dan ‘Antologi Apresiasi Kesusateraan’(1986) oleh Jakob Sumardjo. Karya-karya antologi luar negeri pula ialah ‘Histoire court d’indonesiE’ oleh Denis Lombard(1968: Paris), ‘Indonesien’ oleh Irene Hilgers-hesse(1971: Stutgart), ‘Persidangan Penulis Asean’(1977: Dewan Bahasa dan Pustaka), ‘Cerpen-cerpen Asean’ oleh Abdullah Hussain(1978: Dewan Bahasa dan Pustaka), ‘From Surabaya to Amergedon’(1979: Singapura), ‘Jakarta’ oleh Satyagraha(1982: Dewan Bahasa dan Pustaka) dan ‘Bahasa dan Sastera Nusantara’(1984: Dewan Bahasa dan Pustaka). Karya beliau yang diterjemahkan ke bahasa asing ialah ‘Robohnya Surau Kami’ yang diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris, bahasa Jerman, dan bahasa Jepun. Cerpen ‘Datang dan Perginya’ diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dan cerpen ‘Angin dari Gunung’ ke dalam bahasa Jerman. Cerpen ‘Pak Menteri Mau Datang’ dan ‘Orang dari luar negeri’ diterjemahkan ke alam bahasa Perancis manakala cerpen ‘Orde Lama’ ke dalam bahasa Jepun[80].

Hadiah-hadiah yang pernah diterima ialah ialah dari Majalah Kisah Jakarta untuk Cerpen Terbaik tahun 1955 melalui cerpennya yang bertajuk ‘Robohnya Surau Kami’(1955), mendapat hadiah dari UNESCO/IKAPI untuk novel remaja terbaik pada sayembara menulis novel dengan judul Saraswati, Si Gadis dalam Sunyi(1968), cerpen terbaiknya Jodoh meraih Hadiah Pertama Sayembara Kincir Emas Radio Nederland Wereddomroep. Dari majalah Femina, Jakarta atas cerpennya yang memangi hadiah Sayembara Menulis Cerpen dengan judul ‘Kawin’ (1979), ‘Hadiah Seni 1988’ oleh Menteri Pendidikan dan Kebudayaan Repulik Indonesia(1988) dan Hadiah Sastera dari Menteri Pendidikan dan Kebudayaan Republik Indonesia di Jakarta(1992). Sepanjang penglibatannya dalam bidang kesusasteraan dan kebudayaan beliau sering diundang dan menghadiri kegiatan dalam bidang kesarjanaan sama ada di peringkat tempatan, nasional, dan antarabangsa bermula pada tahun 1952 sehingga beliau meninggal dunia pada tahun 2001[81].

Berdasarkan sumbangannya yang begitu besar dalam bidang kesusasteraan dan kebudayaan beliau telah mendapat penganugerahan sama ada diperingkat nasional dan antarabangsa misalnya dari Panglima Kadam 17 Ogos berdasarkan kerjasama dalam bidang kebudayaan(1970), dari Gubernur Kepala Daerah Propinsi Sumatera Barat sebagai peserta terbaik kedua pada penataran P4 Type A tingkat propinsi(1981), dari kerajaan Brunei Darussalam sebagai peranan pada Pertemuan Sastrawan Nusantara IV di Brunei Darussalam(1985), Dari universitas Andalas, Padang sebagai penghargaan atas aktiviti di Bidang Kesusasteraan(1989), dari Pemerintah Daerah sebagai jasawan di Bidang Kesusasteraan(1990) dan South East Asia Write Award dari Kerajaan Thailand di Bangkok(1992)[82].

3.5.10 Dt. B. Nurdin Jacub(12 Oktober 1920 - )

Beliau dilahirkan pada 12 Oktober 1920. Beliau dilahirkan di Dilam, Solok, Sumatera Barat. Beliau mendapat pendidikan HIS, MULO, AMS, dan menamatkan Institut Journalistik En Algemene ontwikkeling tahun 1924 di Jakarta. Beliau asalnya bekerja sebagai wartawan dan akhirnya berpindah ke dunia pendidikan. Mulai tahun 1950 beliau mengajar di Sekolah Menengah Atas(SMA) ABC Bukit Tinggi. Sehingga tahun 1989 beliau memimpin Institut Nasional Syafei(INS) Kayutanam disamping memberi kuliah pada berbagai fakulti dan akademi misalnya Akademi Seni Kerawitan Indonesia(ASKI), Institut Agama Islam Negeri(IAIN), Akademi Pendidikan Dalam Negeri(APDN), Universiti Muhamadiyah, Sumatera Barat[83].

Karya-karya beliau dalam genre novel yang terkenal ialah Panggilan Tanah Kelahiran, Lingkaran-lingkaran Kemelut, Cintaku Terlihat di Wajahnya, Di Balik Kabut Kota Gerimis. Dalam bidang genre cerpen, karya beliau ialah kumpulan cerpen ‘Pesta Menghela Kayu’, dan kumpulan cerpen ‘Dara di Balik Kaca’. Kumpulan cerita kanak-kanak ialah ‘Puteri Cenderawasih’, ‘Puteri Sejuta Senyum’, ‘Puteri Tamansari’, ‘Tiga Tenaga Raksasa’, dan ‘Si Buyung Telong’. Novel Panggilan Tanah Kelahiran (1967) adalah pemenang hadiah kedua Bacaan Dewasa tahun 1966. Para juri menempatkan novel ini sebagai pemenang kedua, antara lain adalah “cukup memenuhi syarat sebagai novel, ada keseimbangan dalam bentuk dan isi yang padu[84]. Novel ini membicarakan tentang keinginan anak muda untuk memangunkan kampung halamannya dengan berhasrat membangun empangan.

Dt. B. Nurdin Jacub sudah 6 kali mendapat hadiah nasional dan juga mendapat penghargaan dari Pemerintah RI pada Hari Ulang Tahun(HUT) ke-30 proklamasi kemerdekaan Indonesia. Beliau juga mendapat hadiah penghargaan sebagai sasterawan dari Gubernur Sumatera Barat pada tahun 1978. Beliau juga salah seorang penulis puisi terbaik BBC London. Cerpen-cerpen dan sajak-sajaknya banyak tersiar dalam akhbar di Indonesia dan di Malaysia[85].

3.5.11 Wildan Yatim (11 Jun 1933- )

Beliau dilahirkan pada 11 Jun 1933 di Padang Sidempuan, Sumatera Utara iaitu kawasan agak terpencil di perbatasan Sumatera Barat, dekat Tapanuli. Beliau berpendidikan Ibtidiaiah Muhammadiyah(1946). Sekolah rendahnya ialah di Ujung Gading(1948), SMP Lubuk Sikaping(1951), SMA Jakarta(1954), Institut Teknologi Bandung (Jurusan Biologi; tamat pada tahun 1961, dan meraih Doktor dari Universitas Padjadjaran, Bandung(1988). Beliau pernah menjadi anggota Himpunan Mahasiswa Islam(HMI), redaktur majalah Scientiae(1958), redaktur minggunan Mahasiswa Indonesia(edisi Jawa Barat), wakil ketua KASI Bandung(1966-68), pensyarah Fakulti Kedokyoran Universitas Andalas, Pejabat Dekan FIPIA Universoitas Andalas, dan sampai sekarang mengajar di Fakulti Kedoktoran Universitas Padjajaran Bandung.[86]

Di desanya sudah tersedia perpustakaan desa dan pada umurnya 10 - 12 tahun, beliau pernah membaca majalah seperti Abad 20(pimpinan Adinegoro), Pedoman Masyarakat pimpinan Hamka dan M. Yunan Nasution, Sinar pimpinan H.a Bakri Sulaiman, Tani dan Panji Pustaka. Pada masa pemerintahan Jepun beliau berpindah ke kelas tertinggi di desa lain dan waktu inilah beliau banyak membaca buku-buku di perpustakaan sekolahnya. Buku-buku yang dibaca ialah Sepanjang Jalan Raya, Dua Saudara di Padang Salju Tanah Rusia, Si Samin(Karya M. Kasim), Si Dul Anak Betawi(karya Aman Dt. Majoindo), Kawan Bergelut(karya Suman Hs), Teman Duduk(karya M. Kasim), dan lain-lain[87].

Waktu beliau di Sekolah Menengah Atas(SMA) di Jakarta, beliau menulis cerpen dan dikirimkan ke berbagai majalah di Jakarta, Jogjakarta dan Surabaya. Cerpen pertama yang dimuat dalam akhbar berjudul ‘Menyingkir’ dimuat dalam Sunday Courier.

Menurut catatannya ‘Dari Keharuan ke Penghamilan’ kegiatan mengarangnya dapat dapat dibahagikan kepada tiga tahap iaitu;

a) 1961 – 1965: Pada waktu ini beliau banyak menterjemahkan cerpen pengarang asing dari bahasa Inggeris, seperti karya O. Henry, Jack London, John Galsworthy, Ernest Hemingway, dan Anton Chekov. Terjemahan ini banyak dimuatkan di dalam suaratkhabar di Padang misalnya Haluan dan Aman Makmur, di Bandung misalnya mahasiswa Indonesia, dan Jakarta misalnya Kompas.

b) 1966 – 1968: Pada waktu ini beliau banyak menulis artikel yang bukan karya sastera terutama yang berkaitan sosial-politik dan ilmu pengetahuan popular(biologi). Karya-karyanya banyak dimuat dalam akhbar Mahasiswa Indonesia, Pikiran Rakyat(Bandung), Kompas dan Inonesia Raya(Jakarta).

c) 1969 – 1980: Pada waktu ini beliau banyak menghasilkan cerpen dan novel. Pada masa inilah beliau menumpukan waktu mengarang karya sastera. Cerpen beliau yang berjudul ‘Di Puncak Bukit Padang Hilalang’(1968) merupakan cerpen yang pertama diterbitkan dalam majalah Horison. Pada tahun 1970 cerpen ‘Surau Baru’ dapat penghargaan dari majalah Horison. Seterusnya dalam peraduan cerpen yang diadakan oleh majalah Horison pada tahun 1979, cerpennya yang berjudul ‘Perburuan Penghabisan’ mendapat hadiah penghargan bersama cerpen Putu Wijaya dan Mohamad Fudoli[88].

Novelnya Pergolakan(1974) adalah pemenang hadiah ketiga Sayembara Mengarang roman yang diselenggarakan oleh Panitia Tahun Buku Internasional 1972, DKI Jakarta. Dua tahun kemudian baru diterbitkan sebagai buku oleh penerbit Pustaka Jaya. Pada tahun 1975, novel ini dinyatakan sebagai Peraih Hadiah Yayasan Buku Utama Depertmen Pendidikan dan Kebudayaandik Indonesia[89]. Novel ini membicarakan tentang kegelisahan penduduk desa di pinggiran hutan Sumatera akibat terjadinya pemberontakan PRRI/Pemersta pada tahun 60-an.

Sehingga tahun 1981 beliau sudah menghasilkan 50 cerpen, 3 novelet, 2 novel remaja dan 1 novel. Cerpen-cerpenya banyak dimuatkan dalam majalah Kompas, Pikiran Rakyat, Budaya Jaya, dan Indonesia Raya Minggu. Kumpulan cerpen-cerpennya yang sudah dibukukan ialah ‘Jalur Membenam’(1974), ‘Saat Orang Berterus Terang’(1974), ‘Di Muka Pintu’(1975), dan ‘Pertengkaran’(1976). Cerpennya “Surau Baru’, mendapat Hadiah Penghargaan majalah Horison tahun 1969 manakala cerpennya yang lain, ‘Perburuan Penghabisan’, memperolehi Hadiah Hiburan Sayembara Cerpen Horison 1977/78. Novelnya yang sudah terbit ialah Pergolakan(1974), Pondok di Balik Bukit(1979: cerita untuk remaja), Hati Bernyanyi(1981), Mengarung Badai(1981), Meniti Sinar Senja(1981), Galau Meredam(1981: pernah dimuat secara bersambung dalam akhbar Kompas) dan Tak ada Lagi Bayang-bayang(1981: pernah dimuat secara bersambung dalam majalah Femina) Beliau juga menulis buku untuk mahasiswa Biologi(1974), Embryologi(1978) dan Genetika(1980)[90]

3. 5 .12 Chairul Harun (Ogos 1940 - )

Beliau dilahirkan pada bulan Ogos 1940. Novelnya yang terkenal ialah Warisan(1979). Pada tahun 1976 novel ini direkomendasikan oleh Dewan Juri Sayembara Mengarang Roman Dewan Kesenian Jakarta sebagai novel yang layak diterbitkan. Paada tahun 1979 novel ini memperolehi hadiah dari Yayasan Buku Utama, Depertement Pendidikan dan Kebudayaan, Indonesia. Novel ini juga mendapat pej nghargaan dari IKAPI sebagai buku terbaik pada tahun 1979[91]. Menurut Mursal Esten novel Warisan merupakan contoh hasil proses persentuhan nilai budaya tradisi yang berhadapan dengan nilai budaya baru. Persentuhan ini memperlihatkan adanya penyimpangan-penyimpangan semacam keresahan dalam tata nilai masyarakat Melayu Minangkabau yang tertuang dalam bentuk karya sastera[92]. Menurut S. Mahayana salah satu keberhasilan novel ini ialah wujudnya unsur latar kedaerahan. Hubungan anatara anggota keluarga, upacara kematian dan perkahwinan, serta tata cara pembahagian harta warisan adalah gambaran khusus yang ada dalam masyarakat Melayu Minangkabau[93].

Beliau pernah bersama-sama A.A. Navis, dan Miral Manan menjadi tenaga pengajar di Akademi Seni Kerawitan Indonesia(ASKI) pada awal tahun 1969 dalam jurusan Sastera Minangkabau di Padangpanjang, Sumatera Barat. Hal ini dapatlah dianggap bahawa beliaulah salah salah seorang pelopor dan tenaga pengerak pada peringkat awal sehingga terdirinya ASKI di Padangpanjang. Pada waktu itu ASKI masih lagi berada dibawah pengawasan ASKI Surakarta. Beliau memberi mata kuliah tentang Teater Rakyat Minangkabau[94].

3.5.13 Darma Moenir(27 Julai 1952 - )

Beliau dilahirkan pada 27 Julai 1952 dan menetap di Padang, Sumatera Barat. Beliau sangat aktif dalam kegiatan teater bersama Wisran Hadi, seorang penulis drama Indonesia yang terkenal. Selain menulis novel, beliau juga aktif menulis cerpen, dan sajak. Sajak-sajaknya sering dimuatkan dalam akhbar Singgalang dan Haluan. Novel ini dinyatakan sebagai pemenang hadiah utama Sayembara Roman Dewan Kesenian Jakarta pada tahun 1980[95]. Novel yang terkenal ialah Bako(1983) dan Dendang(1990). Di dalam novel ini terungkap tradisi dan adat-istiadat yang berlaku dalam masyarakat Melayu Minangkabau yang mengamalkan sistem matrilineal. Di dalam novel ini juga pengarang mengungkapkan tentang posif dan negatif dalam masyarakat Melayu Minangkabau yang mengamalkan sistem matrilineal. Di dalam novel Dendang juga mengungkapkan tentang permasalahan dalam masyarakat Melayu Minangkabau. Berdasarkan cerita dalam novel ini, setiap orang mempunyai masalah dan manusia berhak untuk mencari jalan penyelesaian tanpa merugikan mana-mana pihak.

3. 5.14 Ismail Marahimin



[1] Aning Retnaningsih, 1983, Roman dalam Masa Pertumbuhan Kesusasteraan Indonesia Moden, Erlangga: Jakarta. Hlm. 28.

[2] Ibid, Fatimah Busu, 1944..

[3] Burhan Nurgiyantoro, 1995, Teori Pengkajian Fiksi, Gajah Mada University Press; Yogyakarta, hlm. 9 – 15.

[4] Syed Othman Syed Omar, 2001, ‘Novel Malaysia: Catatan Sejarah Awal(Bahagian Satu)’ dalam Utusan Melayu, Kuala Lumpur, 1 Desember.

[5] Ibid, Syed Othman Syed Omar.

[6] Sabura Mohd. Daud Marican, 1985, Kesusasteraan Melayu Moden: Satu Kajian Peringkat STPM, Tanpa penerbit, Kota Bharu, hlm. 77.

[7] Monique Zaini-Lajoubert, 1994, ‘Perkembangan Cerpen Melayu: Dari Awal Sampai Sekarang’ dalam Sempana: Himpunan Esei Penelitian oleh Sarjana Kesusasteraan Melayu Antarabangsa, Ahmad Kamal Abdullah dkk(pny), Dewan Bahasa dan Pustraka, hlm. 297.

[8] Ibid, hlm. 76.

[9] Lihat kata pengantar Hamzah Hamdani, Ketua Bahagian Teori dan Kritiakan Sastera, Jabatan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka dalam Siri Novel Malaysia Pilihan Abad 20 dalam Jong Chian Lai, Pemberontakan, Dewan Bahasa dan Pustaka; Kuala Lumpur, hlm. xiii –xvii.

[10] Lihat Yahaya Ismail, 1970. “Novel-novel Melayu Sa-belum Perang Dunia Kedua” dalam Dewan Bahasa, Oktober, hlm. 437 – 454.

[11] Ibid, hlm. 5

[12] S. Othman Kelantan, 1987, Kecenderungan Baru dalam Novel Melayu: Satu Kajian Struktur, Dewan Bahasa dan Pustaka; kuala Lumpur, hlm. 46 – 51.

[13] Zainab Kasim, Mac 2004, “Anugerah Sastera Negara: Negara Mewah Sasterawan Bertuah” dalam dewan sastera, dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur, hlm. 16

[14] Lihat Fatimah Busu, 1994, Persamaan dan Perbezaan dalam Perkembangan Novel-novel Melayu dan Indonesia, Tesis Ph.D Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, hlm. 83. lihat juga Pramoedya Ananta Toer, 1985, Sang Pamula, Hasta Mitra: Jakarta, , hlm. 301-353.

[15] Umar Junus, 1974

[16] Ajip Rosidi, hlm.35 – 37. Lihat juga Umar Junus 1984, “Unsur Luar dalam Novel Indonesia” dalam Sastera Melayu Moden: Fakta dan Interpretasi, Dewan Bahasa dan Pustaka; Kuala Lumpur, hlm. 259

[17] Ajip Rosidi, 1991, hlm. 51.

[18] Ajip Rosidi, Sejarah Sastra Indonesia, Bina Aksara, Jakarta. hlm. 105

[19] Pengasuh, Bil. 246, 20 Mei 1926.

[20] Pengasuh, Bil. 309, 21 Disember 1930, hlm. 8.

[21] Pengasuh, Bil. 316, 2 April 1931. Hlm. 3 -5.

[22] Ahmad bin Yaakob, 2004, Pengasuh 1918 – 1955; Satu Kajian Historiografi , Universiti Kebangsaan Malaysia, tesis MA, Bangi.

[23] Zainab Kasim, “Anugerah Sastera Negara: Negara Mewah Sasterawan Bertuah” dalam Dewan sastera, Mac 2004. Hlm. 16.

[24] Dharmawijaya, “Menimbang Kaca, Menatang Intan” dalam Dewan sastera, Mac 2004. Hlm. 17 – 18.

[25] Wan Hashim Wan Teh, Pemotret Wajah Melayu Sepanjang Zaman’ dalam Dewan Sastera, Mac 2004. Hlm. 19.

[26] Razali Che Mat, S. Othman Kelantan: Karyawan Bulan Ini’ dalam Dewan Sastera, Mac 2004.

[27] Fatimah Busu, Fatimah Busu: Dari “Saat Terakhir” 1957 ke “The Missing Piece” 2004” dalam Dewan Sastera. Jun 2004. Hlm. 7.

[28] Zalila Sharif , Ambivalen dalam Ombak Bukan Biru’ dalam Dewan Sastera, Jun 2004. Hlm. 27.

[29] Razali Che Mat, Razali Che Mat, “Norhisham Mustaffa: Karyawan Bulan Ini’ dalam Dewan Sastera, Mei 2004.

[30] Fatimah Busu, “Fatimah Busu: Dari “Saat Terakhir” 1957 ke “The Missing Piece” 2004” dalam Dewan Sastera. Jun 2004. Hlm. 7.

[31] Ibid, Hlm. 11.

[32] Nor ‘Ashikin Talhah dkk, Sukses Bahasa Melayu SPM, Fajar Bakti Sdn. Bhd., Shah Alam. Hlm.200. Lihat juga Razali Che Mat, “Norhisham Mustaffa: Karyawan Bulan Ini’ dalam Dewan Sastera, Mei 2004.

[33] Darma Mohammad, ‘Dunia Penulisannya Terbuka Seluas Langit” dalam Dewan Sastera, Mei 2004. Hlm.10.

[34] Wawancara Wakil Dewan Sastera dengan Norhisham Mustaffa Sejarah yang Menilai Siapa Kita’ dalam Dewan Sastera, Mei 2004. Hlm. 11. Lihat juga Razali Che Mat, “Norhisham Mustaffa: Karyawan Bulan Ini’ dalam Dewan Sastera, Mei 2004.

[35] Hashim Ismail, “Bicara Subaltern yang Berpanjangan’ dalam Dewan Sastera, Mei 2004. Hlm. 32

[36] Marcel Bonneff, 1993, Citra Masyarakat Indonesia, Sinar Harapan: Jakarta. Hlm. 138.

[37] Zuber Usman, 1983, Kesusasteraan Baru Indonesia, Pustaka Melayu Baru: Kuala Lumpur. Hlm. 25 – 29.

[38] Ajib Rosidi, 1986, Ikhtisar Sejarah Sastra Indonesia, Binacipta: Jakarta. Hlm. 24. Lihat juga Ensiklopedia Indonesia, Jilid 5 P-SHF, Ikhtiar Baru – Van Hoeve: Jakarta: 1984. Lihat Haluan No. 252, Tahun Ke XLII, 9 Sept 1991. Hlm. XI

[39] Marcel Bonneff, 1993, Citra Masyarakat Indonesia, Sinar Harapan: Jakarta. Hlm. 135.

[40] Zuber Usman, 1983, Kesusasteraan Baru Indonesia, Pustaka Melayu Baru: Kuala Lumpur. Hlm. 26

[41] A. Teeuw, 1980, Sastera Baru Indonesia; Jilid I, Nusa Indah: Jakarta. Hlm. 87.

[42] Marcel Bonneff, 1993, Citra Masyarakat Indonesia, Sinar Harapan: Jakarta. Hlm. 138. Konsep pandangan kelas(vision de classe) bererti bahawa seseorang pengarang sering, secara tidak sedar, hanya mengemukakan pandangan lingkungan atau golongannya. Perbezaan antara pandangan kelas dan pandangan dunia seorang seniman sering dikacaukan.

[43] Annas Hj. Ahmad, 1975, Sastera Melayu: Lama dan Baru, Sinaran Bros: Pulau Pinang. Hlm. 51

[44] Maman S. Mahayana dkk, 1992, Ringkasan dan Ulasan Novel Indonesia Modern, Gramedia: Jakarta. Hlm. 6

[45] A. Teeuw, 1980, Sastera Baru Indonesia; Jilid I, Nusa Indah: Jakarta. Hlm. 94..

[46] Sejarah Daerah Sumatera Barat, 1977, Pemerintah Daerah Sumatera Barat: Padang. Hlm. 84.

[47] Ajib Rosidi, 1986, Ikhtisar Sejarah Sastra Indonesia, Binacipta: Jakarta. Hlm. 26.

[48] Lihat Maman S. Mahayana dkk, 1992, Ringkasan dan Ulasan Novel Indonesia Modern, Gramedia: Jakarta. Hlm. 15. Lihat juga ‘Budayawan Rang Minang Harus Memarahi Datuak Maringgih?’ dalam Singgalang, 6 Oktober 1991

[49] Ajib Rosidi, 1986, Ikhtisar Sejarah Sastra Indonesia, Binacipta: Jakarta. Hlm. 25.

[50] Ibid. Hlm. 51.

[51] Fatimah Busu, 1994, Persamaan dan Perbezaan di Dalam Perkembangan Novel-novel Melayu dan Indonesia, Tesis PhD USM: Pulau Pinang. Hlm. 108.

[52] A. Teeuw, 1980, Sastera Baru Indonesia; Jilid I, Nusa Indah: Jakarta. Hlm. 90..

[53] Zuber Usman, 1983, Kesusasteraan Baru Indonesia, Pustaka Melayu Baru: Kuala Lumpur. Hlm. 41. Lihat juga A. Teeuw, 1980, Sastera Baru Indonesia; Jilid I, Nusa Indah: Jakarta. Hlm. 88.

[54] Zuber Usman, 1983, Kesusasteraan Baru Indonesia, Pustaka Melayu Baru: Kuala Lumpur. Hlm. 41.

[55] Ibid, hlm. 42.

[56] A. Teeuw, 1980, Sastera Baru Indonesia; Jilid I, Nusa Indah: Jakarta. Hlm. 88.

[57] Zuber Usman, 1983, Kesusasteraan Baru Indonesia, Pustaka Melayu Baru: Kuala Lumpur. Hlm. 41 - 42. A. Teeuw, 1980, Sastera Baru Indonesia; Jilid I, Nusa Indah: Jakarta. Hlm. 102.

[58] Ajib Rosidi, 1986, Ikhtisar Sejarah Sastra Indonesia, Binacipta: Jakarta. Hlm. 61

[59] 1995, Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka; Kuala Lumpur. Hlm.842.

[60] A. Teeuw, 1980, Sastera Baru Indonesia; Jilid I, Nusa Indah: Jakarta. Hlm.104.

[61] 1995, Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka; Kuala Lumpur. Hlm.842.

[62] Lihat Hasanuddin, 1995, Novel Tenggelamnya Kapal Van der Wijck dan Magdalena: Sebuah Analisis Intertektualitas, Laporan Penelitian Dana Spp/Dpp Unand 1994/1995, Universitas Andalas: Padang. Hlm.1-2.. Lihat juga A. Teeuw, 1980, Sastera Baru Indonesia; Jilid I, Nusa Indah: Jakarta. Hlm.104..

[63] A. Teeuw, 1980, Sastera Baru Indonesia; Jilid I, Nusa Indah: Jakarta. Hlm.106..

[64] Th. Sri Rahaju Prihatmi, 1977, Pengarang-pengarang Wanita Indonesia: Seulas Pembicaraan, Pustaka Jya: Jakarta. Hlm. 21. Lihat juga H.B. Jassin, 1983, Pengarang Indonesia dan Dunianya: Kumpulan Karangan, Gramedia: Jakarta. Hlm. 63

[65] A. Teeuw, 1980, Sastera Baru Indonesia; Jilid I, Nusa Indah: Jakarta. Hlm. 102.

[66]Zuber Usman, 1983, Kesusasteraan Baru Indonesia, Pustaka Melayu Baru: Kuala Lumpur. Hlm. 84 - 86

[67] Lihat juga H.B. Jassin, 1983, Pengarang Indonesia dan Dunianya: Kumpulan Karangan, Gramedia: Jakarta. Hlm. 63.

[68] Ibid. Hlm. 63

[69] Lihat Maman S. Mahayana dkk, 1992, Ringkasan dan Ulasan Novel Indonesia Modern, Gramedia: Jakarta. Hlm. 36.

[70] Jakob Sumardjo, 1981, Segi Sosiologis Novel Indonesia, Pustaka Priman; Jakarta. Hlm. 36.

[71] Zuber Usman, 1983, Kesusasteraan Baru Indonesia, Pustaka Melayu Baru: Kuala Lumpur. Hlm. 84 – 86. Lihat juga A. Teeuw, 1980, Sastera Baru Indonesia; Jilid I, Nusa Indah: Jakarta. Hlm. 92.

[72] Ajib Rosidi, 1986, Ikhtisar Sejarah Sastra Indonesia, Binacipta: Jakarta. Hlm. 141.

[73] A. A. Navis, ‘Perkembangan Kesusasteraan di Sumatera Barat’ dalam Singgalang, 15 Januari 1996. Hlm. 4

[74] Soewardi Idris, ‘ Surek dari Rantau: Lewat Setengah Abad, di Mana Kita’ dalam Singgalang, 18 Ogos 1996.

[75] Annas Hj. Ahmad, 1964, Sastera Melayu: Lama dan Baru, Sinaran Bross: Pulau Pinang. Hlm. 80. Lihat juga Sapardi Djoko Damono dkk, 1993, Sejumlah Cerpen Indonesia; Dari waktu ke Waktu; Fakultas Sastra Universitas Indonesia: Jakarta. Hlm. 222.

[76] Lihat juga A. Teeuw, 1980, Sastera Baru Indonesia; Jilid I, Nusa Indah: Jakarta. Hlm.217. Lihat juga Ajib Rosidi, 1986, Ikhtisar Sejarah Sastra Indonesia, Binacipta: Jakarta. Hlm. 96 - 98.

[77] 1995, Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Hlm.959.

[78] Abrar Yusra(pny), 1994, Otobiografi A. A Navis: Satiris dan Suara Kritis dari Daerah, Gramedia: Jakarta. Ajib Rosidi, 1986, Ikhtisar Sejarah Sastra Indonesia, Binacipta: Jakarta. Hlm. 130.

[79] Ibid, hlm.3.

[80] Ibid, hlm. 243 – 254.

[81] Ibid, hlm. 255.

[82] Ibid, 255.

[83] Dt. B. Nurdin Yakub, 1989, Minangkabau Tanah Pusaka: Tambo Minangkabau(buku kedua), Pustaka Indonesia: Bukittinggi.

[84] Lihat Maman S. Mahayana dkk, 1992, Ringkasan dan Ulasan Novel Indonesia Modern, Gramedia: Jakarta. Hlm. 129.

[85] Dt. B. Nurdin Yakub, 1989, Minangkabau Tanah Pusaka: Tambo Minangkabau(buku kedua), Pustaka Indonesia: Bukittinggi.

[86] Sapardi Djoko Damono dkk, 1993, Sejumlah Cerpen Indonesia; Dari waktu ke Waktu; Fakultas Sastra Universitas Indonesia: Jakarta. Hlm. 231.

[87] Wildan Yatim, 1982, ‘Dari Keharuan ke Penghamilan’ dalam Proses Kreatif: Mengapa dan bagaimana saya Mengarang, gramedia: Jakarta. Hlm. 94 – 109.

[88] Ibid.

[89] Lihat Maman S. Mahayana dkk, 1992, Ringkasan dan Ulasan Novel Indonesia Modern, Gramedia: Jakarta. Hlm. 176..

[90] Wildan Yatim, 1982, ‘Dari Keharuan ke Penghamilan’ dalam Proses Kreatif: Mengapa dan bagaimana saya Mengarang, gramedia: Jakarta. Hlm. 94 – 109.

[91] Ibid. Hlm. 223.

[92] Mursal Esten(pny), 1988, Menjelang Teori dan Kritik Susastra Indonesia yang Relevan, Angkasa:Bandung. Hlm. 8 – 9.

[93] Lihat Maman S. Mahayana dkk, 1992, Ringkasan dan Ulasan Novel Indonesia Modern, Gramedia: Jakarta. Hlm. 225.

[94] Abrar Yusra(pny), 1994, Otobiografi A. A Navis: Satiris dan Suara Kritis dari Daerah, Gramedia: Jakarta.Hlm. 288.

[95] Lihat Maman S. Mahayana dkk, 1992, Ringkasan dan Ulasan Novel Indonesia Modern, Gramedia: Jakarta. Hlm. 245.

No comments: